Hiburan

Reinkarnasi Britney Spears

By  | 

APABILA Britney Spears kembali membuat persembahan di pentas MTV Video Music Awards (VMAS) 2016 di Madison Square Garden, New York, Amerika Syarikat (AS) pada malam 28 Ogos 2016 (waktu pagi 29 Ogos 2016 di Malaysia), seluruh dunia memberi tumpuan.

Peminat fanatik mahukan sebuah comeback epik. Pengkritik tegar semestinya berkobar-kobar menantikan sebuah lagi kegagalan.

Tamat persembahan berdurasi kurang 5 minit, Spears dipuji dan ditohmah sama rata. Jelas ia bukan persembahan fantastik untuk tahap seorang yang bergelar Puteri Pop Dunia, namun ia juga bukan sebuah kegagalan.

Menyusul persembahan selepas Beyoncé satu tanggungjawab getir. Selain mendominasi anugerah termasuk anugerah utama, persembahan 16 minit Beyoncé juga dijulang media dan para penonton sebagai persembahan terbaik pada malam tersebut.

Visual berteknologi tinggi diiringi efek mantap serta kepintaran sudut kamera membuatkan persembahan Beyoncé tampak sempurna. Apatah lagi apabila dibandingkan dengan Spears yang menyusul diiringi hanya empat penari, bergandingan bersama G-Eazy dan seperti biasa, selesa menyanyi tanpa vokal sebenar (lip-synced) – sekali gus memperlihatkan kelemahan pelbagai sudut momen ‘comeback‘ Spears.

brit-3FOTO: GMX

Begitupun, para peminat Spears (Britney Army) sepakat memberi sorakan kepada idola mereka. Muncul kembali di pentas sama yang hampir memusnahkan kariernya sembilan tahun lalu adalah satu pencapaian. Bukan kelincahan Spears waktu remaja yang dinantikan tetapi sebuah persembahan berisi kejujuran dan kemahuannya beraksi itu yang dirai para peminat.

Tampil bertenaga pada usia 34 tahun, ibu tunggal kepada dua anak lelaki ini tidak menganggap ia satu medan pertandingan. Perbandingan Spears dan Beyoncé sangat tidak relevan jika mengambil kira fasa sedekad keruntuhan jenama Spears akibat pergolakan peribadi dengan Beyoncé yang lancar laluannya tanpa disulami kontroversi besar.

brit-5FOTO: GREENSBORO

Artikel ini bukan alasan untuk membela Spears tetapi realitinya, Spears hampir terkorban gara-gara dilema peribadi. Diekori lebih 50 paparazi setiap detik dan setiap aksinya dirakam, dijaja kepada media yang dahagakan apa sahaja kisah berkaitnya.

Tahun 2007 adalah tahun malang Spears. Perceraian dengan Kevin Federline, hilang hak penjagaan ke atas dua anak, bergaul dengan kelompok yang salah, hakikatnya populariti luar biasa Spears memakan diri.

FOTO: GAGADAILY

Bapa Spears, Jamie diberi hak pengurusan penuh (conservatorship) ke atas anak perempuannya termasuk kewangan dan perihal peribadi. Wanita dewasa ini hidup dalam kongkongan orang sekeliling. Dia tidak bebas membuat keputusan untuk dirinya. Semua dikawal rapi bagi memastikan dia tidak lagi tersilap langkah.

Tahun demi tahun, Spears muncul dengan beberapa album tetapi masih ada yang tidak lengkap pada dirinya. Dia sentiasa kelihatan lesu dalam persembahan bermula 2007 hingga 2014 seolah-olah berputus asa untuk menjadi penghibur dominan antarabangsa.

Sedekad yang penuh getir kepada Britney Army yang setia menantikan kepulangan rasmi Spears. Hanya selepas Spears menghuni Las Vegas selama tiga tahun menjayakan residensi Piece of Me, minatnya terhadap muzik kembali menyala.

Bahasa matanya kembali memberi gambaran bahawa dia sudah bersedia. Malah siri temu bual promosi album terbaharu, Glory juga menunjukkan indikasi membanggakan apabila setiap soalan dijawab penuh yakin dan berkarakter. Robotic Spears secara rasmi telah mati dan itu cukup membanggakan para peminat.

Justeru adalah satu pencapaian untuk Spears membina kembali semangat yang runtuh. Seorang pejuang yang tidak gentar dikritik seperti suatu ketika dahulu. Spears kembali menemui dirinya dan tidak menunjukkan tanda-tanda untuk memperlahankan fasa reinkarnasinya.

Kepada para pengkritik, ini adalah tahun 2016, jenaka tentang Spears lip-synced tidak lagi relevan. Para peminat tahu akan realiti itu dan mereka bukan bodoh. Malah mereka berbangga dapat bersama-sama menyokong jatuh bangun legenda pop ini.

Selamat kembali Britney dan teruskan melakar sukses. It’s Britney Bitch!

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *