10 juta manusia akan mati setiap tahun menjelang 2050 akibat antibiotik

0
16

SECARA teori, mempreskripsikan antibiotik terhadap pesakit adalah idea yang bernas. Namun, sedarkah anda penggunaan antibiotik secara berlebihan dalam amalan perubatan boleh mengundang bahaya?

Itulah yang cuba untuk disampaikan menerusi satu penyelidikan yang dijalankan oleh kerajaan British baru-baru ini. Menerusi kajian tersebut, menjelang tahun 2050, kira-kira 10 juta manusia akan mati setiap tahun akibat kegagalan preskripsi antibiotik. Kos global pada waktu itu? Lapan trilion dolar untuk setiap tahun.

Laporan penyelidikan tersebut menganggarkan seramai 700,000 kes kematian dicatatkan setiap tahun akibat kegagalan antibiotik untuk menghapuskan kuman yang ‘kebal’ terhadap penggunaan jenis ubatan berkenaan. Ternyata, ia merupakan satu fenomena yang serius jika langkah pencegahan tidak diambil.

Masalah yang ada pada antibiotik adalah, mikroorganisma sentiasa berubah. Apabila sesuatu kuman itu diserang beberapa kali oleh antibiotik yang sama, maka ia akan membangunkan ‘dinding’ rintangan dengan sendirinya.

Terdapat dua pilihan bagi menangani masalah tersebut. Pertama, sentiasa mencipta antibiotik baharu setiap kali kuman dan virus telah imun dengan formula yang sama. Atau, tidak menggunakan antibiotik dengan kadar yang terlalu kerap bagi memperlahan pembinaan rintangan oleh kuman sekaligus membolehkan antibiotik digunakan dalam jangka masa yang lama.

Pilihan kedua dilihat lebih realistik. Satu kajian yang dilakukan tahun lalu mendapati, antibiotik yang diberikan kepada kanak-kanak dengan jumlah dua kali lebih banyak daripada kadar yang diperlukan, mewujudkan sebanyak 11 juta preskripsi yang sia-sia setahun. Dan menurut portal Mother Jones, penggunaan antibiotik di ladang ternakan telah meningkat dari 9 juta kilogram pada tahun 2003 kepada hampir 13 juta kilogram pada 2011.

Jika para doktor merendahkan kadar preskripsi antibiotik untuk pesakit – dan penternak mengurangkan penggunaan ubat-ubatan terhadap haiwan ternakan mereka, mungkin kadar jangkaan kematian dapat diturunkan. Jika tidak, kita mungkin munuju ke era yang menakutkan dalam bidang perubatan dunia.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini