4 Musuh Rambut Yang Tidak Terlalu Jahat

0
34

“RAMBUT adalah mahkota bagi setiap wanita.” Ah, klise sungguh ayat itu. Tetapi, memang benar. Setiap kali berbicara soal rambut, pasti ia akan dikaitkan dengan penampilan keseluruhan sesetengah wanita. Tidak lengkap melaram baju baharu jika rambut tidak ditiup kering dengan gaya berombak.

Mungkin ada segelintir di luar sana yang tidak keruan jika rambut mereka tidak didandan setiap kali mahu keluar ke pejabat atau berhibur bersama teman-teman. Tetapi, adakah anda sedar betapa ‘tertekannya’ rambut anda akibat dicantikkan setiap hari?

Namun, mana datangnya cantik tanpa sebarang pengorbanan, bukan? Berikut adalah beberapa perkara terlarang yang mampu merosakkan rambut, tetapi boleh dilakukan jika kena dengan caranya.

Mengeringkan rambut dengan peniup kering.
Lelaki atau perempuan, apabila tiba masanya untuk menggayakan rambut, peniup kering pasti menjadi pilihan utama. Walaupun kekerapan menggunakannya boleh menyebabkan rambut bertukar kering, tetapi, penggunaan bahan pelindung seperti serum dan losyen rambut boleh mengurangkan risiko tersebut. Jika mahu meniup kering rambut, pastikan anda melaraskan haba peniup kering itu hingga ke suhu yang paling tinggi. Lebih cepat kering, lebih kurang masa rambut anda terdedah pada haba yang panas. Jadi, risiko rambut rosak dapat dikurangkan.

Mewarnakan rambut.
Menukar warna rambut merupakan salah satu cara yang paling mudah untuk mencuba imej baharu. Selain tampak lebih segar, warna rambut juga mampu menaikkan seri wajah dan warna anak mata. Bagi mengelakkan rambut menjadi rosak dan kejung, pastikan anda mendapatkan khidmat mewarna rambut di salun. Pilih jenama pewarna yang tidak mengandungi amonia. Selain itu, elakkan agen peluntur. Menggunakan peluntur untuk mengubah warna rambut secara drastik mampu merapuhkan struktur rambut.

Meluruskan rambut.
Bagi mereka yang dilahirkan dengan rambut ikal atau kerinting, pasti sukar untuk berdandan setiap kali ingin bersiap. Justeru, cara paling mudah ialah dengan meluruskan rambut menggunakan teknologi pelurusan berasaskan bahan kimia. Ingat, proses ini sangat kuat sehingga mampu menyebabkan rambut gugur dan rengsa pada kulit kepala. Jika anda tetap mahu melakukan rawatan ini, pastikan anda meminta khidmat nasihat pendandan rambut profesional terlebih dahulu sebelum memulakan proses tersebut. Pastikan juga rambut anda dirawat secara berkala selepas diluruskan.

Menyambung rambut.
Kaedah ini sangat popular dalam kalangan wanita yang ingin menukar gaya rambut mereka dengan pantas. Jenis penyambungan yang sering digunakan ialah bond extensions. Walaupun ia tampak kemas, namun, gam dan alat pemanas yang digunakan mampu merosakkan akar rambut jika kaedah ini terlalu kerap digunakan. Pilih kaedah lain seperti clip-in extensions, di mana anda hanya perlu memasang sambungan rambut mengikut kehendak anda. Selain boleh ditanggalkan dengan mudah, ia juga sungguh menjimatkan.

Kredit gambar: Getty Images

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini