Berjimat sempena GST? Tidak mustahil

0
8

BAGAIKAN mendengar sebuah perkataan keramat, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) seperti digeruni oleh pengguna. Sejak diumumkan pada pembentangan Bajet 2014 yang lalu, kebanyakan individu mula berkira-kira tentang kenaikan harga barangan serta perkhidmatan yang bakal berlaku dalam kehidupan seharian.

Mengira detik pelaksanaan GST pada 1 April depan, hari demi hari, pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan untuk mendidik pengguna tentang cara cukai tersebut dikira serta barangan dan perkhidmatan yang dikenakan dan dikecualikan daripadanya. Namun, ia tidak mampu memadamkan kegusaran yang bersarang di hati pengguna.

Tolak tepi sebentar mengenai peperangan rakyat tentang GST. Apa yang penting sekarang adalah langkah yang perlu diambil untuk mengurangkan perbelanjaan seterusnya berjimat pada masa akan datang. Harga barangan akan terus naik, tetapi cara perbelanjaan mampu untuk diubah. Berikut adalah tips yang boleh anda amalkan apabila GST dilaksanakan kelak:

1) Kurangkan makan di luar
Sempena dengan kedatangan GST, kurangkan makan di luar dan kerap masak di rumah. Barang-barang mentah yang belum diproses seperti ayam, ikan, daging dan sayur tidak dikenakan GST. Selain berjimat, memasak di rumah juga boleh menjurus kepada cara pemakanan sihat.

2) Alternatif
GST dikenakan terhadap kebanyakan barang-barang harian termasuk barangan permainan kanak-kanak. Mungkin ia bakal membebankan keluarga kerana terpaksa berbelanja lebih ketika membelikan permainan untuk anak-anak. Bagi mengelakkan pembaziran, apa kata cari alternatif lain seperti membelikan mereka buku cerita atau aktiviti. Selain dapat mengisi masa lapang, bahan-bahan pendidikan seperti itu boleh digunakan dalam jangka masa yang panjang.

3) Kurangkan aktiviti untuk keluar berhibur
Menonton wayang merupakan salah satu cara untuk kita menangani stress. Namun, kadar penjualan tiket bakal meningkat selepas GST dilaksanakan pada 1 April nanti. Anda mungkin boleh meneruskan hobi tersebut secara mingguan, tetapi, kurangkan perbelanjaan membeli bertih jagung, makanan serta minuman ringan sebelum masuk ke dalam panggung.

4) Berkongsi kereta
Sejak sekian lama, pihak kerajaan menyarankan agar pengguna jalan raya berkongsi kereta sewaktu mahu ke tempat kerja atau menjalankan aktiviti harian. Benar, ia bukan satu perkara yang mudah. Namun, apabila GST bermula, kadar yuran parkir juga akan meningkat. Jadi, jika anda merancang untuk ke sesuatu tempat bersama rakan-rakan yang tinggal berhampiran, apa kata amalkan rutin berkongsi wang untuk membayar duit petrol serta yuran parkir. Menjimatkan masa dan wang.

5) Kurangkan aktiviti memanjakan diri
Kekerapan mendapatkan khidmat mewarna dan mencuci rambut serta merias kuku di salon juga boleh menyebabkan pembaziran. Perkara-perkara tersebut mungkin mampu mengubah penampilan anda, namun, ia bukan satu keperluan yang perlu diutamakan. Apa kata, cuba tampil natural dengan rambut hitam dan kuku tanpa warna. Rambut tanpa warna tidak memerlukan komitmen yang tinggi untuk bertandang ke salon hampir setiap bulan bagi menjalankan proses pewarnaan akar (root touch-ups).

6) Kurangkan perkara-perkara yang kurang menyihatkan/berfaedah
Mungkin kini sudah tiba masanya untuk anda belajar memperlahankan aktiviti merokok dan minum minuman keras. Selain tidak menyihatkan, kos untuk membeli rokok serta minuman beralkohol boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan lain.

Untuk menyemak barangan yang dikenakan GST, boleh muat turun file PDF di sini.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini