KULIT kepala berminyak barangkali satu keadaan yang kerap dialami oleh banyak orang. Tidak kira lelaki atau perempuan, kulit kepala berminyak bukan sahaja akan mencacatkan penampilan rambut, malah kadang-kala menyebabkan kita kurang keyakinan untuk tampil dalam kalangan khalayak.

Jika anda mahu mengurangkan kadar pengeluaran sebum (minyak) di kepala, Pepatung mengumpulkan tips mudah untuk diikuti. Jom!

1) Jangan selalu cuci rambut

FOTO/CTV NEWS

Secara logik, ramai yang berpendapat bahawa kulit kepala berminyak boleh ditangani dengan mencuci rambut secara kerap. Namun, tahukah anda bahawa rutin tersebut sebenarnya membuatkan kulit kepala anda menjadi lebih berminyak? Secara ringkas, sebum atau minyak yang keluar bertujuan untuk mengelakkan kulit kepala supaya tidak kering. Jadi, jika minyak tersebut disingkirkan, ia membuatkan rongga sebum menghasilkan minyak dengan lebih banyak. Cuba jarakkan tempoh cucian rambut agar rongga sebum di kulit kepala dapat berehat dan menghasilkan kelembapan dalam kadar normal.

2) Jika tidak tahan rambut berminyak, tukar gaya penjagaan rambut

FOTO/DOCTOROZ

Jika anda mempunyai rambut yang panjang, pastikan anda mencuci bahagian kulit kepala terlebih dahulu sebelum perlahan-lahan mencuci keseluruhan rambut. Ingin gunakan pelembab? Pastikan ia dilurutkan hanya pada hujung rambut. Kelembapan berlebihan pada bahagian akar rambut akan membuatkan rambut menjadi cepat berminyak.

3) Jauhi silikon

FOTO/LOREAL

Silikon adalah bahan sintetik yang selalunya dicampurkan dalam syampu untuk menjadikan rambut kelihatan berkilat selepas dicuci. Namun, sedar atau tidak, silikon akan menyebakan rambut anda menjadi berat dan akhirnya cepat berminyak. Pilih syampu bebas silikon dan diperbuat daripada bahan-bahan organik. Antara syampu yang anda boleh cuba termasuklah Herbal Essences Daily Detox Quench, Carlton Volume Up Thermal Volumen Shampoo dan L’Oréal Professionnel Série Expert Nutrifier Shampoo.

4) Jangan sentuh rambut!

FOTO/MEGAN LEWIS

Dengar sini. Kita sentiasa mempunyai kehendak untuk melurutkan jari pada rambut, terutama mereka yang mempunyai rambut panjang dan lurus. Namun, tahukah anda aktiviti tersebut boleh menyebabkan minyak pada akar rambut mengalir lebih cepat pada bahagian rambut lain? Jika anda mahukan rambut yang tidak cepat berminyak, cuba tahan diri untuk memegang rambut!

5) Diet

FOTO / WANG XI

Kadang-kala, untuk menangani masalah luaran, kita perlu memeranginya dari dalam. Untuk masalah rambut berminyak, anda boleh menambah makanan yang kaya dengan vitamin B dalam makanan. Variasi makanan seperti makanan laut, pisang dan sayuran hijau berupaya mengawal tahap pengeluaran sebum pada permukaan kulit kepala anda.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini