Perkahwinan

Merealisasikan potluck wedding

By  | 

POTLUCK WEDDING. Mungkin agak janggal didengar, namun, resepsi seperti itu sebenarnya wujud. Potluck wedding adalah sebuah majlis resepsi perkahwinan yang memerlukan tetamu hadir dengan makanan serta minuman yang disediakan dari rumah. Biasanya, potluck wedding dibuat apabila majlis yang diadakan bagi meraikan pengantin dilakukan secara kecil-kecilan dan dihadiri oleh kaum keluarga terdekat dan teman rapat. Selain meriah, ia juga menjimatkan dan boleh mengelakkan pembaziran.

Bagi merealisasikan potluck wedding, anda perlu mengambil kira beberapa faktor. Antaranya adalah kebolehan memasak dan cita rasa tetamu yang hadir. Bagi memudahkan proses merancang potluck wedding, pastikan setiap wakil daripada tetamu yang hadir tahu serba-serbi tentang dunia masakan. Pertama, mereka seharusnya pandai memasak. Kedua, mereka juga perlu tahu memasak pelbagai jenis makanan.

Benar, anda boleh memilih untuk membeli makanan yang telah sedia di masak. Namun, tiada istilah istimewa pada majlis potluck wedding apabila makanan yang dibawa dibeli daripada restoran berdekatan. Selain itu, cita rasa perlulah berbeza agar makanan yang dibawa punya variasi.

Ketika merancang untuk mengadakan potluck wedding, anda perlu bertanya pada diri sendiri adakah majlis tersebut bersifat praktikal? Jika kebanyakan daripada ahli keluarga atau sahabat handai tinggal di luar 30 kilometer daripada lokasi resepsi, mungkin ia menjadi sedikit beban kepada mereka untuk membawa makanan yang telah dimasak.

Selepas selesai menentukan tugasan dan praktikaliti, pastikan majlis yang anda ingin adakan tidak bersifat murah. Bagaimana? Abaikan hadiah perkahwinan jika tetamu mengambil bahagian untuk memasak pada majlis tersebut. Selain itu, bagi kaum Melayu, pemberian wang ang pau selepas selesai menjamu selera juga mungkin tidak perlu diamalkan pada majlis sebegini. Tiada hadiah, tiada wang ang pau. Apa yang ada hanyalah makanan yang dimasak untuk dinikmati bersama.

Jangan lupa untuk sediakan sesuatu. Sebagai pengendali majlis, anda tidak boleh bersifat lepas tangan dan menunggu makanan dibawa oleh para tetamu. Sebaliknya, sediakan hidangan asas, khususnya makanan yang terkandung dalam menu utama. Sebagai contoh, jika anda gemarkan potluck wedding bertemakan Asia, anda mungkin boleh menyediakan pelbagai jenis hidangan daging atau nasi goreng sementara tetamu yang hadir membawa lauk pauk berlainan. Jika anda tidak menyediakan sebarang hidangan, majlis tersebut akan nampak murah. Seperti anda mahukan majlis resepsi dengan makanan percuma.

Tips: Rujuk ahli keluarga atau teman yang sering mencuba resepi baharu sebagai panduan. Anda mungkin memerlukan nasihat mereka sebelum merancang sepenuhnya potluck wedding. Sementara itu, bagi yang tidak tahu memasak, boleh minta mereka untuk menyedia minuman atau pun menghias meja makan.

Jika anda mahukan suasana taman, pastikan majlis tersebut dilengkapi dengan khemah, kemudahan mencuci tangan, tandas dan tikar.

Gunakan pinggan dan cawan yang diperbuat daripada kertas yang boleh dikitar semula. Selain memudahkan anda untuk tidak mencuci peralatan tersebut, anda juga boleh membantu menyelamatkan alam sekitar daripada tercemar.

Comments

comments

Memulakan karier sebagai pembantu editorial untuk sebuah majalah bertemakan perkahwinan sekitar empat tahun yang lalu, langkah jejaka ini dalam bidang penulisan semakin berkembang tatkala idea untuk membina empayar kandungan digital Pepatung tercetus olehnya.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *