Status janda: Syura tidak tertekan

0
91

KEGAGALAN perkahwinan penyanyi Syura dan bekas suaminya, Mohd Fadhly Md Yassin tidak meranapkan impian penyanyi itu untuk meneruskan kehidupan. Malah, status dirinya sebagai ibu tunggal dan janda tidak memberikan tekanan dalam situasi sekarang.

“Persepsi masyarakat tentang status selepas bercerai memang negatif. Saya sering membaca komen orang. Namun, kalau saya mahu ambil pusing mengenai persepsi orang terhadap saya sekarang saya rasa saya tidak boleh hidup. Jadi saya move on, berfikiran positif dan teruskan kehidupan. Asalkan apa yang saya lakukan ini betul, anak-anak sihat dan cukup belajar itu sudah memadai,” katanya yang ditemui selepas tamat pementasan Gemilang Tanah Permata di Istana Budaya malam tadi.

Tambah Syura, tiada masalah antara dia dan bekas suaminya untuk terus berhubung terutama hal yang berkaitan anak-anak mereka.

“Kami tiada masalah komunikasi dan saling berhubung demi anak-anak. Malah, saya tahu mereka (anak-anak) faham situasi kami sekarang walaupun sudah dua tahun berlalu.

“Saya sebenarnya sudah mula menyara keluarga sejak berusia 9 tahun lagi dan perkataan berdikari itu saya sudah belajar dari dulu. Alhamdulillah situasi lampau membantu saya dalam keadaan sekarang (ibu tunggal). Tidak saya nafikan, mungkin ada sukarnya apabila tiada teman hidup,” jelasnya.

Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron dan Fadhly pernah bercerai pada kali pertama pada 29 September 2014 sebelum Mohd Fadhly mengambil keputusan kembali rujuk pada 10 November tahun sama.

Ditanya mengenai kepercayaan Syura dalam institusi perkahwinan dan peluang baru kepada bekas suami atau lelaki lain pula selepas ini, Syura menyerahkannya kepada jodoh dan takdir Allah.

“Jodoh bukan saya tentukan, kalau saya cakap tidak akan kembali semula kepada bekas suami nanti tiba-tiba jatuh cinta balik. Susah bukan! Jadi, saya simpulkan jodoh itu saya serah pada Tuhan dan sekiranya saya ditakdirkan kembali dengan bekas suami saya terima.

“Tetapi sekiranya ada orang lain (selain bekas suami) berada dengan saya dan terbuka hati saya untuk bercinta lagi saya terima juga.

“Saya ada anak tiga orang dan mereka perlukan kasih sayang seorang lelaki iaitu bapa walaupun ayah mereka sentiasa bersama mereka juga. Kehidupan wanita akan lebih lengkap apabila ada seseorang di sisi dia. Cuma sekarang saya rasa perlu berdikari sementara waktu dan saya tidak fobia dengan perkahwinan. Saya anggap perkara yang berlaku sebagai pengajaran,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, Syura kini sedang terbabit menjayakan konsert Gemilang Tanah Permata di Istana Budaya yang sudah membuka tirainya bermula 5 hingga 7 Februari depan. Syura terbabit mendendangkan beberapa buah lagu antaranya Empat Dara, Yaladan dan Tualang Tiga.

Syura turut berkongsi pentas bersama beberapa penyanyi lain seperti Zarina Zainuddin, Ayai Ilusi, Haziq dan Natasha Nazir.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini