Rahsia Kulit Cerah Dan Mulus

0
37

RAMAI antara kita yang terlalu obses untuk mendapatkan kulit wajah serta tubuh yang mulus dan cerah. Ada yang mengamalkan minuman kesihatan seperti kolagen dan ada juga yang berani menyuntik vitamin atau botox bagi mengembalikan keanjalan serta keremajaan kulit.

Namun, masih ada cara alternatif lain yang mampu diguna pakai bagi mendapatkan kulit yang sihat dan cantik. Izwan Mohd. Isa menyelongkar cara-cara mudah bagi mendapatkan kulit wajah yang berseri tanpa berbelanja dengan banyak.

Minum air masak
Minum, minum dan minum. Tiada apa yang lebih ajaib daripada kandungan neutral air masak. Tidak mengandungi kalori atau sebarang campuran, air masak mampu membersihkan buah pinggang, darah serta menjadi elektrolit kepada vitamin untuk sampai ke tempat yang dituju. Selain itu, ia mampu mengembalikan kelembapan kulit wajah dan tubuh saat matahari membakar dan membahang pada waktu siang.

Oles tabir suria
Penjagaan wajah yang sempurna perlu diakhiri dengan olesan tabir suria. Masih buntu jenis krim tabir suria yang sesuai dengan kulit anda? Jika anda mempunyai kulit kering, pilih tabir suria yang berasaskan krim. Namun, jika kulit anda jenis berminyak, pilih tabir suria berasaskan air atau gel. Keliru dengan jumlah SPF yang terkandung dalam tabir suria? Bahagi jumlah yang tertera pada botol tabir suria kepada angka lima. Jawapan akhir ialah tempoh masa tabir suria dapat melindungi kulit. Contoh: SPF 15, jadi 15 / 5 jawapannya 3. Justeru, selepas tiga jam, anda perlu mengulang oles tabir suria pilihan anda bagi mengekalkan pelingungan kulit terhadap pancaran suria.

Suplemen
Ya, mengambil vitamin dalam bentuk suplemen mungkin bukan alternatif paling murah. Namun, pelaburan yang bijak mampu mendatangkan hasil yang lumayan. Jika anda mahu memilih vitamin, pilih jenama yang benar-benar diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia selain harga promosi dan hadiah sampingan. Pengambilan vitamin C, A, E, dan beberapa jenis mineral seperti Kalsium dan Iron mampu memberikan perubahan pada kulit, rambut serta kuku.

Bersenam
Mengeluarkan peluh bukan setakat menjanjikan badan yang sihat. Malah, proses bersenam mampu membuka pori-pori kulit dan membenarkan ia bernafas. Toksin mampu dinyahkan menerusi proses perpeluhan. Ingat, bersenam dan berpeluh mampu mengurangkan bendalir dalam tubuh. Justeru, minum air masak dengan banyak selepas sesi senaman dapat mengembalikan tenaga serta cecair yang hilang.

Tidur
Waktu tidur paling efektif adalah antara pukul 10 malam hingga 12 tengah malam. Tempoh masa tidur juga perlu mencukupi lapan jam. Percayalah, jika anda mengamalkan skala tidur yang mengikut jadual, kulit wajah anda pasti kembali mulus dan berseri-seri.

Kredit gambar: Getty Images

KONGSI
Artikel sebelumnyaSelena Gomez Menderita Penyakit Lupus
Artikel seterusnyaJiwa Melankolik Sudirmania
Memulakan karier sebagai pembantu editorial untuk sebuah majalah bertemakan perkahwinan sekitar empat tahun yang lalu, langkah jejaka ini dalam bidang penulisan semakin berkembang tatkala idea untuk membina empayar kandungan digital Pepatung tercetus olehnya.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini