Pramugara AirAsia ‘buat hal’ lagi! Sekali lagi jadi Britney Spears dalam video baharu

0
1073

PRAMUGARA AirAsia X yang pernah tular dengan video tariannya di dalam sebuah pesawat syarikat penerbangan tersebut, Ahmad Assraf Muhammad Nasir, muncul dengan video baharu.

Menerusi video berdurasi 2 minit 12 saat itu, Assraf, 30, diiringi rakan-rakan sekerjanya beraksi lincah dengan tarian yang dirakamkan secara profesional. Jika dahulu, lagu Toxic menjadi pilihan, kali ini, anak jati Kuala Lumpur itu menggunakan lagu Stronger yang juga antara single malar segar puteri pop dunia, Britney Spears.

Menurut Assraf, lagu itu dipilih kerana mesejnya yang mengajak individu untuk sentiasa kuat menghadapi cabaran. Sejujurnya, ia sering dijadikan lagu motivasi Assraf setiap kali berdepan masalah atau kegagalan.

“Selepas video pertama mendapat reaksi positif, saya lebih yakin untuk berkongsi bakat tarian saya kepada orang ramai. Namun tujuan utama video kedua ini dibuat adalah untuk memaparkan suasana tempat kerja kami yang sangat cool dan santai.

“Semua yang terlibat menjayakan video ini merupakan tenaga kerja AirAsia. Juruvideo, pengarah dan penari latar semuanya kru penerbangan. Misalnya, juruvideo dan pengarah video untuk projek ini merupakan juruvideo profesional di luar waktu kerja.

“Jadi, ia bolehlah dikatakan sebuah projek mini daripada kru penerbangan AirAsia X. Walaupun sukar untuk memperuntukkan masa kerana jadual penerbangan masing-masing yang berbeza, kami berjaya juga untuk mencuri masa bagi mendapatkan hasil yang terbaik,” kongsi Assraf kepada Pepatung.

Assraf yang pernah tular sehingga meraih perhatian media antarabangsa menyifatkan ia sebagai satu peluang untuknya berkarya dengan lebih terbuka di masa akan datang. Selain itu, lebih ramai orang yang mula memandang serius terhadap bakat tariannya.

“Dulu ada pihak yang pandang rendah kebolehan saya. Tidak kurang yang menganggap tarian sebagai satu karier murahan. Namun saya tidak berkecil hati kerana sekarang saya telah membuktikan bahawa apapun karier yang saya pilih, darah seni sebagai penari tidak akan pernah hilang,” tambah Assraf.

KONGSI
Artikel sebelumnyaSayangnya Malaysia kepada Siti
Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini