Selamat hari jadi Datuk Siti Nurhaliza!

0
394

HARI ini, 11 Januari merupakan tarikh kelahiran penyanyi kesayangan tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin. Genap 39 tahun usia bintang tersohor negara ini, malah tahun ini juga, genap 23 tahun Siti mewarnai industri seni Malaysia sebagai penghibur paling disegani sepanjang lebih dua dekad penglibatannya.

Sempena hari istimewa Siti hari ini, Pepatung imbas kembali lapan pencapaian dan keperibadian Siti yang membuatkan kita terus mengagumi idola ramai ini. Jadi, buat pemilik akaun YouTube dengan nama Hijau Kertas, ini adalah hari untuk anda meminta maaf kepada Siti atas semua lemparan komen negatif dalam setiap video Siti.

1) Walaupun berbusana merah menyala dan bergincu merah, vokal mentah Siti lebih memukau penonton pada pentas akhir Bintang HMI 1995. Epik bukan?

32-nodither

2) Kenapa Siti pakai mahkota, baju berkilat-kilat macam baju kahwin, gincu merah lagi dengan rambut terjuntai di tengah dahi? Kenapa? Bising betul pengkritik imej tentang penampilan Siti pada kemunculan sulungnya di pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) 1996. Tak kisahlah, lepas menang tiga anugerah termasuk Juara Lagu menerusi Jerat Percintaan pada tahun tersebut, terdiam semua. Hidup Siti!

32-nodither (1)

3) Penyanyi kegemaran anda ada atau tidak yang lagunya dirakamkan kembali artis Inggeris? Tak ada bukan? Lagu Aku Cinta Padamu ciptaan LY dan Baiduri dirakamkan semula oleh North, band dari Australia yang dianggotai lima jejaka kacak.

32-nodither (2)

Lagu ini juga yang membesarkan nama Siti di Indonesia. Bukan senang ya artis Malaysia boleh menembusi pasaran negara jiran itu dan Siti berjaya memecahkan dinding itu dengan Aku Cinta Padamu atau popular dengan Betapa Ku Cinta Padamu di sana.

4) Siti juga yang bertanggungjawab mengembalikan kerancakan Irama Malaysia pada lewat 1990-an. Impak Cindai sahaja cukup untuk meletakkan Siti sebagai penghibur serba boleh yang berupaya menyampaikan lagu daripada pelbagai genre. Tidak keterlaluan dikatakan, kehadiran Siti telah menghidupkan muzik tradisional dan meletakkannya semula dalam genre arus perdana.

32-nodither (3)

Cuba anda perhatikan, lepas kejayaan album Cindai, bertali arus artis mahu merakamkan album Etnik Kreatif tetapi tidak semua meraih perhatian masyarakat. Versatiliti vokal Siti sukar digugat penyanyi lain yang turut mencuba untuk muncul dalam lagu berentak tradisional.

Cindai, Balqis, Nirmala dan Ya Maulai adalah antara ciptaan teragung dalam katalog lagu Irama Malaysia. Jadi your argument is invalid girl!

5) Cakap pasal konsert Siti, satu Malaysia tahu, konsert beliau paling dinanti-nantikan ramai. Konsert solo keduanya, Konsert Mega Siti Nurhaliza di Bukit Jalil pada tahun 2001 juga dilabelkan sebagai antara konsert paling berjaya dalam sejarah konsert di Malaysia. Namun paling tidak dilupakan adalah ketika Siti melakukan konsert jelajah percuma (Fantasia Tour) pada tahun 2004 dengan kemuncaknya di Bukit Jalil.

Penulis sendiri menghadiri konsert yang berlangsung di Bukit Jalil itu dan apa yang mengagumkan adalah para peminatnya terdiri daripada pelbagai latar bangsa. Ada seorang bapa dan anak lelakinya berbangsa Cina begitu lancar menyanyikan bersama-sama lagu yang disampaikan Siti. Kagum bukan? Tidak perlu pun menyanyi lagu bahasa lain, Siti mampu mengumpul peminat berbilang bangsa. Walaupun begitu, Siti tetap merendah diri, itu yang penting.

32-nodither (4)

Pada tahun 2005, Siti melakar kejayaan manis apabila impian untuk mengadakan konsert di Royal Albert Hall, London ditunaikan. Siti merupakan anak seni ketiga dari Asia yang diberi penghormatan sedemikian.

Terdapat juga laporan mengatakan penjualan tiket konsert pertama Siti di Singapura pada tahun 2000 berjaya mengatasi Konsert Rainbow World Tour Mariah Carey yang dijadulkan lima hari lebih awal daripada konsert Siti. Tiket paling mahal pun lebih mahal berbanding tiket konsert Mariah. Mampu tak?

6) Siti pernah mengeluarkan produk berupa teh uncang perisa pandan dan geranium di bawah jenama CTea pada tahun 2004. Sedap tapi sayang sudah tiada lagi di pasaran. Tetapi tidak mengapa. Kini Siti sedang membina nama dalam industri kosmetik selepas jenama produk kecantikannya, SimplySiti memasuki pasaran pada tahun 2010.

g8j72

SimplySiti semakin berkembang dan pernah terpilih sebagai Produk Halal Terbaik bagi kategori kosmetik oleh Halal Journal Magazine. Artis antarabangsa lain sibuk buat minyak wangi, Siti buat rangkaian kosmetik, mohon bangga dan sokonglah kerja keras Siti ini.

7) Artis paling banyak menerima anugerah dalam sejarah Malaysia. Terdapat lebih 200 anugerah dalam koleksi peribadi Siti. Antaranya adalah anugerah Penyanyi Wanita Popular / Artis Serantau Popular yang dimenanginya selama 10 tahun berturut-turut pada Anugerah Planet Muzik (APM). 34 anugerah daripada Anugerah Industri Muzik (AIM) dengan 12 daripadanya datang daripada kategori Persembahan Vokal Terbaik di dalam Album/Lagu Wanita (memenanginya selama lapan tahun berturut-turut).

g8j01

Siti juga tidak pernah tewas dalam kategori Penyanyi Wanita Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) sejak pencalonannya dari tahun 1996 sehingga 2009 sebelum mengumumkan untuk tidak lagi bertanding dalam majlis anugerah tersebut. Daripada 23 anugerah ABPHB, tujuh merupakan trofi Bintang Paling Popular sekali gus menjadikan Siti sebagai penerima terbanyak anugerah tersebut setakat ini.

8) Dilabelkan sebagai Celine Dion Asia oleh media antarabangsa, Siti juga menghuni tangga kedua dalam senarai Artis (Penyanyi) Terbaik Asia oleh Channel V pada tahun 2005, di belakang bintang China, Jay Chou. Biarpun saingan Siti di rantau Asia hebat-hebat belaka (terutamanya penyanyi dari Filipina yang disokong barisan peminat fanatiknya), identiti Siti lebih berpengaruh.

g8hqc

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini