Hiburan

Ranking persembahan #ABPBH30

By  | 

PADA Ahad lalu telah berlangsung Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang ke-30. Memasuki tiga dekad penganjurannya, ABPBH tahun ini mengangkat futuristik sebagai tema acara.

Selain menyaksikan kemenangan diduga Fattah Amin merangkul trofi Bintang Paling Popular, aturan persembahan pada malam tersebut juga tidak kurang hebatnya.

Barisan penyanyi baharu dan lama membuatkan ABPBH30 lebih seimbang dan kemas. Rata-rata persembahan juga tidak melewah, sederhana tetapi mantap.

Berikut disenaraikan susunan (ranking) persembahan ABPBH30 berdasarkan penilaian Pepatung. Adakah anda bersetuju dan persembahan manakah pilihan anda?

 

9) Jaclyn Victor & Bob Yusuf – Aku Negaraku

Bergandingan menyampaikan lagu bertema patriotik, Jaclyn Victor (Jac) tenggelam dan jelas kelihatan kurang bersedia. Beberapa kali kamera menyiarkan Jac sedang melihat lirik yang dipaparkan di prompter. Begitupun Bob berjaya menyelamatkan keadaan dengan penyampaian berkeyakinan.

 

8) Search & Haiza – Medley Pelesit Kota & Gothic Malam Edan

Legenda rock Search berpadu tenaga bersama Haiza membuka tirai ABPBH30. Seperti diduga, Search masih berbisa dan energi yang disalurkan dalam persembahan turut dirasai penonton. Haiza yang selama ini lazim dengan irama dangdut membuktikan kepada ramai bahawa versatiliti vokalnya mampu membawanya ke tahap lebih jauh di dalam industri muzik.

 

7) Tajul, Khai Bahar & Usop – Medley Andai Dapat Ku Undur Masa & Rindu Serindu Rindunya

Trio penyanyi lelaki baharu yang sedang melakar nama dalam industri seni tanah air. Usop, biarpun paling mentah dibandingkan Tajul dan Khai Bahar dapat mengawal konsentrasi persembahan dengan baik. Cuma gementar masih dapat dilihat. Khai Bahar tenang melontarkan vokal lantangnya dan tidak mengecewakan.

Bagaimanapun, Tajul dirasakan lebih menyerlah dalam persembahan ini. Vokal Tajul sangat sesuai dengan lagu-lagu balada 90-an. Sedap didengar dan tidak berlebih-lebih terutama ketika dia mula menyanyikan rangkap lagu Rindu Serindu Rindunya. Hanya apabila ketiga-tiganya bergabung suara, persembahan kedengaran kucar-kacir tanpa keserasian.

 

6) Elly Mazlein & Ayda Jebat ft. Budak Joget – Pencuri Hati

Pertaruhan ABPBH30 menyatukan dua artis yang sering dilabelkan ‘gedik’ dalam satu persembahan benar-benar menjadi. Tolak tepi ukuran vokal kerana gandingan Elly dan Ayda sangat serasi dan menghiburkan. Pencuri Hati kedengaran lebih manja dengan saduran lenggok manja suara Elly. Ia sebuah persembahan di luar jangkaan yang berjaya.

 

5) Syamsul Yusof & Mawi / Altimet – Medley Bukan Propaganda & Kalah Dalam Menang / Amboi

Persembahan berunsur nasihat / dakwah moden ini ringkas tetapi membekas ingatan. Syamsul dan Mawi lancar dalam meluncurkan rap dan lirik masing-masing. Barangkali segelintir kurang berminat dengan cara persembahan Syamsul, namun pengisian lagu dan tekanan penyampaian Syamsul sebenarnya jitu, telus dan cepat dicerna. Begitu juga Mawi yang tidak dinafikan mesra dengan genre kerohanian.

Muncul Altimet bertengkolok berdiri di hadapan rostrum penuh mikrofon. Altimet ‘berucap’ kepada penonton dengan sindiran-sindiran dalam lagu Amboi. Hanya penari latar wanita berpakaian putih sahaja dirasakan agak mengganggu kelicinan persembahan.

 

4) Dato Siti Nurhaliza – Segala Perasaan

Persembahan Siti hanya menggunakan minus one. Dikhabarkan Siti berkejar ke majlis selepas menjayakan program berkayuh basikal di Tanjung Malim. Meskipun kurang latihan dan persiapan, persembahan Siti masih menepati standard statusnya sebagai penyanyi nombor satu negara. Terkucil itu kesilapan kecil dan tidak menjejaskan keseluruhan persembahannya.

Cuma sudah tiba masa untuk Siti merombak individu-individu yang bertanggungjawab menata gaya penampilan. Solekan malam tersebut agak tebal, tetapi boleh dimaafkan selepas mengambil kira faktor waktu. Busana pula kurang meyakinkan. Siti akan kelihatan lebih elegan dalam persalinan minimalis. Wujudkan imej yang sederhana tetapi mewah dan eksklusif.

 

3) Noraniza Idris – Dikir Puteri

Tahniah kepada ABPBH30 kerana berjaya membawa Noraniza Idris beraksi di pentas. Ramai yang menantikan ‘kepulangan’ masyhur ratu etnik kreatif ini. Bersama segerombolan penari dan pasukan dikir barat, Noraniza atau mesra dengan sapaan Kak Ani menyemarakkan persembahan yang selama ini ketandusan bakat genre Irama Malaysia.

Masih cergas mengikut rentak tari (meskipun sedikit terbatas pergerakan), vokal lunak Kak Ani juga kekal terpelihara.

 

2) Salma & Asmidar / Dayang Nurfaizah – Hanya Satu / Selamat Tinggal Bungaku

Segmen tribute kepada Allahyarham Johan Nawawi dan Allahyarham Tan Sri S.M. Salim yang amat mengesankan. Didahului gandingan Salma & Asmidar menyampaikan karya ciptaan Johan, Hanya Satu (dendangan asal Nora), keharmonian vokal dua bintang ini wajar diberi pujian. Meskipun kedua-duanya dikurniakan keupayaan vokal yang hebat, menerusi persembahan ini, mereka saling melengkapi dan melunaskan tugas dengan jayanya.

Dayang menyusul bersama penghayatan luar biasa mendendangkan alunan klasik S.M. Salim, Selamat Tinggal Bungaku. Bertemankan gitar dan piano, Dayang membawa penonton ke satu suasana mengusik dan sarat emosi. Lirik lagu tersebut seakan bernyawa. Bukan sahaja penonton di dalam dewan yang terpaku dan dibuai merdu suara Dayang, mereka yang di rumah juga turut sama merasai penyampaian memukau Dayang.

 

1) Ella – Sembilu

Ratu rock tanah air diumumkan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat. Selepas lebih 30 tahun berjuang selaku satu-satunya permata rock wanita negara, Ella masih Ella. Suara serak-serak basah dengan karakter manja semula jadi Ella dipersembahkan penuh jujur dalam lagu Sembilu. Penampilan sopannya juga sederhana tetapi masih menawan. Kerinduan peminat untuk menyaksikan persembahan Ella secara siaran langsung sememangnya terubat pada malam itu.

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *