FOTO/GEMPAK.COM

SENARAI peserta program nyanyian Gegar Vaganza 4 (GV4) telah diumumkan baru-baru ini. Terdiri daripada 12 penghibur pentas berlainan liga, pemuja program yang telah empat tahun digegar dengan kegilaan itu seperti tidak sabar menantikan penyanyi kegemaran mereka untuk muncul dan kembali menghiburkan khalayak.

Liza Hanim, Aishah dan Aqasha merupakan antara tiga peserta favourite yang secara instant memaku kemas perhatian peminat untuk menaburkan sokongan. Di laman sosial pula, hashtag #teamLizaHanim, #teamAisyah dan #teamAqasha dilihat mula bercambah, menandakan trio ini bakal memberi saingan hebat terhadap peserta lain.

Lama menghilang! Kembali beraksi di pentas #GegarVaganza Penyanyi lagenda @aishahjmm #KasiUp1Kali

A post shared by Gegar Vaganza Official (@gegarvaganzaofficial) on

Jika dilihat pada kemampuan vokal, Aishah mengungguli carta GV4 memandangkan penyanyi lagu Camar Yang Pulang itu pernah diiktiraf pada Anugerah Industri Muzik 1995 dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) menerusi album Klasik.

Menyelak portfolio kemenangannya dalam Anugerah Juara Lagu pula, pemilik nama lengkap Wan Aishah Wan Ariffin itu pernah beberapa kali mengungguli pertandingan tersebut iaitu pada tahun 1990 menerusi lagu Janji Manismu dan 1995, Cinta Beralih Arah.

Aishah juga pernah dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular menerusi penganjuran Anugerah Bintang Popular pada 1990 dan mempertahankan gelaran Penyanyi Wanita Popular untuk tiga tahun berturut-turut (1990 hingga 1992).

Bagaimanapun, penyertaan Aishah pada GV4 turut ditemani dengan bisik-bisik nakal, yang mengandaikan penyanyi kelahiran Negeri Sembilan itu bakal mengalami nasib yang sama seperti Nora, peserta Gegar Vaganza musim lalu.

Aishah barangkali telah berada dalam kasta seni yang sangat tinggi. Beliau tidak memerlukan pentas pertandingan untuk membuktikan keberadaannya dalam industri muzik. Namun, mungkin penyertaannya kali ini sedikit sebanyak mahu membina nama kembali dan cuba bersaing secara sihat dengan penyanyi-penyanyi muda.

Pemenang vokal terbaik Anugerah Juara Lagu @lizahanim79 bakal memberikan saingan yang sengit dalam #GegarVaganza #KasiUp1Kali

A post shared by Gegar Vaganza Official (@gegarvaganzaofficial) on

Beralih pada Liza Hanim yang dahulunya disebut-sebut sebagai pesaing terdekat penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza, penyanyi yang popular dengan lagu Merawat Luka Terpendam itu mempunyai kelebihan vokal tersendiri.

Hal ini terbukti menerusi pencapaiannya memperolehi Anugerah Piala Perak pada Festival Muzik Shanghai yang diadakan pada 2001. Liza juga pernah menerima Anugerah Vokal Terbaik menerusi lagu Gelisah Mimpi pada penganjuran ke-17 Anugerah Juara Lagu.

Adakah Liza Hanim bakal memberi saingan sengit terhadap peserta lain? Atau adakah dia juga bakal mengalami nasib seperti Sarah Raisuddin yang dikatakan boleh menjuarai GV3 tetapi akhirnya tewas di tangan Azharina? Jawapannya hanya terletak pada prestasi Liza pada konsert mingguan kelak.

Suaranya masih hebat! @theaqasha juga menyertai #gegarvaganza #Kasiup1kali

A post shared by Gegar Vaganza Official (@gegarvaganzaofficial) on

Alasan untuk Aqasha menjadi peserta favourite mungkin terletak pada suara dan juga rupa parasnya. Sebagai satu-satunya eye-candy dalam pertandingan, sorotan perhatian diberikan khalayak umum mungkin terlebih 10 peratus berbanding peserta lain.

Dulu, Aqasha atau nama lengkapnya Firdee Akassya Rosli dikenali dengan lagu-lagu balada seperti Embun dan Cahaya Hati. Kemudian, pelakon filem Embun itu memilih untuk berlakon dan meninggalkan terus dunia nyanyian. Justeru, tidak banyak rujukan yang boleh dibuat untuk meramal prestasinya sebagai penyanyi.

Secara keseluruhan, GV4 pada tahun ini masih mempertaruhkan bakat-bakat besar untuk dipertandingkan. Selain Aishah, Liza Hanim dan Aqasha, GV4 turut diserikan oleh Lan Kristal, Hazami, Tia Jinbara, Elyana, Syura, Haida dan Raja Azura.

Sementara dua penyanyi dari seberang, Ferhad (Singapura) dan Firman Siagian (Indonesia) turut menjadi penambah warna dalam GV4.

Masih terlalu awal untuk meramal secara rawak siapakah yang bakal mengungguli pentas GV4. Juara GV2, Siti Nordiana pun pernah menjadi peserta underdog, dan diramal keluar awal memandangkan dia dikenali dengan katalog lagu-lagunya yang berbentuk ‘Leman’.

Nah, lapan minggu beraksi, Siti Nordiana yang dianak-anakkan kebanyakan orang pada mulanya berjaya menambat hati juri, sekaligus menjadikannya sebagai juara Gegar Vaganza paling sukses setakat ini.

Jadi, jangan terus memandang enteng sembilan peserta lain yang mungkin akan mengeluarkan warna sebenarnya mereka pada minggu pertandingan.

GV4 bakal bersiaran secara langsung di Dewan Sri Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula 29 Oktober depan pada pukul 9.00 malam. Ia juga akan dipancarkan secara langsung menerusi Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini