Hiburan

Terapi Muzik Simple Plan

By  | 

REMAJA yang membesar awal tahun 2000 semestinya mengenali Simple Plan. Band Kanada yang mendukung genre pop punk ini begitu popular terutama di benua Asia.

simple-plan-6.jpg-cFOTO: VIVEPOP

Dianggotai lima lelaki yang masih setia bersama sejak tahun 1999 penubuhannya, Simple Plan selepas 17 tahun masih aktif mengarang muzik. Biarpun momentum populariti tidak segah dulu, tetapi impak band dengan lima album studio ini terus dihargai para peminatnya.

Album pertama, No Pads, No Helmets…Just Balls (2002) memperkenalkan identiti Simple Plan selaku pejuang muzik pop punk yang ketika itu turut menyaksikan kegemilangan genre tersebut dibarisi nama-nama seperti Avril Lavigne dan Blink-182.

Single keempat Simple Plan, Perfect yang dilancarkan pada Ogos 2003 merupakan lagu paling sukses buat mereka. Perfect melakar fenomena antarabangsa dan membolehkan mereka menembusi pasaran global dalam jangka pendek.

Lagu tersebut adalah signatur Simple Plan dan diangkat sebagai tema kehidupan remaja lelaki yang sedang meningkat dewasa. Mesej yang ringkas tetapi begitu dekat dengan pergelutan hidup fasa seorang remaja menjadikan ia sebuah lagu yang sempurna.

Siapapun akan mengingati muzik video Perfect yang diulang dengan kerap di saluran MTV. Visual yang menyaksikan mereka beraksi di atas bumbung rumah, sungguh membekas memori.

Dua tahun kemudian, menerusi album Still Not Getting Any… (2004), haluan muzik Simple Plan lebih jelas. Percaturan mereka bijak dengan menumpukan kepada lagu-lagu berisikan motivasi tentang kehidupan.

Pendengar muzik Simple Plan boleh dikategorikan sebagai individu yang banyak memendam perasaan, menyembunyikan konflik dalaman dan berasa terpinggir tanpa bantuan sesiapa.

Dengan lagu-lagu seperti Welcome to My Life dan Untitled, golongan yang bergelut dengan dilema peribadi dapat membina semangat seterusnya melawan rasa putus asa.

Simple Plan adalah suara kepada remaja yang tertindas – mangsa buli seumpamanya dan muzik mereka yang telus dengan lirik membina membuatkan mereka begitu dekat dengan para pendengar.

Bagi mereka yang sekadar mengenali Simple Plan dengan lagu Shut Up, Crazy, Addicted atau I’d Do Anything, anda sebenarnya perlu menyelami jauh diskografi band ini. Muzik bingit mereka bukan sekadar hiburan mentah, tetapi sarat intipati tentang nilai sebuah kehidupan.

Di sebalik vokal kebudak-budakan Pierre Bouvier, ia berkesan membuai perasaan dan menjentik emosi dalam setiap karya mereka.

Album ketiga yang diberi nama Simple Plan (2008) cuba mengetengahkan kematangan mesej dan dilebihkan terhadap elemen percintaan. Satu kelainan tetapi percubaan relevan jika mengambil kira fasa usia para peminatnya yang sedang meniti alam dewasa.

Simple Plan memanipulasi sebaiknya transisi hidup para pengikutnya. Tiada lagi pergelutan dalaman bergelar remaja. Peminatnya telah melepasi tempoh tersebut. Begitu juga Simple Plan yang memperbaharui kandungan muziknya agar seiring dengan peredaran usia para pendengar.

When I’m Gone, Your Love Is A Lie dan Save You merupakan empat single pada tahun 2008 yang sedikit lari dari momentum asal Simple Plan tetapi masih diterima majoriti peminat.

Hanya selepas album keempat Get Your Heart On! (2011) dilancarkan, tahap relevan Simple Plan mula dipersoalkan.

Menerusi single Can’t Keep My Hands Off You, Jet Lag dan Astronaut arah muzik band ini seakan-akan memberi bayangan bahawa mereka cuba menangkap dua kelompok pendengar – pertamanya mereka yang menggemari lagu berbentuk hiburan semata-mata yang rancak dan keduanya mereka yang mahukan sedikit keseriusan.

Astronaut adalah antara karya terbaik Simple Plan pernah dihasilkan. Biarpun kurang meraih kejayaan komersial, namun ia membuktikan keupayaan mereka untuk terus mengeluarkan muzik berkualiti biarpun industri sekarang didominasi lagu-lagu tanpa mesej berfaedah.

Tahun ini, Simple Plan kembali dengan album kelima, Taking One for The Team. Walaupun single pertama mereka, I Don’t Wanna Go to Bed agak mengecewakan, tetapi Opinion Overload yang dijadikan single kedua menyelamatkan air muka mereka.

Album baharu mereka memusatkan kembali genre pop punk sebagai teras utama. Majoriti lagu di dalam album ini mengigatkan kembali pendengar kepada album pertama Simple Plan.

Hampir dua dekad dengan keunggulan muzik pop punk, diharapkan Simple Plan akan terus menjadi pejuang lagu-lagu bermesej dan membakar semangat para pendengar.

CraLC9CWYAAuTYj.jpg-cFOTO: TWITTER

Simple Plan bakal beraksi di KL Live, Life Centre esok (7 September 2016) pada pukul 8.30 malam bersempena dengan Konsert Taking One for The Team Tour 2016. Tiket masih boleh didapati di Ticket Charge.

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *