Semasa

Aplikasi Kil-Dengue bantu halau nyamuk

By  | 

ANDA tidak lagi memerlukan racun perosak ataupun lingkaran ubat nyamuk bagi mengekang kehadiran serangga penyebab penyakit denggi itu. Menerusi aplikasi Kil-Dengue, tidur anda akan lebih nyenyak tanpa gangguan sang nyamuk.

screen568x568FOTO/iTUNES

Teknologi yang diperkenalkan New Wave Communications Sdn. Bhd. (New Wave) itu berfungsi menerusi penjanaan frekuensi atau gelombang bunyi yang bertujuan menghalau nyamuk.

Ketua Aplikasi Mobil syarikat tersebut, Dorothy Yap menjelaskan, Kil-Dengue menghasilkan frekuensi nyamuk jantan yang sedang berterbangan. Bunyi tersebut berupaya menghalau nyamuk betina yang merupakan pembawa wabak denggi. Ia telah diuji mampu menghalau 75 peratus daripada vektor tersebut dengan efektif.

Frekuensi bunyinya yang amat rendah dan tidak kedengaran di telinga manusia juga membuatkan anda bebas daripada sebarang gangguan. Begitupun, ia masih ditetapkan pada pic (pitch) yang betul bersesuaian dengan kebolehannya menghalau nyamuk termasuk nyamuk aedes aegypti

“Selain daripada keberkesanannya, faedah menggunakan aplikasi ini termasuklah ciri mobiliti dan kebolehpercayaannya. Ia mudah dimuat turun secara dalam talian dan frekuensinya boleh diaktifkan pada bila-bila masa dan di mana–mana sahaja apabila diperlukan walaupun di lokasi tanpa signal telekomunikasi. Efeknya juga segera,” tambah Dorothy.

Aplikasi tersebut mengambil masa tiga tahun untuk diperkembangkan dan diuji ke atas nyamuk tempatan. Formula frekuensinya didapati berkesan menghalau lebih daripada 75 peratus nyamuk aedes aegypti yang merupakan vektor utama pembawa denggi dan keberkesanannya turut diuji oleh Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia.

2-kil dengueDARI KIRI: DOROTHY, JOHN SUNG DAN HIDAYATUL PADA MAJLIS PELANCARAN KIL-DENGUE DI ARMADA, PETALING JAYA, SELANGOR BARU-BARU INI. FOTO/IHSAN BRIDGES PR

Menurut Pengerusi New Wave, John Sung, teknologi menggunakan frekuensi bunyi bagi menghalau nyamuk telah diadaptasi di Korea. Bagaimanapun gelombang sedia ada itu tidak sesuai digunakan di Malaysia ekoran perbezaan jenis nyamuk yang terdapat di Malaysia khususnya nyamuk pembawa denggi.

Malaysia mempunyai jenis nyamuk dan senario denggi yang berbeza. Pada tahun 2014, Malaysia menyaksikan peningkatan dramatik dalam jumlah kes denggi yang dilaporkan. Trend itu berterusan pada suku pertama 2015 dengan 32,535 kes dan 101 kematian dicatatkan. Ia bersamaan dengan 37 peratus kenaikan kes dan menggandakan bilangan kematian dalam tempoh yang sama pada 2014.

Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan Malaysia, sejumlah 108,698 kes denggi telah dilaporkan pada 2014, melebihi paras 100,000 untuk kali pertama dengan peningkatan sebanyak 151 peratus berbanding 2013. Wabak sepanjang tahun ini adalah yang paling teruk dalam sejarah negara kita dengan angka korban mencecah 215 nyawa.

Menurut profesor madya Parasitologi dan Entomologi Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Hidayatul Fathi Othman, nyamuk aedes selalunya ditemui dalam populasi nyamuk tempatan dan nyamuk aedes aegypti mewakili 90 peratus daripada jenis yang menyebarkan denggi di rumah.

“Nyamuk aedes aegypti menyebarkan jangkitan virus denggi sewaktu menggigit, tetapi hanya nyamuk betina menyuburkan yang telah membiak berbuat demikian kerana memerlukan protein darah manusia untuk telur di dalam badannya. Setelah membiak, mereka akan menghindari nyamuk jantan,” jelasnya.

Aplikasi mudah alih Kil-Dengue boleh digunakan untuk Android dan IOS. Ikuti langkah-langkah untuk memuat turun aplikasi Kil-Dengue seperti tertera di bawah.

1) Pergi ke Play Store / App Store: Sila buka app Google Play pada alat anda

2) Cari Kil-Dengue: Gunakan fungsi carian dan cari ‘Kil-Dengue’

3) Muat turun dan Aktifkan: Hanya klik pada app dan aktifkannya dan anda sudah bersedia untuk menggunakannya

Kil-Dengue adalah aplikasi mudah alih berasaskan langganan satu kali. Jumlah cajnya adalah RM10 untuk langganan dengan peranti mudah alih Android, dan RM11.18 (AS$2.99) untuk peranti mudah alih IOS. Bayaran akan ditolak terus daripada akaun App Store atau Play Store anda. Untuk melanggan, pastikan akaun Google atau Apple anda dihubungkan dengan atau kad debit atau kredit anda.

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *