Nostalgia komik Doraemon: Terima kasih dan selamat tinggal

1
13

SEJAK di bangku tadika, Aishah Razi mula mengumpul komik Doraemon. Apatah lagi selepas mengenali animasi karya Fujiko Fujio itu menerusi kaca televisyen yang disiarkan di TV1. Komik Doraemon merupakan penghiburnya bagi mengubati kesunyian dipinggirkan rakan-rakan.

FOTO/AISHAH RAZI

“Waktu kecil, saya agak debab dan budak-budak enggan berkawan dengan saya. Jadi Doraemon dan rakan-rakan menjadi teman karib saya sehinggalah sekolah menengah.

“Banyak yang saya pelajari daripada Doraemon. Watak Doraemon itu sendiri amat besar pengaruhnya. Nilai setia kawan yang ditunjukkan dan sabar melayani kerenah Nobita.

“Bagi saya, Doraemon tidak hanya memberi harapan kepada Nobita, tetapi kepada semua kanak-kanak yang membaca komiknya,” bersungguh-sungguh Aishah bercerita.

Aishah yang kini berusia 30 tahun tidak melepaskan peluang ke kilang Syarikat Penerbitan Tora Aman (Tora Aman). Pengumuman penutupan kilang yang menerbitkan komik Doraemon di Malaysia itu meremukkan hatinya sebagai peminat tegar Doraemon.

FOTO/AISHAH RAZI

Ditemani anak lelakinya, nostalgia kembali menghurung jiwa Aishah. Menyaksikan orang ramai berebut-rebut membeli komik Doraemon yang dilelong serendah RM2, hati Aishah tersayat pilu mengenangkan pengakhiran sebuah legasi yang memberi impak besar dalam hidupnya dan barangkali, majoriti kanak-kanak era 1990-an.

“Sedih melihat komik-komik lama yang kekuningan. Mesin cetak yang sudah lama tidak digunakan dan terpaksa ‘berpisah’ dengan komik paling hebat pernah saya baca. Terima kasih untuk kenangannya dan selamat tinggal,” ada genangan air mata bertakung di kelopak mata Aishah.

Sepertimana Aishah, begitulah kesedihan yang dirasai mereka yang membesar dengan komik Doraemon. Saya sendiri mula membaca komik animasi dari Jepun itu seawal umur 6 tahun. Akses mendapatkan komik tersebut dahulu sangat luas. Dari sebesar-besar kedai buku sehinggalah kedai runcit kecil, semua pun menjual komik Doraemon.

Kadang-kadang, saya terpaksa berebut dengan pembeli lain bagi memastikan keluaran baharu tidak terlepas. Berjaya juga memiliki koleksi penuh cerita pendek Doraemon ketika di bangku sekolah rendah. Namun simpanan itu hilang setiap kali berpindah rumah.

Kira-kira lima tahun lalu, saya masuk ke kedai buku Popular di Wangsa Walk, Kuala Lumpur. Gembiranya rasa apabila dipertemukan kembali dengan komik Doraemon. Tanpa berfikir panjang, saya membeli beberapa episod termasuklah cerita panjang.

FOTO/PEPATUNG

Setiap bulan saya kembali ke kedai buku tersebut bagi membeli sedikit demi sedikit komik Doraemon. Azam saya adalah bagi melengkapkan kembali koleksi yang telah hilang.

Tahun demi tahun, saya masih kekurangan tujuh buku untuk cerita pendek. Menurut maklumat pekerja di kedai buku tersebut, pengedar telah menghentikan cetakan dan tiada lagi stok baharu.

Saya kecewa dan membuat keputusan untuk menghubungi pihak penerbitan iaitu Tora Aman. Namun, kesibukan kerja membuatkan saya terlupa sehinggalah minggu lalu, berita penutupan kilangnya menjadi bualan ramai.

Kali ini saya tidak melepaskan peluang ke kilangnya yang terletak di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor. Setibanya di situ, orang ramai telah membanjiri ruang kilang yang berkeluasan 2,400 kaki persegi itu. Masing-masing sibuk mencari komik kegemaran; Doraemon, Detektif Conan, Slam Dunk dan lain-lain.

Tujuan saya ke situ didasari dua sebab. Pertamanya untuk memburu tujuh buku cerita pendek Doraemon yang belum dimiliki. Keduanya untuk menemu bual pemilik syarikat penerbitan ikonik tersebut.

Hanya enam buku berjaya saya perolehi. Baki sebuah buku (episod 27) telah kehabisan stok membuatkan saya berasa amat kecewa. Namun, saya tetap berasa bertuah kerana diberi kesempatan menikmati keseronokan generasi Doraemon.

FOTO/PEPATUNG

Tahun ini menandakan 25 tahun perjalanan Tora Aman selaku syarikat penerbitan komik di Malaysia. Tempoh pahit manis yang pasti menjadi memori terindah kepada pemiliknya, John Baptist dan Esther Khor, yang merupakan pasangan suami isteri.

Meskipun perjuangan mereka terhenti, semangat Doraemon kekal menyala dalam diri setiap individu yang membesar dengan membaca komik animasi tersebut. Sepanjang beroperasi, Tora Aman menterjemahkan komik Doraemon dalam tiga bahasa; Bahasa Melayu, Mandarin dan Inggeris.

Legasi mereka bermula apabila John berjaya mendapatkan lesen penerbitan dari Jepun bagi mencetak komik Doraemon berbahasa Melayu yang pertama di negara ini.

“Garfield merupakan komik pertama keluaran kami tetapi ia kurang mendapat sambutan. Ketika itu juga pasaran komik berbahasa Melayu sangat kecil.

“Selepas menerbitkan lima hingga enam episod, permintaan terhadap komik Doraemon meningkat. Daripada 10,000 naskhah komik yang dicetak, kami berjaya menjadi syarikat cetakan komik Doraemon paling laris di Asia,” Esther mengimbau kegemilangan Tora Aman.

FOTO/PEPATUNG

Pelajar Melayu yang menuntut di Jepun diupah sebagai penterjemah bebas bagi memastikan komik-komik yang diterbitkan menepati maksud sebenar. Kemasyhuran Tora Aman sebagai penerbit komik popular dari Jepun juga membuatkan ia menambah pelbagai judul bagi memberi variasi kepada peminat komik.

Namun, sejak sedekad yang lalu (2007), pasaran industri komik tanah air merudum hampir 70 peratus. Daripada 40 pekerja, Tora Aman mula mengurangkan tenaga kerja sehinggalah berbaki empat hingga lima pembantu sahaja. Itupun ditampung oleh saudara-mara dan kenalan rapat sahaja.

Kepesatan internet telah memunculkan komik versi dalam talian (online) yang juga diklasifikasikan sebagai ‘komik cetak rompak’. Kanak-kanak generasi baharu mula beralih medium pembacaan. Nilai komik fizikal merosot sehingga memaksa para penerbit untuk mendekati promosi moden.

Anak sulung Esther, Chong Chian Wen, 25, yang mengambil alih operasi syarikat tahun lalu cuba mempromosikan komik-komik keluaran mereka menerusi laman Facebook.

“Sambutannya tetap perlahan dan kami hanya dapat menjual kurang daripada 200 naskhah setiap bulan. Pengedar juga kami kurangkan dengan menjadikan kedai buku Popular sebagai pengedar tunggal,” luah Chian Wen tenang.

FOTO/NIKKI

Kali terakhir Tora Aman mencetak komik berskala besar adalah pada tahun 2007. Selepas itu, mereka bergelut untuk memasarkan stok sedia ada.

Meskipun keputusan untuk menutup syarikat berat untuk diputuskan, tetapi ia dianggap praktikal berdasarkan potensi masa depan yang tiada jaminan cerah.

Tora Aman kini sedang menjalankan jualan gudang untuk semua komik cetakan mereka. Pada serendah RM2, anda boleh membeli judul seperti Doraemon, Detektif Conan, Slam Dunk, Great Teacher Onizuka (GTO) dan Captain Tsubasa.

Tiba-tiba teringat episod saat Nobita perlu berpisah dengan Doraemon. Terbayang-bayang momen Doraemon duduk di tepi Nobita yang sedang tidur dengan linangan air mata. Keesokan harinya, Nobita pula duduk berseorangan merenung tingkap di dalam biliknya yang sepi tanpa Doraemon.

Kita sedang merasai kehilangan yang dialami Nobita. Terima kasih dan selamat tinggal Doraemon!

Info Tora Aman:
Alamat: KLK Press Sdn. Bhd., No. 9, Jalan BK 1/18, Kinrara Industrial Park, Bandar Kinrara, 47100 Puchong, Selangor

1 KOMENTAR

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini