Buzz Sosial

Isu rekaan diciplak jenama lain, Minaz berlapang dada

By  | 

KECOH apabila jenama Asyalliee by Shasyahabib didakwa menciplak rekaan, corak dan dipersembahkan dalam fabrik yang sama seperti koleksi Aidilfitri jenama Minaz.

REKAAN peplum organza Minaz (kiri) telah diperkenalkan sejak tiga tahun lalu dan menjadi antara koleksi Aidilfitri popular Minaz yang kini dikeluarkan pula Asyalliee by Shasyahabib (kanan)/FOTO: @minaz.my / @asyalliee.by.shasyahabib

Beberapa hari lalu, pihak Asyalliee by Shasyahabib telah mengatur satu sesi sidang akhbar bagi menjelaskan isu hak cipta koleksi Cliste Rose Series keluaran mereka yang didakwa menciplak rekaan koleksi Carnation Series daripada Minaz.

Begitupun, sidang akhbar tersebut telah ditunda ke tarikh baharu yang belum dimaklumkan.

PENJELASAN yang dikongsi menerusi laman instagram @asyalliee berhubung isu ciplak pada pertengahan Mei lalu./FOTO: @asyallie

Pada pertunjukan fesyen Minaz Blooming Raya 2017 yang berlangsung di Mercu Mustapha Kamal, Damansara, Selangor dua hari lalu, pengasas dan pereka Minaz, Hafiza Abd. Hamid atau mesra dengan gelaran Pija sempat mengulas isu berkenaan.

BACA JUGA: JENDELA JAYA MINAZ: FOKUS FORMULA PIJA

Menurut Pija, pihak Minaz amat terperanjat apabila koleksi tersebut dikeluarkan oleh Asyalliee by Shasyahabib sedangkan cetakan (printed) itu telah diusahakan Minaz sejak tahun lalu.

“Saya sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca dan bagaimana fail berkenaan boleh bocor. Kami hanya mempunyai dua pembekal. Salah satu pembekal tersebut memang kami awasi sejak awal sehinggalah sekarang.

“Kami juga sedang menantikan bukti yang sahih bagi mengenal pasti dalang di sebalik isu ini. Setiap rekaan dan corak Minaz telah didokumentasikan, malah Carnation Series itu juga sedang menunggu pensijilan daripada MyIPO,” jelas Pija kepada Pepatung.

Koleksi Carnation Series Minaz yang dikaitkan dengan koleksi Cliste Rose Series oleh Asyalliee by Shasyahabib itu juga baru dilancarkan pada pertunjukan fesyen malam itu. Begitupun, teaser-nya telah dikongsi kepada Minazlovers (pengikut Minaz) sejak Februari lalu.

MINAZ menerusi laman instagram @minaz.my pada minggu lepas turut berkongsi kisah di sebalik proses penciptaan koleksi Carnation Series yang mula diusahakan sejak tahun lalu./FOTO: @minaz.my

Tambah Pija, dia sendiri telah menemui pemilik jenama Shasyahabib beberapa hari lalu. Segala dokumentasi dan proses yang dijalankan Minaz telah ditunjukkan kepada pihak Shasyahabib.

“Shasyahabib mengatakan teraniaya dengan agen mereka dan tidak tahu-menahu tentang persamaan tersebut. Dia hanya menerima pakaian yang telah siap sepenuhnya.

“Maka saya anggap dia teraniaya, saya juga teraniaya dengan pihak yang membocorkan fail Minaz. Saya enggan memperbesarkan perkara ini. Jika ia boleh diselesaikan secara baik tanpa melibatkan pihak berkuasa, saya terima dengan hati terbuka.

“Kami di pihak Minaz amat berlapang dada menerima keadaan ini. Kami mempunyai pengikut tersendiri yang bijak membezakan keaslian keluaran kami. Begitu juga pihak Shasyahabib yang memiliki pengikut setianya.

PIJA (kiri) bersama Rozita Che Wan (kanan) dan puteri Aaisyah Dhia Rana (tengah) pada pertunjukan fesyen Minaz Blooming Raya 2017./FOTO: @minaz.my

“Saya hanya mahu fokus terhadap jualan sempena Aidilfitri ini dan tetap bersyukur dalam kekeruhan sebegini, Allah masih kurniakan peluang yang berharga kepada Minaz. Alhamdulillah penglibatan Rozita Che Wan amat menggembirakan kami,” ujar Pija yang menganggap isu itu tidak menjejaskan Minaz.

Koleksi Cliste Rose Series dilancarkan di bawah jenama kolaborasi personaliti media sosial, Asyalliee Ahmad bersama Shasyahabib. Berdasarkan keluaran tersebut, coraknya didapati menyerupai keseluruhan corak Carnation Series yang diilhamkan Minaz.

Rekaan dan potongan juga mirip dengan helaian peplum organza yang telah diperkenalkan Minaz sejak tiga tahun lalu.

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *