Semasa

Balik kampung tunggang motosikal, rasa seperti konvoi hari raya

By  | 

MENJELANG musim perayaan, pasti ramai yang sedang melakukan persiapan untuk pulang ke kampung halaman. Bagi mereka yang berkereta, kenderaan perlu diselenggara terlebih dahulu bagi memastikan keselamatan sepanjang perjalanan jauh.

FOTO/YOUTUBE MRAIZAM EV

Mereka yang pulang menaiki pengangkutan awam pula, kebanyakannya telah membeli tiket bas, kereta api atau pesawat lebih awal supaya tidak kempunan untuk berhari raya bersama keluarga.

Begitu juga kelompok bermotosikal, semangat balik kampung itu juga menyala-nyala dalam diri. Sama ada menunggang seorang diri atau ditemani rakan yang membonceng, pengalaman menempuh perjalanan panjang bersama kenderaan beroda dua itu pasti memberikan memori pahit dan manis untuk dikenang.

Safiuddin Salehin, 30, antaranya, pernah merasai pulang ke kampung untuk berhari raya selama tiga tahun berturut-turut dengan bermotosikal.

Ketika itu, dia masih menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor dan terpaksa menunggang motosikal usangnya ke Pontian, Johor. Perjalanan sepanjang empat jam itu baginya menyeronokkan.

“Jika dari Shah Alam kita berdua, setibanya di Seremban, kita akan ditemani 20 penunggang. Sampai di Ayer Keroh pula, kelompok penunggang bertambah besar menjadi 30 hingga 40 orang.

FOTO/MOHDSUKURIBRAHIM.BLOGSPOT

“Begitulah perasaan yang dirasai penunggang motosikal, biarpun tidak saling mengenali, tetapi semangat balik raya itu amat istimewa sehingga perjalanan dirasakan seperti konvoi,” imbas Safiuddin.

Suasana jalan raya yang sibuk pada musim perayaan juga memberikan kelebihan kepada penunggang motosikal apabila mereka menunggang secara berkumpulan. Sekurang-kurangnya keberadaan mereka disedari pemandu kenderaan lain.

Selama empat jam itu juga, Safiuddin akan berhenti mengisi minyak tiga atau empat kali di hentian Seremban, Ayer Keroh, Pagoh dan Machap. Purata tangki minyak motosikalnya pula hanya mencecah RM5. Jadi, Safiuddin hanya memperuntukkan sekitar RM20 untuk pengangkutan pulang ke kampung.

“Cuma penunggang motosikal ini terdedah dengan cuaca yang tidak menentu. Redah hujan lebat itu perkara biasa. Semua basah macam ayam basah bulu, menggigil dalam kesejukan.

“Kadang-kadang rindu pulang ke kampung menunggang motosikal. Bila teringat pengalaman lalu, boleh tersenyum sendirian,” tambah Safiuddin.

Tidak banyak berbeza dengan Siti Fatimah Madzalan, 30, yang pernah pulang untuk berhari raya ke Gemas, Negeri Sembilan dari Kuala Lumpur.

FOTO/MAUKERJA

Ketika itu, dia yang baru mendirikan rumah tangga dan masih belum membeli kereta, terpaksa menempuh hujan lebat sebanyak empat kali.

“Sekejap kering, sekejap basah. Disebabkan terlalu bosan, saya pasang fon telinga sambil menyanyi dengan kuat. Memang meletihkan tetapi seronok sebab terselamat daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas,” kongsi Siti Fatimah.

Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran perjalanan, seseorang penunggang perlulah mengisi minyak di setiap hentian yang disinggahi.

Jangan sombong dan sertai konvoi (penunggang berkumpulan) yang berada di atas jalan raya. Pastikan juga anda mendapat rehat yang secukupnya termasuklah keadaan motosikal yang telah diperiksa dan terjamin keselamatannya.

Elakkan menunggang dengan terburu-buru. Tidak perlu kejar masa kerana penunggang motosikal tidak berdepan risiko kesesakan seperti kenderaan lain. Penjimatan masa itu memang menyebelahi penunggang motosikal. Jadi, tungganglah dengan cermat dan berhati-hati.

Berdasarkan statistik jumlah kematian mengikut kategori pengguna jalan raya sejak 2005 hingga 2015 yang diperoleh daripada Buku Statistik Keselamatan Jalan Raya Tahun 2016, Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, penunggang motosikal mencatatkan bilangan tertinggi dengan 40,363 kematian.

Kematian penunggang dan pembonceng motosikal yang dikumpulkan dari tahun 2011 hingga 2015 juga mendapati individu berusia 16 hingga 20 tahun mencatatkan bilangan tertinggi.

Secara rasionalnya, kelompok usia tersebut merupakan individu lepasan sekolah yang sedang menuntut pengajian di institusi-institusi pengajian tinggi. Motosikal menjadi satu-satunya pilihan untuk mereka pulang ke kampung halaman sama ada untuk menyambut hari raya atau pada cuti semester.

Justeru, memupuk keprihatinan dalam menunggang secara berhati-hati amat penting bagi memastikan keselamatan, khhususnya menjelang musim perayaan ini. Dalam semangat balik kampung, tanamkan juga peringatan agar lebih berwaspada di jalan raya.

Selamat tiba ke destinasi dan desa tercinta.

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *