Hiburan

Suki heret bekas pengurusan ke mahkamah

By  | 

Bekas juara rancangan realiti nyanyian One In A Million, Suki Low, 25, sekali lagi mengheret bekas pengurusannya ke muka pengadilan untuk mendapatkan kembali wang berjumlah lebih RM350,000 yang pernah dilaburkan untuk kerjaya nyanyiannya dengan sebuah syarikat rakaman tempatan beberapa tahun lalu.

Faktanya, syarikat rakaman tersebut bukan sahaja gagal mengembangkan kerjayanya seperti yang telah dijanjikan bahkan telah menamatkan operasi mereka untuk mengelak daripada dikenakan perintah mahkamah agar mengembalikan semula wang tersebut.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh wakil First Love Records pada petang tadi, penyanyi lagu Terlalu Mencintaimu itu telah memfailkan saman terhadap dua orang bekas pengarah syarikat pengurusannya iaitu Chan Tak Wai dan Wong Yoke May dari Galaxy Music Sdn. Bhd.

Suki selain itu, turut memfailkan saman terhadap Lee Nai Kong, Toni Lim Phaik See, Hotshot Entertainment Sdn. Bhd. serta Suriati Talib yang dikatakan terlibat dalam isu yang sama.

Dalam kenyataannya yang terbaharu, Suki menyaman kesemua pihak tersebut di bawah Seksyen 304 Akta Syarikat 1965 atas tindakan pihak tersebut yang telah menipunya berhubung kes yang pernah dibacakan di Mahkamah Tinggi pada tahun 2012. Ketika perbicaraan kes tahun itu, Suki berjaya memenangi tuntutan terhadap pihak Galaxy.

Suki mendakwa bahawa walaupun dia telah memenangi tuntutan saman sebanyak RM367,575.17 dengan kos RM30,000.00 dari Mahkamah Tinggi dan RM20,000.00 di Mahkamah Rayuan, penyanyi itu masih belum dapat memperolehi jumlah wang tersebut kerana pembubaran syarikat Galaxy pada tahun 2013.

Dalam kenyataan tuntutannya, Suki mendakwa pembubaran syarikat Galaxy atas dasar arahan sebuah syarikat lain bernama Hotshot Entertainment telah dilakukan sebagai satu penipuan untuk mengelakkan pihak Galaxy daripada membayar hutang tuntutan kepada Suki.

Suki turut mendedahkan hubungan rapat antara beberapa pihak terbabit dan bagaimana individu berkenaan telah menimbulkan kecurigaan apabila berkomplot untuk menyebabkan pembubaran syarikat Galaxy pada sekitar waktu yang sama apabila pihak guaman Suki sedang sibuk menguruskan saman penghakiman penghutang terhadap Chan Tak Wai dan Wong Yoke May.

Dengan penggulungan syarikat Galaxy, tuntutan saman penghakiman penghutang terhadap Chan Tak Wai serta Wong Yoke May terpaksa dihentikan.

Suki Low (picture)

Suki menyatakan dalam kenyatannya, Chan Tak Wai, Wong Yoke May, Hotshot Entertainment dan Suriati telah berpakat secara sulit dalam keadaan saling mengetahui dan sengaja dengan tujuan untuk menipunya.

Suki kini menuntut keseluruhan jumlah tuntutan berserta kesemua kos, faedah dan ganti rugi am daripada semua pihak terbabit menerusi saman yang dikeluarkan peguamnya, Raj, Ong & Yudistra.

Suki juga telah memfailkan aduan salah laku profesional kepada Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam tahun lalu terhadap pihak guaman Galaxy Music iaitu Datuk Ricky Tan Seng Cheong dan Marcus Tan Seng Peng dari Tetuan Ricky Tan & Co. Kes telah didengar oleh jawatankuasa disiplin 21 Ogos 2015 dan akan bersambung lagi pada 6 October 2015.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berkata pihaknya memandang serius terhadap situasi yang berlaku.

“Kami mengambil serius tindakan pihak seperti ini yang memberikan janji kepada artis dan kemudian gagal mengotakan janji, khasnya selepas memperolehi jumlah wang yang besar daripada artis tersebut. Ini bukan kes pertama, tapi kami memberikan sokongan dan keyakinan kepada Suki dalam perjuangannya menuntut keadilan,” ujarnya.

Comments

comments

Selepas lima tahun bersama akhbar berbahasa Melayu tempatan, penulis memanjangkan langkah dalam bidang rekaan fesyen bersama label peribadi. Kecintaan terhadap dunia penulisan dilanjutkan bersama Pepatung berbekalkan pengalaman skop hiburan, pelancongan dan biografi.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *