Buletin

Sarawak, Johor juara bersama Festari 2015

By  | 

SANGGAR BUDAYA MIRI, Sarawak berkongsi kegembiraan bersama kumpulan Tari Aliff dari Johor apabila diumumkan sebagai juara Festival Tari Malaysia (Festari) 2015 pada malam tadi sekali gus membawa pulang wang kemenangan RM10,000. Bertempat di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dua pasukan itu berjaya menumpaskan enam kumpulan lain yang turut bertanding pada tahun ini.

Sanggar Budaya Miri dinobatkan sebagai juara bagi kategori Tarian Tradisional Daerah menerusi naskhah yang dipertandingkan pada peringkat akhir, Ma’an, sebuah tarian daripada etnik Bidayuh di Sarawak manakala kumpulan Tari Aliff menggungguli kategori Tarian Rampaian Tradisional menerusi tarian Joget Pasir Penyabung.

IMG_3907 copy

Sarawak melengkapkan kejuaraan kali kelima dalam penganjuran Festari. Foto/ Pepatung

Naskhah Ma’an turut melayakkan koreografer Sanggar Budaya Miri, Desmond Anak Sagoh dijulang sebagai koreografer terbaik selain hadiah busana terbaik yang ditampilkan dalam naskhah rampaian tradisional Kambang Si Awang Si Dayang.

Secara keseluruhan, Sanggar Budaya Miri membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM24,000.

Koreografer kumpulan Tari Aliff, Saini Arifin juga dinobatkan sebagai koreografer terbaik bagi kategori Tarian Rampaian Tradisional.

“Kita tidak menjangka akan kemenangan ini tetapi apapun kami sudah lakukan yang terbaik, semoga ini menjadi permulaan yang baik untuk terus mengangkat kebudayaan dari Sarawak. Saya mengambil peluang secara keseluruhan iaitu keunikan muzik, busana dan gerak tari bagi memperkenalkan tarian Bidayuh dan Iban dalam versi harian yang jarang orang lihat,” ujar koreografer Sanggar Miri Sarawak, Desmond Anak Sagoh.

“Penglibatan Tari Alilff dalam Festari 2015 adalah sesuatu yang tidak dirancang dari mulanya, ini merupakan satu kejutan kepada kumpulan kami. Saya rasakan penyertaan Festari tahun ini sekadar mencari pengalaman sahaja namun saya bersyukur rezeki yang dikurniakan Allah. Sebenarnya, kami bukan penari profesional, tetapi apabila sudah mula kami terpaksa habiskan, bagi saya keakraban kami sebenarnya faktor kejayaan kami,” kata koreografer Tari Aliff, Saini Arifin.

IMG_3733 copy

Tari Aliff dari Johor mempersembahkan keunikan Joget Pasir Penyabung. Foto/ Pepatung

Sejak dipertandingkan pada 1992, Festari menyaksikan kemenangan kumpulan dari Sarawak dan Sabah sebanyak empat kali, Johor (dua kali), Wilayah Persekutuan KL (2 kali) dan Kedah serta Melaka masing-masing dengan satu kali. Bererti kemenangan Sanggar Budaya Miri menjadikan kemenangan kelima milik negeri Bumi Kenyalang itu manakala kemenangan Tari Aliff menggenapkan kemenangan ketiga milik negeri Johor.

Berikut merupakan senarai penuh pemenang Festari 2015:

Kategori Tarian Rampaian Tradisional

1) Tari Aliff (Johor): Joget Pasir Penyabung (RM10,000, trofi, sijil)

2) Sanggar Budaya Miri (Sarawak): Kambang Si Awang Si Dayang  (RM8,000, trofi, sijil)

3) Rentak (Selangor): Joget Renung-Renung  (RM5,000, trofi, sijil)

Busana Terbaik: Sanggar Budaya Miri (Sarawak)  (RM3,000, trofi, sijil)

Koreografer Terbaik: Tari Aliff (Johor)  (RM3,000, trofi, sijil)

IMG_4051 copy

Tarian Jong merupakan kesenian yang diangkat oleh Tari Aliff tahun ini. Foto/ Pepatung

Kategori Tarian Tradisional Daerah

1) Sanggar Budaya Miri (Sarawak): Ma’an  (RM10,000, trofi, sijil)

2) Le’Waris UMK (Kelantan): Serkap  (RM8,000, trofi, sijil)

3) Tari Aliff (Johor): Jong  (RM5,000, trofi, sijil)

Busana Terbaik: Le’Waris UMK (Kelantan)  (RM3,000, trofi, sijil)

Koreografer Terbaik: Sanggar Budaya Miri (Sarawak)  (RM3,000, trofi, sijil)

Comments

comments

Selepas lima tahun bersama akhbar berbahasa Melayu tempatan, penulis memanjangkan langkah dalam bidang rekaan fesyen bersama label peribadi. Kecintaan terhadap dunia penulisan dilanjutkan bersama Pepatung berbekalkan pengalaman skop hiburan, pelancongan dan biografi.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *