Quickie Pepatung: Izzue Islam

0
35

PELAKON dan ahli kumpulan Forteen, Izzue Islam semakin mendapat tempat di dalam industri seni tempatan. Antara lakonannya yang kini sedang hangat ditayangkan adalah drama Suami Sebelah Rumah menerusi slot Iris yang disiarkan setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 6.30 petang di TV3. Single baharu, Linangan Terakhir bersama Forteen juga kian rancak diputarkan di radio.

Demi meraikan Izzue sebagai Wajah Pepatung bulan ini, kami sempat mencungkil beberapa perkara tentang Izzue yang mungkin tidak diketahui umum.

Pepatung: Kongsikan sedikit karakter dan perwatakan anda ketika di bangku sekolah?
Izzue: Saya agak nakal tetapi masih menjaga keutamaan pembelajaran. Waktu di sekolah, ketika tingkatan tiga atau empat, kawan-kawan panggil saya Ayie. Saya sendiri tidak tahu mengapa gelaran itu diberikan? Mungkin ia satu panggilan mudah dan ia terus melekat.

Pepatung: Apakah tabiat anda yang sukar dikikis?
Izzue: Saya suka tengok cermin! Bila lalu depan cermin, walaupun sekadar hendak mengambil barang di atas meja, saya sempat membelek muka di depan cermin. Saya sendiri tidak tahu kenapa tetapi mungkin saya terlalu berhati-hati dalam menjaga penampilan. Selain itu, saya juga ada masalah keyakinan apabila memilih baju. Kadang-kadang selepas bersiap sekalipun, saya akan ragu-ragu dan berasa pakaian itu tidak sesuai.

Pepatung: Masalah yang anda alami orang tidak tahu?
Izzue: Saya rabun warna. Justeru, kalau memilih pakaian, isteri (Awin) saya mesti membantu membuat pilihan. Kalau dulu saya banyak memilih warna selamat seperti hitam dan putih. Namun sekarang banyak warna biru dan ia merupakan warna kegemaran saya.

2-quickie

Pepatung: Siapakah anak seni tempatan yang menjadi idola anda?
Izzue: Saya amat mengagumi Allahyarham Tan Sri P. Ramlee kerana beliau seorang insan berbakat besar. Beliau mempunyai pakej lengkap sebagai sorang seniman dan bersifat serba boleh.

Pepatung: Sukan atau aktiviti riadah kegemaran anda?
Izzue: Aktiviti lasak memang menjadi kegemaran saya sejak dulu. Futsal dan papan selaju (skateboard) antara sukan yang saya minati. Bagaimanapun apabila sibuk dengan kerja, saya menggantikan aktiviti tersebut dengan permainan telefon pintar sebelum apa-apa penggambaran bermula.

Pepatung: Kebolehan atau bakat yang anda miliki tidak diketahui orang?
Izzue: Saya boleh bermain pelbagai alat muzik. Selain gitar, saya juga boleh bermain ukulele, dram, harmonika, keyboard dan kini saya dalam tempoh memahirkan diri bermain seruling. Sekarang juga saya masih mengasah bakat mencipta lagu dan karya pertama berjudul Untuk Sahabat telahpun dipersembahkan ketika menjayakan konsert bersama Forteen dulu.

3-quickie

Pepatung: Apakah item-item yang mesti anda bawa setiap kali keluar rumah?
Izzue: Telefon bimbit, dompet dan paling penting, kaca mata hitam.

Pepatung: Pemuzik dan penyanyi kegemaran anda?
Izzue: Datuk M. Nasir dan Nidji.

Pepatung: Filem kegemaran anda?
Izzue: Filem berantai Saw dan filem-filem bergenre sebegini.

4-quickie

Pepatung: Sekiranya anda bukan seorang artis sekarang, di manakah anda dan apakah cita-cita dahulu?
Izzue: Mungkin sekarang saya seorang pekerja biasa kalau tidak menjadi artis. Ketika bersekolah, saya bercita-cita menjadi seorang polis tetapi apabila tamat belajar, minat saya mula berubah ke arah kesenian dan disebabkan itu saya dan rakan-rakan menubuhkan sebuah band kerana mahu menjadi pemuzik.

Pepatung: Memori kanak-kanak yang masih segar dalam ingatan anda?
Izzue: Waktu kecil, saya rajin membantu arwah datuk ke kebun memetik buah seperti manggis dan langsat. Kadang-kadang saya tolong bakar sampah selepas membersihkan kawasan kebun.

Pepatung: Pengalaman pahit dalam hidup anda?
Izzue: Sehingga kini saya tidak akan melupakan pengalaman kemalangan ketika membonceng motosikal bersama seorang kawan di kampung. Kami dilanggar sebuah lagi motosikal tetapi saya tidak mengalami sebarang kecederaan, hanya luka-luka kecil. Namun kawan saya itu koma selama tiga hingga empat hari tetapi Alhamdulillah dia kembali sembuh.

Pepatung juga sempat bertanyakan soalan-soalan pantas yang menuntut Izzue membuat pilihan:

  • Kasut atau selipar = Selipar
  • Baju-T atau kemeja = Baju-T
  • Mudah terjaga daripada tidur atau sukar = Sukar tersedar
  • Individu bangun pagi atau tidak = Bukan individu mudah bangun pagi
  • Berjambang atau bercukur bersih = Berjambang
  • Rambut panjang atau pendek = Rambut pendek
  • Kopi atau teh = Kopi (Super Coffee)

Kredit foto: Pinography

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini