SEMAKIN hari semakin melampau perkongsian bintang media sosial, Faiz Roslan. Satu demi satu publisiti ditempa dengan cara membikin kontroversi murahan. Ke mana perginya Faiz Roslan, penghibur instagram yang jenakanya sering menggeletek hati pengguna media sosial?

Tidak sedarkah Faiz, video yang dirakam di dalam rumah berdinding hijau dulu yang melonjakkan namanya hari ini. Netizen juga mengikuti perkembangan Faiz sebagai seorang instafamous.

Transformasi penampilannya yang dulu selekeh, kini mewah dengan pakaian berjenama. Wajah ‘kampung’ dulu, sekarang disolek dengan alat-alat mekap yang sebahagiannya diterima atas tuntutan review.

Lokasi video juga dinaik taraf. Kadang-kadang dirakam di kediaman mewah, mungkin rumah rakannya, yang sebenarnya menumpang populariti Faiz.

Hentikanlah Faiz daripada terus memarakkan marah masyarakat kepada kamu. Selama ini, netizen masih bersangka baik dan mendoakan yang baik-baik untuk kamu. Faiz yang mereka anggap sebagai penglipur lara sudah semakin jauh tersasar.

Kenyataan bongkak dan mempersendakan agama bagaikan sudah sebati dalam diri kamu. Ketika kamu ditegur secara terbuka dalam rancangan Motif Viral, masih ramai yang bersimpati dan merasakan kamu berhak ditegur dengan cara tidak mengaibkan untuk tontonan khalayak.

Namun tindakan kamu berkongsi keterbukaan kamu tidak berpuasa atas alasan tidak menunaikan solat fardu benar-benar meremukkan hati mereka yang selama ini masih setia mempertahankan kamu. Mereka yang percaya bahawa kamu mampu untuk berubah ke arah kebaikan.

Tiada lagi secebis simpati untuk kamu. Masyarakat sepakat mengutuk perbuatan kamu yang langsung tidak menghormati Ramadan. Sedangkan orang bukan Islam boleh memuliakan Ramadan, kenapa kamu yang beragama Islam terang-terangan memalukan agama sendiri.

Ini bukan soal hipokrasi. Bukan kamu sahaja yang tidak berpuasa dan tidak bersolat fardu di Malaysia. Barangkali ramai, tetapi tidaklah mereka berbangga dengan perbuatan tersebut. Kerana masih ada iman dalam diri mereka yang mengingatkan bahawa perbuatan mereka itu salah.

Rasional apakah untuk kamu mendabik dada berani mengeluarkan kenyataan sebegitu. Kamu terlalu sombong dan berasakan kesenangan yang kamu nikmati kini adalah atas usaha kamu sendiri. Benar! Tetapi jangan lupa sekelip mata ia boleh ditarik pada bila-bila masa.

Bermuhasabahlah dan jangan ikutkan emosi muda. Bendung kebencian sesama manusia itu dan cuba-cubalah untuk berubah. Tiada siapa menghalang kamu menjadi pondan tetapi biarlah berpada-pada.

Rakyat Malaysia biarpun suka menjaga tepi kain orang, tetapi niat mereka selalunya baik. Anggaplah teguran mereka itu sebagai cabaran untuk kamu berubah. Bukan perubahan drastik yang mereka harapkan, memadai dengan kembali menjadi Faiz Roslan yang dahulu.

Kalau tidak suka sekalipun terhadap kritikan, usahlah muntahkan kenyataan yang boleh memakan diri. Esok lusa media sosial sendiri yang akan menjadi kejatuhan kamu.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini