Selepas peluk Islam, Marsha Milan kini sah bergelar isteri

0
20

SEMALAM (31 Disember 2015), penutup tahun 2015 menjadi detik termanis kepada penyanyi dan pelakon, Marsha Milan Londoh, 30, selepas selamat diijabkabul bersama seorang ahli perniagaan, Mohamed Shaiful Nizam Dato’ Seri Hj. Mohamed Ismail, 29, dengan sekali lafaz pada jam 8.55 malam di sebuah kediaman peribadi di Pulau Pinang.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh ustaz Fauzi Ibrahim (Pegawai Tadbir Agama Daerah Timur Laut) dengan saksi jurunikah, Abdul Aziz Firuz dan berwali hakim.

Marsha menerima mas kahwin bernilai RM1,001 manakala wang hantaran dirahsiakan daripada umum. Pihak lelaki memberi tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang dari pihak pengantin perempuan.

Majlis pernikahan diadakan secara sederhana dan dihadiri oleh ahli keluarga terdekat kedua belah pihak dan juga rakan-rakan kepada pasangan tersebut.

Marsha dan Mohamed Shaiful Nizam berkenalan sejak 10 tahun lalu dan mula menyulam cinta pada tahun 2013. Mereka merancang untuk mendirikan rumah tangga kira-kira setahun yang lalu.

IMG_0060.jpg-c

“Alhamdullilah syukur ke hadrat Ilahi kerana semuanya sudah selamat dan saya berharap semua peminat mendoakan kesejahteraan saya dan perkahwinan ini.

“Terima kasih juga kepada keluarga saya dan keluarga mertua yang banyak membantu dan membimbing saya. Harapan saya, semoga penyatuan dua hati ini sentiasa dirahmati dan diberkati olehNya,” kongsi Marsha menerusi satu siaran media.

Resepsi persandingan pasangan ini bakal diadakan di Kuala Lumpur pada minggu hadapan secara tertutup. Pada majlis pernikahan itu juga, Marsha menyarungkan busana rekaan pereka fesyen tersohor tanah air, Rizalman Ibrahim.

Sebelum ini, desas-desus tentang hubungan Marsha dan Mohamed Shaiful Nizam menjadi persoalan kepada para peminat bintang kelahiran Akademi Fantasia musim ketiga itu. Bagaimanapun Marsha akhirnya mengesahkan telah memeluk Islam dalam tempoh beberapa minggu pada tahun lalu.

Bagi melihat lebih banyak momen indah pernikahan Marsha, ikuti laman Instagram @pepatungmy.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini