Berjihad untuk ISIS, Singapura tahan wanita pertama di bawah ISA

0
18

SINGAPURA buat pertama kali telah menahan seorang suspek perempuan, Syaikhah Izzah Zahrah Al-Ansari, 22, kerana disyaki menyokong perjuangan ISIS. Syaikhah Izzah yang turut mempunyai seorang anak dikatakan telah terpengaruh dengan agenda kumpulan militan ISIS sejak tahun 2013.

FOTO/ALL SINGAPORES STUFF

Pada tahun berikutnya, pembantu pengasuh kanak-kanak itu secara aktif berkongsi gambar-gambar dan berita di media sosial tentang propaganda ISIS. Walaupun beberapa kali laman sosialnya disekat, Syaikhah Izzah akan membuka akaun baharu.

FOTO/SMRT FEEDBACK

Pada tahun 2015, wanita tersebut memuat naik kenyataan bahawa dirinya sedang mencari seorang suami untuk bersama-sama berjihad di Syria. Syaikhah Izzah percaya bahawa dia akan mendapat ‘syurga’ jika bakal suaminya, mati di medan perang, malah, kenyataannya juga turut menyeru semua muslim untuk turut sama berjihad di medan perang.

FOTO/ALL SINGAPORES STUFF

Menurut kenyataan daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MHA) Singapura, pihak mereka sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan terhadap seorang ahli keluarga Syaikhah Izzah yang memusnahkan sebahagian bukti yang mengaitkannya dengan ISIS.

Penghapusan bukti itu dipercayai dilakukan selepas Syaikhah Izzah ditahan untuk siasatan dengan niat untuk mengurangkan dakwaan dan hukuman ke atas wanita tersebut.

Keluarganya, walaupun tidak menyokong ISIS, tetapi mereka seharusnya membawa dan membuat aduan kepada pihak berwajib  tentang perilaku Syaikhah Izzah yang condong terhadap perjuangan radikal ISIS.

“Kerajaan mengambil serius tentang keselamatan rakyat Singapura. Sebagai negara berbilang kaum, kita seharusnya sedar bahawa apa jua tindakan pasti akan ada implikasinya terhadap komuniti lain. Kes ini telah mengundang keresahan dan mungkin meningkatkan perspektif negatif terhadap komuniti Islam,” demikian kenyataan MHA menerusi satu siaran akhbar.

Syaikhah Izzah ditahan pada 12 Jun lalu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Singapura. Penahanan itu menjadikan dia wanita pertama republik negara itu ditahan di bawah ISA berkaitan radikalisme.

Sumber: Todayonline

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini