Sharifah Sakinah, Aliff Adha selamat dinikahkan

1
25

INDAH nian si raja sehari, menanti pasangan di atas pelamin. Hari bahagia, hari dinanti. Ucap tahniah tanda ingatan. Hanya dengan sekali lafaz, pelakon Sharifah Sakinah dan Aliff Adha selamat diijabkabulkan di Hotel Shangri-La, Putrajaya pada pukul 5.56 petang sebentar tadi.

Ditanya mengenai perasaan masing-masing, Sakinah berkata: “Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Saya berasa gembira kerana akhirnya bergelar isteri kepada Aliff, lebih-lebih lagi apabila ayah saya sendiri yang menikahkan saya.”

Sementara itu Aliff pula berkata: “Saya rasa bersyukur kerana segalanya berjalan lancar. Terima kasih kepada keluarga dan keluarga mertua yang hadir pada petang ini.”

Dinikahkan oleh ayah Sakinah, Syed Abu Bakar, pengantin perempuan kelihatan anggun mengenakan busana jenis kurung moden rekaan pereka fesyen terkemuka Nurita Harith. Menginspirasikan tema ala taman (garden wedding), kedua-dua mempelai dan tetamu yang hadir turut mengenakan busana berona putih.

Pada majlis tersebut, Sakinah menerima tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki. Uniknya, kesemua tujuh dulang itu mengandungi tujuh pasang kasut berjenama Adidas dengan rekaan yang berbeza. Manakala, Sakinah membalas sebanyak sembilan dulang hantaran berupa sebentuk cincin, senaskhah al-Quran, tali pinggang, seutas jam tangan dan sepasang kasut bola.

Diacarakan oleh kakaknya, Sharifah Shahirah, majlis pada petang itu turut dihadiri oleh keluarga terdekat serta rakan-rakan artis. Antaranya Marsha Milan, Anzalna Nasir, Elfira Loy, Siti Saleha, Sherry Al-Hadad, Nabila Huda, Liza Abdul, Nad Zainal dan Tasha Shila.

1 KOMENTAR

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini