Hubungan anjing, Melayu dan Islam

0
28

BERBUAT baik dengan haiwan tidak salah, malah amat dituntut dan digalakkan Islam. Islam adalah syumul yakni menyeluruh dan merangkumi semua aspek. Setiap perkara mempunyai garis panduan yang wajib diikuti.

Di zaman moden ini, ramai yang membidas dan mengkritik tindakan orang Islam yang memelihara dan memegang anjing tanpa sebab kukuh.

Harus diakui, anjing merupakan najis berat di sisi Islam. Para ulama mazhab Syafie, Hanafi dan Hanbali juga sepakat bahawa air liur anjing adalah najis. Hanya mazhab Maliki yang berpedapat bulu dan air liur haiwan tersebut bukan najis.

Menurut hadis sahih, diriwayatkan oleh Sufyan bin Abu Zuhair, Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa yang mengambil anjing (sebagai haiwan peliharaan) kecuali anjing yang menjaga tanaman atau anjing menjaga ternakan atau anjing berburu, maka setiap hari pahalanya berkurang satu Qiraat.”

Satu qiraat itu bersamaan dengan sebesar bukit Uhud. Adakah pahala yang kita lakukan setiap hari melebihi satu qiraat? Adakah amal dan ibadat yang kita amalkan begitu besar sehingga mampu menampung pahala yang hilang hanya kerana memelihara anjing sebagai peliharaan tanpa tujuan?

FOTO/FB JULI JALALUDDIN

Memelihara anjing untuk menjaga harta, rumah, binatang ternakan adalah dibolehkan. Malah, ia boleh dicontohi daripada kisah Ashabul Kahfi, sekumpulan pemuda yang beriman dan lari daripada kekejaman raja yang ingin membunuh mereka kerana memelihara iman dan tauhid kepada Allah.

Mereka turut ditemani seekor anjing bernama Qithmir, dan bersembunyi di dalam sebuah gua. Lantas, Allah menidurkan pemuda-pemuda tersebut bersama-sama anjing itu selama 309 tahun.

FOTO / MOH LIMO

Qithmir merupakan seekor anjing buruan pemuda-pemuda tersebut. Pada mulanya, mereka melarang dan menghalau anjing tersebut daripada mengekori bersama ke gua. Namun, setiap kali dihalau, Qithmir tetap mengejar mereka.

Dikisahkan juga bahawa seorang pelacur turut diampunkan seluruh dosa-dosanya dan dimasukkan ke dalam syurga hanya kerana memberi minum kepada seekor anjing yang kehausan. Allah telah membuka pintu rahmat kepada wanita tersebut sehingga mendapat kemuliaan.

Pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik yang juga berkelulusan bidang perubatan pernah menjelaskan dalam ceramahnya bahawa air liur anjing mempunyai banyak bakteria yang berbahaya kepada manusia.

Baru-baru ini di Sarawak, dua kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia selepas digigit oleh anjing yang dijangkiti penyakit anjing gila.

Memelihara anjing tanpa sebab kukuh juga menjadi penghalang kepada malaikat rahmat untuk masuk ke rumah. Hal ini dijelaskan dalam hadis yang diriwatkan oleh Ibnu Majah;

Rasulullah bersabda : “Sesungguhnya malaikat tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya terdapat anjing dan gambar (patung).

Kesimpulannya, untuk mereka yang beragama Islam, memelihara dan menyentuh anjing tanpa sebab sememangnya menyanggahi syariat. Andai kata kita memberi anjing makan atau merawat anjing yang kesakitan, maka itu diharuskan.

Bagaimanapun, hukuman denda yang dicadangkan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) kepada individu yang memberi makanan kepada anjing liar adalah tidak wajar.

Mengapa perlu menegah sikap prihatin dan kemanusiaan terhadap binatang? Jika tindakan memberi makan kepada anjing liar menyumbang terhadap peningkatan populasi dan penularan penyakit anjing liar, maka majlis perbandaran sewajarnya bertindak dengan lebih cekap.

Orang awam hanya melunaskan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi. Jika tidak mampu memelihara sekalipun, memadai untuk mereka yang beragama Islam berbuat baik dengan cara sebegitu.

Penyemaian sikap untuk takut terhadap anjing dalam masyarakat Melayu juga mesti dihapuskan. Hentikan mendidik anak-anak dengan cara membaling batu atau lari apabila terserempak dengan haiwan tersebut.

Anjing tidak akan menyerang atau mengejar jika tidak diusik atau diancam. Tenangkan diri dan elakkan merenung mata haiwan tersebut. Percayalah, ia tidak akan mempedulikan kehadiran anda.

Tindakan membaling batu, menjerit atau berlari sebelum anjing berbuat apa-apa hanya mengundang bahaya kepada anda.

Islam tidak menyulitkan malah memudahkan. Setiap perkara yang dilarang pasti mempunyai hikmah yang tersirat mahupun tersurat.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini