Didakwa mendera kucing peliharaan, rumah Aliff Syukri diserbu Perhilitan

0
18

RUMAH jutawan terkenal, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman diserbu oleh penguatkuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Selangor (Perhilitan) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia yang terletak di Sungai Buloh, Selangor semalam.

FOTO/THE MALAY MAIL ONLINE

Serbuan tersebut dibuat susulan aduan orang awam bahawa kucing peliharaan Aliff Syukri berkemungkinan didera dan tidak dijaga dengan baik. Kucing baka savannah bernama Dodi itu ditemui di dalam tandas.

Pegawai yang terlibat mengambil masa kira-kira satu jam bagi memeriksa keadaan kucing tersebut.

“Kami mengingatkan Aliff supaya menyediakan tempat tinggal lebih kondusif dengan ruang pengudaraan yang lancar untuk Dodi.

“Pasport haiwan juga disarankan untuk Dodi supaya rekod kesihatan kucing tersebut dapat dipantau dengan sistematik,” salah seorang pegawai berkongsi kepada akhbar Sinar Harian.

Sementara itu, Aliff menjelaskan bahawa sebuah rumah khas untuk kucing tersebut sedang dalam pembinaan.

Sekitar dua minggu lalu, Aliff memuat naik keterangan di laman instagramnya bahawa Dodi masih liar. Dia juga mendedahkan telah menghabiskan wang sekitar RM10,000 untuk dandanan dan keperluan kucing itu.

Netizen turut berkongsi pendapat tentang cara-cara untuk menjinakkan kucing tersebut. Antara cadangan yang diberikan netizen termasuklah memberi baju Aliff yang masih belum dibasuh dan memberi air liur kepada kucing tersebut.

FOTO/INSTAGRAM KUCING_AJAIB

Dodi dikatakan sering bertindak agresif dan Aliff pernah menyatakan hasratnya untuk menjual kucing itu pada harga RM50,000. Kucing berusia dua tahun itu juga mempunyai laman instagram sendiri dengan nama @kucing_ajaib.

Kucing baka savannah merupakan hasil kacukan kucing liar dengan kucing biasa. Difahamkan ia boleh dijinakkan sejak ia lahir.

Sumber: themalaymailonline / Sinar Harian

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini