Bukti bahawa iPhone adalah punca anda menjadi ‘gila’

1
17

MUDAH berasa cemas dan terganggu, gemar bersendirian serta kerap berkhayal adalah antara simptom yang dialami pengguna iPhone. Masalah tersebut dikatakan boleh menjadikan mereka kurang siuman.

Satu kajian yang dijalankan oleh Universiti Missouri, Amerika Syarikat (AS) mendapati apabila individu dipisahkan daripada telefon pintar mereka, walaupun sekejap, ia berisiko membentuk kebimbangan fisiologi dan memberi efek negatif terhadap proses kognitif.

Laporan Huffington Post itu turut mendedahkan, kebergantungan pengguna iPhone terhadap gajet itu membuatkan mereka berasa ‘tidak sempurna’ apabila telefon pintar mereka tiada di sisi.

Mungkin ia satu pendapat melucukan, tetapi bidang Sains telah membuktikan betapa berpengaruhnya telefon pintar dalam melancarkan hidup dan perasaan masyarakat di AS.

Para penyelidik telah menjalankan dua eksperimen ke atas sekumpulan 40 pengguna iPhone. Ujian pertama menyaksikan mereka duduk di dalam sebuah kubikel dan diminta menyelesaikan susun suai gambar (puzzle) dalam situasi yang membenarkan telefon pintar untuk berada dalam simpanan mereka.

Eksperimen kedua pula memerlukan mereka menyempurnakan satu lagi susun suai gambar, cuma kali ini iPhone mereka ‘dirampas’ dan ditempatkan di bahagian lain di dalam bilik yang sama.

Kesemua iPhone milik para peserta kemudiannya dihubungi oleh penyelidik. Mereka masih dapat melihat dan mendengar telefon bimbit mereka berdering, tetapi tidak dibenarkan menjawab panggilan tersebut.

Sepanjang dua eksperimen itu berlangsung, penyelidik merekodkan kadar degupan jantung dan tekanan darah para peserta.

Keputusan yang didapati amat mengejutkan. Apabila peserta dipisahkan daripada iPhone masing-masing, mereka mengalami perubahan drastik ke atas kawalan kecemasan diri, sekali gus meningkatkan kadar degupan jantung dan tekanan darah. Tambahan pula, tumpuan menyelesaikan susun suai gambar juga terjejas dan mereka mengambil masa lebih lama bagi menyelesaikan ujian tersebut.

“Berdasarkan ujian ini, kami menyimpulkan bahawa pengasingan iPhone daripada penggunanya berupaya memberi impak negatif terhadap mental dan tindak-tanduk seseorang.

“Keputusan penyelidikan kami juga mendapati, iPhone berpotensi menjadi sebahagian daripada diri kita dan disebabkan itu, kita mengalami kemurungan dan keadaan fisiologi negatif setiap kali telefon pintar itu tidak bersama-sama kita,” jelas ketua penyelidik, Russell Clayton.

Jadi bagaimana anda boleh mengatasi masalah yang membimbangkan ini?

Tambah Clayton, semua pengguna telefon pintar disarankan untuk membawa bersama gajet itu setiap kali keluar rumah. Bagaimanapun, aktifkan mode senyap (silent) ketika menjalankan kerja-kerja yang menuntut keperluan kognitif seperti mesyuarat dan peperiksaan.

Maka benarlah sangkaan ramai yang mengatakan manusia zaman kini tidak boleh hidup tanpa telefon pintar.

 

Sumber: Science Daily

1 KOMENTAR

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini