SEBUT sahaja tentang Asia Cafe, pasti mereka yang tinggal di sekitar Selangor atau Kuala Lumpur mengenali Hawker Centre atau medan selera yang santai itu.

Ia merupakan melting pot untuk mereka yang gemar menonton perlawanan bola sepak English Premier League atau lokasi menjamu selera paling sempoi (tetapi urban) untuk anak-anak muda menjelang hujung minggu.

Malah, medan selera itu juga akan dipenuhi orang ramai ketika musim Piala Dunia atau Piala Eropah. Ini berikutan terdapat pelbagai jenis makanan yang boleh didapati pada harga berpatutan.

Bagaimanapun, Asia Cafe terpaksa diranapkan bagi memberi laluan untuk pembinaan Small Office Home-Office (SoHo) selepas hampir 14 tahun ia menjadi sumber rezeki kepada para peniaganya.

WORLD OF BUZZ

“Saya sebenarnya baru mengambil alih perniagaan ini beberapa bulan yang lalu. Ini kerana, pemilik asal gerai ini ingin pulang ke India dan selepas beberapa perbincangan, saya dan suami bersetuju untuk menyambung perniagaan ini.

“Namun, tidak lama kemudian, terdengar desas-desus bahawa Asia Cafe akan ditutup untuk memberi laluan kepada pembangunan SoHo. Namun saya anggap berita itu sekadar khabar angin.

“Sehinggalah suatu hari, saya bertanya sendiri kepada pengurus Asia Cafe dan dia mengatakan berita itu adalah benar dan kami (peniaga) akan diberi notis arahan tiga bulan untuk berpindah,” kongsi Shirindev Kaur, pemilik gerai yang menyediakan makanan utara India.

Jika dilihat, rata-rata mereka yang berniaga di situ mencecah hampir 13 tahun. Tempat tersebut sentiasa sesak dengan pengunjung kerana kepelbagaian makanannya. Misalnya, masakan Cina, India, Melayu dan juga Barat yang dijual pada harga berpatutan.

Namun setakat ini, tiada pembelaan terhadap nasib peniaga-peniaga di situ. Bahkan ramai antara mereka melahirkan kekecewaan kerana kehilangan tempat mencari rezeki berbelas tahun lamanya.

FOTO/SAYS

Menurut Shirindev, pemilik tapak pernah membuat kertas cadangan bagi membina SoHo di situ sekitar lima tahun lalu. Begitupun setiap kali ia dibawa ke pejabat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), cadangan tersebut ditolak atas alasan pembinaan bangunan tinggi di kawasan itu akan meningkatkan kesesakan trafik.

Tiba-tiba, baru-baru ini cadangan itu dipersetujui. Hal tersebut menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peniaga.

Semestinya, kawasan itu akan bertambah sesak dengan kenderaan. Status Subang Jaya sebagai bandar satelit juga akan terhakis dek kepesatan pembangunan seperti Kuala Lumpur.

YB Hanah Yeoh yang merupakan ADUN Subang Jaya merangkap Speaker Dewan Selangor, perlu memainkan peranan agar nasib para peniaga tidak terjejas.

Pihak berkaitan juga perlu menyediakan tapak baharu buat peniaga-peniaga tersebut. Para peniaga perlu dihimpunkan di atas tapak yang sama agar nilai keharmonian yang menjadi identiti Asia Cafe dapat dikekalkan.

“Saya sudah biasa makan dan bersantai bersama rakan-rakan di sini sejak saya di tingkatan 5. Jika berkelapangan pada hujung minggu, di sinilah tempat saya bertemu rakan-rakan.

FOTO/THE GIRL IN BRAIDS!

“Sejujurnya saya sedih dengan berita penutupan Asia Cafe. Segala memori ketika remaja akan tinggal kenangan sahaja. Jika anda bertanya kepada pelanggan di sini, majoriti akan berpendapat bahawa suasana terbuka di sini yang menjadikan ia istimewa.

“Di Pulau Pinang, mereka bangga dengan hawker centre di Jalan Gurney manakala di Subang Jaya, kami bangga dengan SS15 dan Asia Cafe. Selepas ini tiada apa yang dapat kami banggakan,” luah Idris, 28, yang merupakan pelanggan setia Asia Cafe.

Asia Cafe persis medan selera La Pau Sat yang terkenal di Singapura. Berdasarkan perkongsian Idris dan pemerhatian penulis, rakyat Malaysia sememangnya menggemari konsep medan selera terbuka yang menawarkan pelbagai pilihan gerai dan makanan.

Asia Cafe dijangka menamatkan operasi menjelang hujung tahun ini. Terdapat juga maklumat yang mendedahkan ia mungkin ditutup pada 31 Oktober depan.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini