Hiburan

Teater Bawang Putih Bawang Merah wajib tonton

By  | 

PENGKISAHANBawang Putih Bawang Merah bukan kali pertama dipertontonkan kepada khalayak. Sekitar tahun 1959 misalnya,sutradara Datuk S Roomai Noor pernah menggarap naskhah cerita rakyat itu untuk dikomersialkan ke layar kaca.

Karya yang membawa penonton merasai kepedihan Latifah Omar(pendukung peranan Bawang Merah)berdepan kesumat saudara tirinya Bawang Putih yang dilakonkan oleh Datin Umi Kalsom(Bawang Putih)sudah memberikan visual yang jelas tentang cerita rakyat yang popular di kepulauan Nusantara itu.

Bagaimanapun, versi itu tidak statik! Olahan dan interpretasi naskhah itu berbolak-balik dan watak prognosis sering bertukar kepada karakter Bawang Putih. Filem animasi Putih contohnya pernah mengangkat watak Bawang Putih sebagai karakter bersih begitu juga sinetron Indonesia, Bawang Putih Bawang Merah (2005) yang didukung jayanya oleh Revalina S. Temat sebagai Putih.

IMG_20151204_012255

Fathia cemerlang melakonkan watak Bawang Merah. Foto: SELEBRITI ONLINE & PARADIGMA STUDIO

Bawang Putih Bawang Merah diolah lagi dalam pelbagai versi cereka dan filem untuk disesuaikan dengan peredaran semasa. Malah, bermula 3 Disember lalu hingga 8 Disember nanti, karya klasik itu sebenarnya sedang rancak menghuni Panggung Sari Istana Budaya untuk menemui peminat seni lakon teaternya.

Pengarahnya, Erma Fatima meminjam semula olahan asal novel Allahyarham Salleh Ghani sebagai kompas pergerakan teater terbabit.Oleh itu, karakter baik kembali menjadi milik Bawang Merah dan begitulah sebaliknya.

Yang menyerlah yang melewah

Tirai pentas dibuka dengan permulaan monolog Putera Kelubi Al-Ayub yang dimainkan oleh Syarul Ridzwan. Satu perletakan optimum sebagai langkah memancing elemen komersial memandangkan pelakon lelaki itu kini antara yang mencuri hati ramai peminat wanita ketika ini.

Sayangnya, terjemahan watak putera dalam diri Syarul agak goyah. Teknik lakonan pentas aktor muda itu masih rapuh walaupun pernah mementaskan Teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck beberapa bulan lalu. Ternyata hasil yang sama diulang beri kepada penonton kali ini.

IMG_20151204_013409

Syarul (tengah) cuba mencuri perhatian menerusi tarian zapin Bunga Hutan dalam pementasan tersebut. Foto: SELEBRITI ONLINE & PARADIGMA STUDIO

Soal garapan watak dan kredibiliti lakonan Syarul di pentas kembali teruji dalam babak yang menemukannya dengan pendukung utama dalam teater ini iaitu Fathia. Tingkah tari zapinnya bersama hulubalang istana tidak cukup meyakinkan dan pengucapan dialognya dilihat seakan-akan sedang bergelumang, bertungkus-lumus dan berperang dengan diri sendiri(dan akhirnya tewas).

Bagaimanapun, jelas Syarul: “Sebagai individu baharu dalam bidang teater, saya masih dalam proses pembelajaran dan berusaha memperbaiki kelemahan yang ada dalam diri. Berikan saya peluang untuk mencuba.”

Fathia Latiff yang pernah sebelum ini mendukung peranan seakan sama dalam naskah Teater Bidasari tahun lalu membuktikan kepada penonton dia bukan main-main. Ada antara beberapa babak berjaya membawa penonton larut menyelusuri derita Bawang Merah dalam mainan kata, emosi dan derai air mata.

IMG_20151204_011825

Ternyata ilmu lakonan yang dikutip Juliana Evans di Los Angeles dimanfaatkan dalam teater Bawang Putih Bawang Merah. Foto: SELEBRITI ONLINE & PARADIGMA STUDIO

Si Bawang Putih(Juliana Evans)juga tidak membiarkan Fathia menguasai pentas sendirian. Gestur badan dan suara yang bingit menjelmakan karakter Bawang Putih yang jahat menjadi lebih padu dan meyakinkan. Gediknya gedik menjadi!

Masih tentang lakonan dan penghayatan, dua beradik yang pertama kali berkongsi pentas sebagai watak Kundur dan Labu, Fauziah Ahmad Daud dan Fazlina Ahmad Daud paling mencuri fokus penonton sebenarnya. Berjaya mengheret pilu di hati sesekali membakar geram amarah, itulah kekuatan tenaga yang diberikan oleh kedua-dua waris Seniwati Saadiah dan Datuk Ahmad Daud itu tanpa cela sedikit pun.

IMG_20151204_012049

Ogy tidak main-main. Pesona dan keterampilan lakonannya di pentas teater selayaknya mendapat pujian. Foto: SELEBRITI ONLINE & PARADIGMA STUDIO

Lapisan baharu

Erma yang dibantu oleh A. Aris Kadir meletakkan lapisan demi lapisan dalam menghidupkan penceritaan Bawang Putih Bawang Merah. Kewujudan watak Si Bongkok (lakonan Beto Kusyairi) dan Nenek Kebayan (Nabila Huda) melengkapkan jalinan susur galur kisah yang lebih kompleks dalam naskhah kali ini.

Kekuatan kedua-dua karakter baharu yang dijelmakan dalam pementasan itu harus diakui hampir menenggelamkan pendukung-pendukung utama.

IMG_20151204_011808

Beto muncul sebagai Si Bongkok dalam teater Bawang Putih Bawang Merah. Foto: SELEBRITI ONLINE & PARADIGMA STUDIO

Pergerakan set dan props pentas yang tidak keterlaluan memaku audiens untuk kekal fokus kepada penceritaan. Hal itu sebenarnya banyak dibantu oleh latar tempat yang tidak terlalu banyak beza antara transisi babak jika dibandingkan dengan filem Bawang Putih Bawang Merah tahun 1959.

“Kita memberikan fokus kepada beberapa latar tempat dan masa supaya naskhah ini tidak jadimeleret-leret kerana kita berdepan dengan faktor masa. Jika kisah ini dibawa masuk ke latar istana, saya bimbang pementasan ini akan menjadi tiga hingga empat jam,” kata pengarahnya, Erma Fatima.

Antara keseluruhan, set kolam ikan kaloi yang divisualkan gerakkannya menerusi pancaran skrin pada lantai pentas hidraulik Istana Budaya adalah paling mengesankan! Cuma permainan grafik yang kurang nyata dan realistik membunuh keterujaan penonton ada ketikanya.

IMG_20151204_012723

Set kolam ikan kaloi yang menyuntik elemen kekaguman dalam pementasan tersebut. Foto: SELEBRITI ONLINE & PARADIGMA STUDIO

Untaian lagu-lagu sepertiLaju-laju Buaiku Laju, Perigi Biru, Bunga HutandanSireh Pinangkembali mengubat rindu sekali gus menyerikan pentas Teater Bawang Putih Bawang Merah. Nyata, naskhah garapan Erma Fatima itu tidak menghampakan dan membuka skop baharu tentang sebuah interpretasi Cinderella versi nusantara.

Wajar atau tidak Teater Bawang Putih Bawang Merah diulang tonton?Jawapannya ya!

IMG_20151204_190855

Erma menghadiahkan penonton dengan penutup jalan cerita yang kemas. Foto: SELEBRITI ONLINE & PARADIGMA STUDIO

Comments

comments

Selepas lima tahun bersama akhbar berbahasa Melayu tempatan, penulis memanjangkan langkah dalam bidang rekaan fesyen bersama label peribadi. Kecintaan terhadap dunia penulisan dilanjutkan bersama Pepatung berbekalkan pengalaman skop hiburan, pelancongan dan biografi.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *