Enam persediaan sebelum ke salon

0
27

HUBUNGAN yang baik antara pelanggan dan pendandan adalah penting. Lebih-lebih lagi apabila ingin mencuba dandanan atau salon baharu. Komunikasi merupakan kunci utama dalam memastikan gaya dan permintaan pelanggan dapat dipenuhi dan berjalan lancar. Berikut antara enam tip yang boleh dipraktikkan sebelum melangkah ke pintu tukang gunting pilihan anda.

h6

1) Temu janji
Mulakan dengan memilih salon yang menawarkan perkhidmatan berdasarkan temu janji. Sesi konsultasi antara pelanggan dan pendandan merupakan asas yang penting. Namun ada segelintir pendandan / salon lebih cenderung untuk mendapatkan lebih ramai pelangan. Akibatnya proses menggunting, merawat atau mendandan akan dilaksanakan dalam keadaan tergesa-gesa.

2) Elak berkunjung pada cuti umum
Kunjungan ke salon juga sebaik-baiknya dielakkan pada cuti umum kerana ia merupakan waktu operasi paling sibuk, terutamanya apabila berkunjung ke tempat baharu. Keletihan badan dan mental si tukang gunting akibat melayan terlalu ramai pelanggan pastinya menjejaskan mood dalam memberi layanan terbaik. Akhirnya, mereka mungkin memilih jalan pintas dengan memberi pemotongan yang mudah, cepat dan kurang kreativiti.

3) Perincikan jenis dandanan
Bersikap terbuka dan berterus terang dengan tukang gunting dapat mengelakkan salah faham dan hasil potongan yang kurang memuaskan. Contohnya: “Potong beberapa inci sahaja ya!” Si penggunting mungkin tersilap tafsir dan terpotong lebih daripada yang diingini. Cara yang terbaik adalah dengan menunjukkan ukuran spesifik kepada penggunting rambut anda dan pastikan mereka menununjukkan terlebih dahulu jumlah yang sebenar akan dipotong.

Satu lagi kenyataan yang kurang spesifik: “Saya mahukan potongan layer!” Anda perlu menerangkan dengan lebih terperinci jenis potongan layer sama ada soft layer atau blunt layer. Anda juga boleh menggunakan penjelasan melibatkan volume bagi rambut berstruktur nipis dan meminta pengurangan ketebalan bagi yang berambut kasar. Berbincanglah dengan pendandan agar keinginan anda lebih jelas bagi mendapatkan fesyen rambut yang diidamkan.

4) Jangan guna buah sebagai contoh warna
Elakkan penggunaan makanan atau buah-buahan sebagai contoh pemilihan warna rambut. Warna coklat buah berangan mungkin kelihatan lebih terang di mata pendandan berbanding dengan apa yang anda inginkan. Sebaiknya gunakan carta warna rambut yang disediakan untuk memberi gambaran sebenar.

5) Elak penggunaan ayat “macam biasa”
Saban hari pendandan berdepan dengan ramai pelanggan. Bagi mengingati setiap dandanan bukanlah satu perkara mudah. Penggunaan ayat “macam biasa” atau “seperti dandanan terdahulu” pastinya mengelirukan pendandan. Ia hanya sesuai digunakan pelanggan tetap yang kerap ke salon yang sama dan mendapatkan khidmat pendandan yang serupa setiap bulan.

6) Bawa gambar rujukan
Bawa bersama gambar fesyen rambut yang dingini. Lebih baik jika ada beberapa foto berbeza dengan stail yang sama. Tunjukkan juga contoh gaya dandanan yang anda kurang senangi bagi meningkatkan lagi imaginasi tukang gunting dalam mencetuskan dandanan rambut yang diidamkan.

Akhir kata, jangan malu untuk berterus terang dengan tukang gunting anda. Jika anda seorang yang sensitif dan sukar untuk melepaskan gaya rambut panjang yang telah lama disimpan, beritahu pendandan. Mungkin stail rambut pendek yang disarankan merupakan stail must have musim panas ini dan bukannya must have untuk anda!

Jelaskan kemahuan anda sebaik mungkin. Apa yang anda mahu, tidak inginkan dan harapkan apabila melangkah keluar dari salon nanti.

Info Hairkunst:
Waktu operasi: Isnin – Ahad (11 pagi – 8 malam)
Telefon: 03-7710 5585
Hairkunsthaus: 018-2421 453
E-mel: Hairkunst@gmail.com
Alamat: Lot 226, Tingkat 2, The Curve, 6 Jalan PJU 7/3, Mutiara Damansara, 47800 Petaling Jaya (atas Waroeng Penyet)
Instagram: @hairkunst / @hairkunsthaus
Laman web: www.hairkunst.com.my

Untuk keterangan lanjut, hubungi Amy Kamal di talian 016-3334 584 / hairkunst@gmail.com

Kredit foto: Hairkunst

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini