Hiburan

‘Penyanyi Kampung’ juara Gegar Vaganza 2

By  | 

MENEPATI ramalan ramai, penyanyi Siti Nordiana Alias atau lebih popular disapa Nana telah dinobatkan sebagai juara program realiti nyanyian Gegar Vaganza musim kedua pada malam semalam. Nana telah berjaya menewaskan lima pencabar terdekatnya iaitu Farah Dhiya (tempat kedua), Ezad Lazim (ketiga), Nassier Wahab (keempat), Acong Sweetchild (kelima) dan Haiza (keenam) pada pusingan akhir yang berlangsung di Auditorium MBSA Shah Alam.

GHJHoHU_ePLHJ_acH_zl_lWPMgKDYJFzTZznCA7nQys

Dalam pusingan solo Nana diberikan tugasan mendendangkan lagu nyanyian asal Ziana Zain berjudul Putus Terpaksa dan bersandarkan notasi asal, Nana membawakan lagu itu tanpa cela. Paling manis, penutup nyanyian Nana mendapat standing ovation daripada penonton di auditorium ketika itu.

Menerusi pusingan kalah mati, Nana dipertemukan dengan Acong Sweetchild dan pasangan itu diberikan tanggungjawab mempersembahkan lagu Awak Kat Mana? (nyanyian asal Taufik Batishah) dalam cara tersendiri. Sekali lagi Nana melunaskannya penuh versatil.

wksb_Nu9jTayfTPOGtgFj880RGUoH4qw9BEY0SxY3a8

Nana yang ditemui selepas tamat rancangan terbabit meluahkan rasa gembira kerana berjaya membuktikan kredibiliti dan bakatnya kepada umum sekali gus menyangkal dakwaan ‘penyanyi kampung’ tidak mampu berjaya.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada pihak Astro kerana memberikan peluang kepada saya untuk beraksi di pentas Gegar Vaganza 2. Walaupun sudah lama menyanyi namun impak rancangan ini lebih kuat daripada sebelum ini.

“Saya pernah merasa kegemilangan bersama Allahyarham Achik Spin suatu ketika dahulu dan Gegar Vaganza 2 ibarat peluang kedua buat saya. Harapan saya agar karier saya tidak terhenti setakat di sini.

“Walaupun genre lagu sebelum ini dikelaskan sebagai lagu ‘tangkap leleh’ namun menerusi genre lagu itulah saya berada hari ini dan saya bangga digelar penyanyi kampung!” kata Nana.

Nana berjaya membawa pulang wang kemenangan sebanyak RM100,000, pakej percutian di Madrid, Sepanyol bernilai RM30,000, berpeluang merakamkan sebuah single baharu terbitan Astro serta trofi kemenangan.

Manakala di tempat kedua, disandang oleh penyanyi Farahdhiya yang membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM50,000, trofi berserta pakej percutian ke Beijing bernilai RM15,000.

Tempat ketiga pula, disandang oleh Ezad Lazim yang turut membawa pulang wang tunai berjumlah RM 30000, trofi berserta pakej percutian ke Lombok bernilai RM 6000.

Program yang disiarkan secara langsung di Astro itu telah bersiaran selama sembilan minggu dan menyaksikan barisan wajah bintang yang pernah dahulu menyinar di persada seni suara tanah air kembali menunjukkan kehebatan masing-masing.

boO2GXODHSltpqYwr89-S7N0va9aKXS25vsg2Jf1ZyU

Comments

comments

Selepas lima tahun bersama akhbar berbahasa Melayu tempatan, penulis memanjangkan langkah dalam bidang rekaan fesyen bersama label peribadi. Kecintaan terhadap dunia penulisan dilanjutkan bersama Pepatung berbekalkan pengalaman skop hiburan, pelancongan dan biografi.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *