Siti Nordiana berduet dengan Opick

0
24

JUARA program Gegar Vaganza musim kedua, Siti Nordiana bakal berduet bersama penyanyi lagu-lagu ketuhanan dari Indonesia, Opick menerusi konsert Malam Kalimah Cinta bersama Opick dan Hafiz Hamidun di Istana Budaya pada 23 hingga 25 Disember ini. Selain Siti Nordiana, penyanyi Ronnie Hussien dan Lah Ahmad turut menyemarakkan lagu persembahan pada konsert tersebut.

Siti Nordiana dan Ronnie dijangka beraksi bersama Opick pada 23 Disember sementara Lah akan berkongsi pentas dengan Hafiz pada dua malam berikutnya, 24 dan 25 Disember.

Berkesempatan bertemu dengan Siti Nordiana baru-baru ini, penyanyi berusia 31 tahun itu bakal menyanyikan lagu Takdir, yang sebelum ini pernah dinyanyikan secara duet bersama Opick oleh Melly Goeslaw.

Teruja menantikan persembahan, Nana berkata: “Saya memang meminati karya Opick. Saya belum pernah bertemu dengannya dan saya begitu teruja untuk menantikan tibanya malam persembahan,” katanya.

Malam Kalimah Cinta menampilkan sisi muzikal istimewa menerusi gabungan nyanyian, zikir dan selawat diiringi persembahan penuh multimedia serta kesan khas dalam pertunjukan selama 90 minit.

Opick bakal diiringi kumpulan pemuzik profesional, Tombo Ati, yang dibawa khas dari Indonesia, manakala Hafiz pula akan disertai kumpulan pemuzik handalan di bawah susunan komposisi Faizal Uzir.

Tiket masih boleh didapati menerusi tempahan di redtix.airasia.com atau di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Sebahagian hasil kutipan jualan tiket akan didermakan kepada Tabung Kebajikan Generasi Bersatu Malaysia.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini