Belai kucing mampu hilangkan tekanan

0
15

SIAPA sahaja akan terpikat dan jatuh cinta melihat keletah manja kucing sewaktu dibelai. Sifat mereka yang mudah didekati dan manja menjadikan kucing sebagai haiwan peliharaan pilihan kebanyakan individu.

Namun tahukah anda, aktiviti membelai kucing mampu mengurangkan stres? Menurut Profesor Adna Qureshi dari Universiti Minnesota, membelai kucing mampu menurunkan kadar hormon stres dalam darah dan secara tidak langsung membantu diri seseorang itu terhindar dari serangan jantung.

Mungkin sesetengah daripada kita merasa terbeban untuk memelihara kucing. Selain penjagaan yang agak rumit, kekangan masa dalam menguruskan haiwan itu juga menjadi punca mengapa masih ramai individu di luar sana tidak mahu menjadikan kucing sebagai haiwan pelihraan.

Jika anda sering mengalami tekanan di tempat kerja pada tempoh yang lama, aliran hormon adrenalin dan hormon kortisol yang dipam secara terus masuk ke dalam darah dan akhirnya boleh mengakibatkan tekanan darah tinggi.

Namun dengan meluangkan masa bermain dengan kucing selama 10 hingga 20 minit dikatakan mampu mengurangkan tekanan dan mengubah mood anda serta merta.

Selain itu, ada berita gembira buat si pengemar kucing yang sering menjadikan kucing mereka peneman tidur. Tahukah anda, dengkuran kucing sebanyak 50Hz juga baik untuk kesihatan manusia?

Bukan itu sahaja, si comel ini juga digelar haiwan pembersih. Ini kerana, lidah kucing merupakan ejen pembersihan utama. Permukaan lidah mereka yang kasar mampu membuang bulu-bulu mati dan membersihkan bulu-bulu yang tersisa di badannya. Oleh sebab itu, kita sering terlihat kucing kerap menjilat bulu-bulu di seluruh badan untuk membersihkan diri.

Ini dibuktikan menerusi kajian Dr. George Maqshud, ketua makmal di Hospital Haiwan Baitharah, yang menemui bakteria amat jarang dikesan pada lidah kucing. Jika terdapat bakteria sekalipun pada lidah kucing itu bermakna kucing itu sedang sakit.

Jadi untuk anda di luar sana yang masih tercari-cari haiwan peliharaan yang sesuai. Tiada alasan untuk anda masih ragu-ragu untuk jadikan kucing sebagai terapi emosi anda. – NINA JURY

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini