Politik dan seni itu setara – Datin Anne Ngasri

0
47

BUKAN hanya pelakon, Datin Anne Ngasri kini turut menyandang gelaran Ketua Puteri Umno Bahagian Bukit Bintang. Mungkin ada sesetengah beranggapan seni dan politik itu tidak sepatutnya bercampur-baur memandangkan dalam industri seni itu sendiri sudah terlalu banyak politiknya.

Bagi Anne atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri, 31, anggapannya seni membentuk seseorang individu menjadi prihatin begitu juga politik yang perlu banyak turun padang mendengar masalah rakyat.

“Politik dan seni itu sama, kerana menjadi orang seni perlu ada jiwa yang prihatin kepada orang lain begitu juga berpolitik. Saya tidak ada misi keterlaluan untuk mengumpul penyokong atau meletakkan sasaran untuk menyandang jawatan tertentu kerana itu semua rezeki, kalau kita berniat baik orang akan sokong.

“Politik adalah tugas yang saya suka laksanakan cuma sekarang orang nampak saya aktif kerana berjawatan sedangkan niat saya hanya untuk membantu rakyat, orang Islam dan Melayu terutamanya. Tiada langsung niat untuk menjatuhkan sesiapa,” jelasnya.

IMG_5651
Foto/ FirmanMohtar

Ditanya apakah tindakan yang dilakukan ke arah melunaskan niat itu, jawab Anne: “Kebanyakan program yang dilaksanakan berunsur kebajikan dan sebagai sebahagian kecil dalam masyarakat saya sering mendekati anak-anak muda dengan berkunjung rumah ke rumah bertanyakan masalah mereka. Di Kuala Lumpur sebenarnya ramai yang tersalah anggap, seringkali melihat kotaraya ini sebagai lubuk duit padahal kemiskinan berada pada tahap yang teruk.”

Anne menggunakan platform pengaruh seninya dalam berpolitik. Katanya orang ramai sudah sedia mengenalinya dan memberikan perhatian kepadanya sejak kecil jadi tiada masalah untuk menyeimbangkan dua perkara itu.

“Saya tidak rasa susah berpolitik dan sudah selesa diperhatikan, sama seperti menjadi artis. Tiada apa yang perlu saya selindungkan,” tambahnya yang kini lebih banyak menghabiskan masa di belakang tabir bersama Darling Ngasri mengusahakan syarikat produksi NS Star Sdn. Bhd. sejak lima tahun lalu.

Terdahulu, pelakon Cili Padi itu telah bernikah dengan Setiausaha Kerja Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Mohd. Sumali Reduan pada tahun 2012 dan dikurniakan seorang cahaya mata.

 

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini