Buletin

Siapa juara Festari 2015?

By  | 

MALAM ini merupakan malam penentuan Festival Tari Malaysia (Festari) 2015 yang bakal menyaksikan dua kumpulan dinobatkan sebagai juara kategori Tarian Rampaian Tradisional dan Tarian Tradisional Daerah.

Menerusi peringkat separuh akhir pada 4 dan 5 Jun, empat kumpulan masing-masing daripada setiap kategori telah diumumkan layak ke peringkat akhir daripada lapan yang bertanding.

Menerusi kategori Tarian Rampaian Tradisional, kumpulan yang layak ke final ialah:

1) Kumpulan Tari Aliff (Johor): Inang Teruna Dara & Joget Seri Selatan

2) Sanggar Budaya Miri (Sarawak): Gerenek Anak Mudak

3) Kumpulan Rentak (Selangor): Asli Gurindam Jiwa & Inang Mendam Berahi

4) Nyala Dance Theatre (Kuala Lumpur): Tarian Rampaian Tradisional

IMG_3508 copy

Persembahan memukau dari Sanggar Budaya Miri (Sarawak) yang sudah menempah dua tiket akhir ke final Festari 2015. Foto/ Pepatung

Manakala, empat kumpulan yang tersenarai sebagai kumpulan terbaik kategori Tarian Tradisional Daerah ialah:

1) Badan Kesenian TLDM (Perak): Tarian Dabus

2) Le’Waris UMK (Kelantan): Rebana Kercing

3) Sanggar Budaya Miri (Sarawak): Ngajat Lesong & Ngauk Ai’

4) Tari Aliff (Johor): Ketam Bangkang

Meneliti senarai kumpulan yang layak ke pusingan akhir menerusi penjurian daripada sudut keaslian gerak, keseragaman, formasi, keterampilan, muzik, busana dan tatarias serta kreativiti, barangkali keputusan pada malam 4 dan 5 Jun sedikit sebanyak mengguris hati kumpulan yang langsung tidak tersenarai untuk ke pentas akhir misalnya Petra Tari (Kelantan) dan Kumpulan Kesenian Pewaris (Terengganu).

IMG_3311 copy

Badan Kesenian Pewaris (Terengganu) terpaksa berpuas hati dengan keputusan juri tahun ini. Foto/ Pepatung

Sebenarnya format pertandingan sudah melencong apabila diwujudkan dua kategori. Mungkin ada kumpulan yang handal dalam tarian tradisional namun tidak pada tarian daerah (begitu juga sebaliknya). Maka, adalah lebih baik jika mahu mewujudkan dua kategori sebegini, kumpulan yang bertanding dari peringkat awal dibahagikan siap-siap mengikut kategori dan bukannya mengikut kumpulan.

Sebaliknya, jika dilihat daripada konteks kualiti, seseorang penari perlulah berupaya untuk menguasai apa jua teknik dan jenis tarian untuk meletakkan diri sebagai penari yang bagus.

IMG_3353 copy

Badan Kesenian TLDM (Perak) berjaya menebus kegagalan kategori Tarian Rampaian Tradisional menerusi kejayaan ke final kategori Tarian Tradisional Daerah. Foto/ Pepatung

Bagaimanakah agaknya persembahan kumpulan yang berjaya ke pusingan akhir bagi kedua-dua kategori pada malam ini contohnya Kumpulan Tari Aliff (Johor) dan Sanggar Budaya Miri (Sarawak)? Cukupkah persediaan mereka dan bagaimanakah usaha mereka untuk memberikan kelainan yang terbaik berbanding kumpulan lain yang mempunyai fokus untuk menguasai satu kategori sahaja.

Jika salah satu daripada kumpulan tersebut menjuarai Festari 2015, pujian harus dikalungkan kepada setiap penari dan koreografer yang memerah keringat serta idea untuk menumbangkan pencabar lain yang tidak kurang handalnya.

IMG_3410 copy

Nyala Dance Theatre memiliki penari yang kuat dan mungkin berjaya menjuarai kategori Tarian Rampaian Tradisional. Foto/ Pepatung

Dalam pada itu, melihatkan jentera yang kukuh kumpulan Nyala Dance Theatre, Kumpulan Rentak dan Badan Kesenian TLDM, tidak mustahil mereka juga mampu menundukkan pasukan lain dengan mudah.

Namun, bagi kumpulan underdog seperti Le’Waris UMK, tidak menang sorak tidak bermakna maruah tergadai. Mungkin juga mereka punyai stategi sendiri, diam diam ubi berisi bak kata bidalan!

IMG_3289 copy

Mungkin bukan kumpulan pilihan penonton, Le’Waris (Kelantan) perlu membuktikan mereka juga terbaik. Foto/ Pepatung

Apapun, tahniah diucapkan kepada kelapan-lapan kumpulan yang berjaya meninggalkan kumpulan lain pada peringkat suku akhir beberapa bulan lalu. Berada di pentas kebangsaan seperti Festari sudah cukup memberikan kredit dan mengangkat portfolio kumpulan masing-masing! Buktikan yang terbaik malam nanti.

Pusingan akhir Festari 2015 akan berlangsung pada malam ini 6 Jun 2015 di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan masuk adalah percuma. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan lima selebriti iaitu Vanidah Imran, Adeline Tsen, Maya Matahari, Zahnita Wilson dan Shiha Zikir beraksi julung-julung kali di pentas Festari tahun ini.

 

Comments

comments

Selepas lima tahun bersama akhbar berbahasa Melayu tempatan, penulis memanjangkan langkah dalam bidang rekaan fesyen bersama label peribadi. Kecintaan terhadap dunia penulisan dilanjutkan bersama Pepatung berbekalkan pengalaman skop hiburan, pelancongan dan biografi.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *