Lima produk penjagaan peribadi lelaki mesti ada!

1
520

LELAKI dan kecantikan adalah perkaitan yang kedengaran kurang maskulin. Bukan apa, kebanyakan lelaki kurang memberi penekanan terhadap perihal penjagaan peribadi terutama apabila melibatkan penggunaan krim wajah, losen, serum dan toner.

Barangkali produk tersebut tidak begitu penting dalam senarai keutamaan kaum Adam tetapi itu tidak bermakna golongan lelaki boleh mengabaikan terus urusan penjagaan kecantikan. Kami tahu betapa malasnya anda yang bergelar lelaki untuk melapangkan waktu atau melaburkan wang ringgit memilih dan membeli variasi produk kecantikan.

Namun sekurang-kurangnya pastikan anda mempunyai lima produk teras ini. Dengan adanya lima item ini, produk lain bolehlah sekadar dijadikan opsyen mengikut kehendak dan keperluan masing-masing.

1) Pencuci muka
Asas kepada kesihatan kulit wajah adalah pencuci muka. Terdapat pelbagai jenis produk pencuci muka yang disediakan sama ada dalam bentuk sabun buku, gel, krim atau buih. Ramai lelaki mengabaikan item asas ini kerana beranggapan sabun mandian biasa juga mampu berfungsi sebagai pencuci muka.

Tanggapan ini tidak boleh diguna pakai memandangkan sabun mandian mempunyai kandungan berbeza (nilai pH berlainan) dan khusus untuk diaplikasikan pada badan. Tekstur kulit wajah kita adalah berbeza dan penggunaan berterusan sabun badan pada wajah akan mengundang kerosakan kepada kulit (permukaan kasar dan menambah bukaan liang pori).

Sebelum memilih pencuci muka bersesuaian, kenal pasti jenis kulit anda. Terdapat lima kategori kulit iaitu normal, berminyak, kering, sensitif dan kombinasi. Mereka dalam kelompok kulit normal memiliki keseimbangan kelembapan, minyak dan tahan lasak.

6-produk lelaki

Namun sekiranya wajah anda tampak berkilat dan berminyak walaupun selepas beberapa jam mencuci muka, maka anda tergolong sebagai individu berkulit berminyak. Individu berkulit kering pula mempunyai pori wajah yang sukar dilihat selepas beberapa jam muka dicuci manakala mereka yang berkulit sensitif akan kerap berasa ketegangan dan kegatalan serta berdepan tindak balas alahan apabila wajah diaplikasikan dengan sesetengah produk kecantikan.

Akhir sekali adalah individu berkulit kombinasi yang mempunyai gabungan beberapa masalah. Sebahagian daripada wajah mereka berminyak dan sebahagian lagi kering atau sensitif.

Pemilihan produk pencuci muka mesti dilakukan berdasarkan kategori kulit anda. Jangan mengukur keistimewaan sesebuah produk berdasarkan pek luaran atau populariti jenama kerana ia bukanlah satu jaminan.

2-TRP pencuci muka.jpg-c

Individu berkulit kering perlu mengelakkan produk dengan kandungan alkohol yang tinggi. Produk dengan kadar pH rendah pula sesuai untuk mereka yang berkulit berminyak. Pilihlah produk mesra alam bebas wangian yang banyak menggunakan bahan-bahan semula jadi sekiranya anda memiliki kulit sensitif.

Jangan malas untuk meluangkan masa membelek kandungan bahan pada botol atau kotak pencuci wajah. Berhenti menjadi lelaki serba tidak peduli terhadap dunia kecantikan kerana jika tidak dijaga dari awal, anda akan mengalami penuaan lebih awal.

Bagaimana mahu kelihatan tampan pada usia 40 tahun kelak? Lelaki lain seronok meraikan fasa ‘hidup bermula pada umur 40 tahun’, anda pula sudah kelihatan seperti orang berumur 50 tahun.

2) Pelembap (Moisturizer)
Barangkali pelembap adalah produk kecantikan yang paling tidak diberi tumpuan oleh kaum Adam terutama lelaki berusia. Satu laporan yang didedahkan oleh Mintel, sebuah syarikat yang menjalankan penyelidikan pasaran tahun lalu mendapati hanya 32 peratus lelaki berusia 55 hingga 64 tahun menggunakan pelembap wajah.

Namun terdapat perkembangan positif dalam kalangan lelaki muda. Sebanyak 58 peratus lelaki berumur 18 hingga 24 tahun dan 63 peratus daripada kelompok usia 25 hingga 34 tahun mengaku menggunakan produk ini.

Keputusan tersebut merupakan indikasi yang dijalankan di luar negara. Dalam konteks Malaysia, lelaki masih cetek pengetahuan tentang kepentingan pelembap wajah. Stereotaip bahawa produk ini bersifat feminin masih mencengkam pemikiran sesetengah lelaki tempatan.

200136745-001

Persekitaran semasa dengan pelbagai pencemaran memberi kesan kepada kualiti udara. Justeru, perlindungan kulit wajah ketika berada di luar rumah sangat penting. Tolak ke tepi imej macho atau tidak, lagi pun tiada siapa nampak anda mengoles pelembap wajah di rumah bukan?

Pelembap wajah boleh menjadi pengganti kepada krim pelindung matahari sekiranya ia dilengkapi faktor perlindungan matahari (SPF) bagi mengelakkan kulit terjejas akibat sinaran ultraungu (UV).

Aplikasi produk ini pada wajah dengan urutan perlahan membantu meningkatkan peredaran darah sekali gus menyingkirkan lapisan sel kulit mati. Tindakan ini kemudiannya merangsang penjanaan sel kulit baharu yang efektif dalam menghapuskan sebarang pigmentasi termasuk pembentukan akne. Keremajaan kulit wajah juga terpelihara sekiranya anda rajin menggunakan pelembap wajah.

3) Deodoran
Lelaki dan peluh tidak dapat dipisahkan. Gaya hidup aktif kebanyakan lelaki membuatkan mereka cepat dan kerap berpeluh. Masalah tersebut kemudiannya mengundang bau badan yang tidak menyenangkan dalam kalangan orang sekeliling. Mungkin ada yang buntu memikirkan deodoran yang sesuai kerana sering tersalah pilih.

Pertama sekali, anda perlu tahu terdapat perbezaan antara deodoran dan produk antipeluh. Kedua-dua produk ini didatangkan dalam fungsi berlainan meskipun ia disapu di bahagian sama iaitu di bawah lengan (ketiak).

Deodoran digunakan bagi melawan peluh manakala antipeluh pula bertujuan untuk mengekang pembentukan peluh. Dengan erti kata lain, anda menggunakan deodoran bagi melawan peluh yang terbentuk, meneutralkan bau dan mengelakkan ketidakselesaan. Produk antipeluh pula mengelakkan anda daripada berpeluh.

6-TRP deodoran.jpg-c

Jadi sekiranya anda seorang lelaki yang mudah berpeluh, produk antipeluh adalah solusi terbaik untuk keselesaan sepanjang hari. Deodoran juga boleh digunakan tetapi untuk jangka masa pendek.

Anda juga perlu memilih jenis deodoran mengikut kesesuaian kulit anda. Deodoran berbuli (roll-on) atau stick/gel adalah jenis yang sering digunakan. Namun sekiranya anda mengalami masalah kekuningan pada pakaian selepas menggunakan deodoran jenis ini, tukarlah kepada deodoran dalam bentuk semburan.

Masalah kekuningan itu sebenarnya satu tindak balas normal oleh bahan asas dalam deodoran iaitu garam aluminium. Bahan ini bertujuan untuk menutup pori kulit bagi mengurangkan perpeluhan. Justeru, jika anda mahu mengelakkan masalah ini daripada berterusan, semak kandungannya terlebih dulu sebelum membeli.

4) Ubat kumur (mouthwash)
Jika kemanisan wanita diukur pada senyumannya, lelaki pula dinilai berdasarkan bau nafasnya. Selain menggosok gigi dua kali sehari, rejim berkumur menggunakan ubat kumur seperti Listerine mampu mengatasi masalah nafas berbau.

Terdapat lima jenis ubat kumur dan anda boleh memilihnya mengikut kepentingannya kepada nafas anda. Secara amnya, semua ubat kumur membantu mengurang dan menyahkan nafas berbau. Namun setiap pecahannya memberikan perlindungan berbeza.

article-1113422-0308B1E1000005DC-968_468x332

Ubat kumur berfluorida misalnya, membantu menguatkan dan menyediakan perlindungan tambahan terhadap kerosakan gigi. Bagi menutup masalah nafas berbau yang agak serius, anda boleh menggunakan ubat kumur kosmetik, tetapi ia tidak dilengkapi faedah pencegahan kerosakan gigi.

Individu yang mengalami infeksi mulut pula disarankan memilih ubat kumur antiseptik. Kandungan klorheksidina glukonat di dalamnya berupaya menghentikan pertumbuhan bakteria. Anda juga boleh menyediakan ubat kumur semula jadi bebas alkohol dengan menggunakan secubit garam dan air suam.

Bagi golongan perokok, sekiranya anda malas membawa botol kecil ubat kumur apabila keluar rumah, gantikannya dengan gula-gula getah berpudina bagi meneutralkan kembali bau nafas anda.

5) Salap bibir (lip balm)
Satu lagi item kecantikan yang kurang digemari lelaki. Mungkin kerana bentuknya yang menyerupai lipstik wanita, maka salap bibir menjadi item penjagaan peribadi paling popular untuk diabaikan. Mencalit salap bibir sememangnya kelihatan kurang maskulin, terutamanya apabila ia disapukan di tempat awam.

Bimbang benar reputasi kelelakian terjejas dan takut jatuh saham jika diperhatikan perempuan. Walhal, kebanyakan wanita menyenangi lelaki berbibir merah, lembap dan tampak sihat. Daripada anda menampilkan bibir kering sehinggakan kulit yang melapisi bibir pecah-pecah, lebih baik anda menggunakan salap bibir.

7-TRP lip balm.jpg-c

Selain melindungi bibir daripada sinaran UV, salap bibir juga memberi kelembapan pada bibir. Jangan sesekali terfikir untuk menggantikan salap bibir dengan teknik membasahkan bibir menggunakan lidah anda.

Menjilat bibir hanya membuatkan bibir dan kawasan sekitarnya menjadi kering. Apabila kekeringan tersebut mengundang ketidakselesaan, maka anda akan berterusan menjilat bibir dengan niat untuk memberi kelembapan kepada bibir.

Bawalah salap bibir di dalam poket atau beg kecil setiap kali anda keluar rumah terutama ketika cuaca panas. Jika malu mencalitnya di depan orang ramai, anda masih boleh memakainya di tandas atau secara sembunyi.

Kredit foto: eHow / independent / huffingtonpost / dailymail / daman

1 KOMENTAR

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini