Trend lagu ulang perkataan

0
37

RATA-RATA lagu hit masa kini memang ringkas liriknya. Dahulu lirik lebih berseni dengan nilai sastera yang tinggi, banyak kiasan dan indah bahasanya. Bukan menentang perubahan yang dibawa bakat-bakat baharu dalam penulisan lirik, tetapi sedikit terganggu dengan lambakan lagu yang mengulang perkataan serupa berlebih-lebihan.

Radio pula asyik memutarkan lagu yang sama sepanjang hari dan hampir semua lagu generasi muda menggunakan formula sama – pengulangan perkataan. Boleh dikatakan hampir separuh lagu si penyanyi mengulang perkataan sama. Tidak percaya? Tengok antara lagu yang dimaksudkan seperti dalam senarai di bawah.

1) Lepaskan – Wani feat. Juzzthin

Perkataan berulang: Lepaskan/lepaskanlah
Jumlah pengulangan: 57

Merdu suara penyanyi remaja bernama Wani ini. Lembut dan bersahaja penyampaian vokalnya dalam lagu ini membuai jiwa pendengar. Bahagian rap itu sedikit terganggu dan maaf bertanya, nama anda Juzzthin (Justin)? Sangat antarabangsa nama anda ya. Oh ya komposer lagu ini ialah DJ Fuzz dan Zizi.

2) Terlalu Rindu – Eleena Harris

Perkataan/ayat berulang: Terlalu rindu/rindu
Jumlah pengulangan: 34

Seorang lagi penyanyi muda yang mempertaruhkan bakat bertemankan gitar. Suara dan penampilan menarik cuma sama seperti bakat-bakat baharu semasa, tiada apa yang benar-benar istimewa.

3) Boleh Blah – NanaSheme

Perkataan/ayat berulang: Kau fikir engkau siapa/fikir engkau siapa/kau fikir aku siapa
Jumlah pengulangan: 28

Pelantun kepada lagu Hantu Atau Buaya yang dilihat lebih menyerlah berbanding saingan seangkatannya. NanaSheme memiliki potensi besar untuk pergi jauh sekiranya bijak membawa diri.

4) Jangan Jangan – Wani Kayrie

Perkataan/ayat berulang: Jangan
Jumlah pengulangan: 20

Pendatang baharu dalam industri seni suara dan sekali lagi DJ Fuzz bertindak selaku komposer untuk genre lagu sebegini. Suara yang boleh dipuji cuma kualiti muzik video ibarat dirakam pada awal 1990-an, seperti klip video karaoke sahaja.

5) Satu Hari Nanti – Najwa Latif

Perkataan/ayat berulang: Bawa
Jumlah pengulangan: 18

Pelopor kepada kebanjiran penyanyi YouTube (terutama berhijab). Tanpa Najwa dan penangan lagu Cinta Muka Buku, bakat-bakat YouTube barangkali tidak akan mendapat ruang besar dalam industri seni suara arus perdana. Sejujurnya Najwa antara penyanyi muda yang semakin mahir dalam penciptaan lagu dan lirik. Bermula daripada lirik keanak-anakan sehinggalah lirik berisikan pengertian lebih bermakna tentang kehidupan. Tahniah Najwa tetapi signatur mengulang perkataan bagaikan isi dan kuku dalam setiap karya Najwa.

6) Biasa – Zahid feat Viral

Perkataan/ayat berulang: Biasa
Jumlah pengulangan: 42

Pernah menjadi fenomena ketika bergelar pelajar dan juara Akademi Fantasia (AF) musim kedua, Zahid kembali bersama lagu yang luar biasa sambutannya. Biasa boleh dicerminkan sebagai come back Zahid dalam bidang nyanyian setelah banyak menghabiskan masa sebagai penyampai radio.

7) Senyum – Aziz Harun

Perkataan/ayat berulang: Senyum/senyuman
Jumlah pengulangan: 40

Lagu rancak yang mampu menceriakan hari setiap individu. Senyum karya Faizal Tahir dan Mike Chan ini didendangkan oleh bintang remaja berusia 18 tahun, Aziz Harun yang berasal dari Brunei.

8) Hancur Aku – Estranged feat Fazura

Perkataan/ayat berulang: Hancur
Jumlah pengulangan: 32

Kolaborasi menarik antara Estranged dan Fazura. Menerusi lagu ini Fazura membuktikan keupayaannya membawa genre lagu berbeza yang tidak hanya terhad terhadap lagu-lagu berentak rancak yang lebih pop.

 

*Artikel ini tidak ditulis untuk tujuan menjatuhkan mana-mana pihak. Ia sekadar pemerhatian berbentuk peribadi dan tidak berasaskan kecondongan penulis kepada mana-mana penyanyi mahupun genre muzik. Jumlah pengulangan perkataan yang direkodkan juga mungkin tidak tepat (terkurang atau terlebih).

KONGSI
Artikel sebelumnyaVokal di sebalik lagu berhantu filem Bollywood
Artikel seterusnyaDunia antigraviti Mat Redho

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini