Penangan 10 One Hit Wonder Malaysia

0
53

SESEBUAH lagu hebat mampu memberi impak berpanjangan kepada pendengar. Adakalanya, lagu yang menjadi popular dan meledak sebagai satu fenomena lebih dikenali berbanding sang penyanyinya. Namun kejayaan sesebuah lagu tidak menjamin kestabilan populariti seseorang penyanyi. Maka disebabkan itu terdapat ramai penyanyi gagal mengulangi fenomena lagu berhantu sesudah lagu pertama mereka digilai masyarakat.

Justeru akhirnya mereka tersenarai dalam kelompok penyanyi one hit wonder! Bukan tidak berbakat, malah sebahagian besar daripada mereka memiliki kualiti suara amat mengagumkan. Namun barangkali tuah tidak menyebelahi mereka dan memaksa karier seni mereka terkubur sepantas kilat. Berikut merupakan antara lagu dan penyanyi kategori one hit wonder.

1) Keranamu Kekasih – Illa Sabry


Penyanyi yang pernah mencipta fenomena hanya dengan sebuah lagu. Keranamu Kekasih menjadi hit pada tahun 2001 dan ia dijadikan lagu tema (OST) untuk filem Gerak Khas The Movie pada tahun yang sama. Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Ajai ini juga gagal melayakkan diri ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) 2001.

Illa kemudiannya menyepi dari industri seni suara dan hanya kembali pada tahun 2012. Dia merakamkan semula lagu Keranamu Kekasih yang diberikan sentuhan baharu bersama sebuah muzik video.

2) Salam Untuk Kekasih – Nadia


Lagu berhantu ciptaan penuh penyanyi ini sendiri, Nadia atau nama sebenarnya, Zarina Mohd. Ali mula diputarkan di corong radio pada tahun 1996. Sejak itu, Salam Untuk Kekasih menjadi lagu malar segar dan sehingga kini, vokal serak-serak basah Nadia dalam lagu ini masih mampu meremangkan bulu roma pendengar. Namun sayang, bakat sahaja tidak dapat membantunya untuk kekal dalam industri. Apatah lagi apabila mengambil keputusan untuk menyepi selepas berkahwin pada tahun 1999.

Bagaimanapun, Nadia kembali selepas mendedahkan rumah tangga yang dibina telahpun berakhir. Cubaannya untuk kembali ke dalam bidang seni suara pada tahun 2012 menerusi lagu Hanya Untukmu kurang memberangsangkan. Namun platform yang diterima untuk muncul dalam program Gegar Vaganza pada tahun lalu banyak membantu menaikkan namanya semula.

3) Sehati dan Sejiwa – Haslinda


Tempias populariti drama Cinderella pada tahun 1998 lakonan Ahmad Idham dan Haliza Misbun yang disiarkan di TV3 turut melonjak lagu temanya, Sehati dan Sejiwa sebagai lagu popular pada ketika itu. Karya ciptaan LY dan Baiduri ini didendangkan Haslinda yang pada waktu itu berusia 20 tahun. Setakat ini, tiada informasi baharu tentang Haslinda.

4) Melodi Hati – Shawn Baharin


Pada tahun 1999, industri seni tanah air menyaksikan kerancakan pelbagai genre muzik. Antaranya adalah lagu berentak samba/salsa seperti yang didendangkan Shawn Baharin berjudul Melodi Hati. Popular sungguh lagu ini sehinggakan orang menggelar Shawn sebagai Ricky Martin versi Malaysia. Shawn hanya sempat merakamkan sebuah album berkonsep Pop Latin dan terus menyepi sehingga sekarang. Pencapaian tertinggi Shawn adalah apabila dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-7  (2000) menumpaskan Dayang Nurfaizah.

5) Harapan – Fazli Zainal


Pernah melangkah kaki ke pentas akhir AJL ke-22 pada tahun 2007, lagu Harapan ciptaan sepenuhnya oleh Hazami menjadi batu loncatan buat Fazli Zainal. Kemerduan dan kelantangan vokalnya dalam lagu ini segera menambat hati pendengar. Fazli yang dicungkil bakatnya daripada program Malaysian Idol tetap bergiat aktif dalam industri seni sehingga kini. Malah tahun lalu dia berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir Gegar Vaganza.

Bagaimanapun sehingga kini tiada lagu baharu nyanyian Fazli berjaya mencipta kejayaan luar biasa seperti lagu Harapan.

6) Bagaikan Puteri – Farra


Namanya meletup dengan lagu berjudul Bagaikan Puteri ini. Hangat dimainkan di radio sekitar era 1990-an, Farra meraih impak populariti sekelip mata. Bagaimanapun namanya terus tenggelam selepas itu. Perkembangan terbaharu penyanyi yang suatu ketika dulu begitu lincah menari di atas pentas itu dilaporkan akhbar pada tahun 2010 ekoran berita perceraiannya. Kini Farra aktif menyertai aktiviti berbentuk amal dan kebajikan serta selesa dengan imej berpurdah.

7) Matahari – Maya


Maya mempunyai beberapa lagu yang popular sekitar 1990-an. Selain Diari Biru, lagu Matahari yang bertanggungjawab menjulangnya ke puncak populariti. Malah penangan lagu ini turut memberinya gelaran sebagai Maya Matahari sehingga kini. Maya masih bergiat aktif di dalam industri seni dan kelibatnya banyak dilihat di dalam drama-drama televisyen. Pada tahun lalu, Maya mendedahkan akan muncul dengan sebuah album kompilasi dan merakamkan semula lagu-lagu hitnya termasuk Matahari.

8) Seribu Impian – Casey


Nasib Casey Subramaniam barangkali lebih baik berbanding kelompok one hit wonder lain. Selain mencetuskan fenomena dengan lagu Seribu Impian yang sering dijadikan lagu tema di kem-kem motivasi, Casey turut dikenali dengan lagu Jangan Ada Benci. Malah Seribu Impian berjaya melangkah ke pentas akhir AJL ke-10 pada tahun 1995. Pernah menjalinkan hubungan cinta dengan Zizie Ezette, Casey kini masih aktif sebagai penyanyi dan pemuzik serta bertindak sebagai pensyarah muzik di sebuah IPTS tempatan.

9) Flora Cinta – Min Malik


Siapa tidak kenal adik kepada pelakon dan pengacara, Ary Malik ini. Pada usia belasan tahun, Min Malik telah diberi kepercayaan oleh Adnan Abu Hassan bagi membawakan lagu Flora Cinta. Lagu tersebut mencipta fenomena pada tahun 1995 dan kejayaan itu telah mendorong Min untuk merakamkan tiga album sepanjang kariernya. Perjalanan Duka juga antara lagu hit yang sempat mewangikan nama penyanyi ini.

Namun dek kesibukan menyambung pengajian, Min terus menyepi daripada industri seni suara. Kini Min bertindak sebagai tenaga pengajar di sebuah akademi seni di Kuala Lumpur.

10) Ku Intai Cinta Dalam Rahsia – Jeslina Hashim


Nama yang bukan calang-calang. Jeslina Hashim hadir dalam industri seni berbekalkan bakat besar. Pada tahun 2000, namanya naik susulan kejayaan lagu Ku Intai Cinta Dalam Rahsia. Popularitinya turut melonjak selepas muncul dalam beberapa filem sehingga berjaya membawa pulang trofi Aktres Harapan Wanita Terbaik menerusi filem Seri Dewi Malam pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-15 pada tahun 2001.

Jeslina kemudiannya menimbulkan kontroversi pada tahun 2005 apabila ditahan penguatkuasa Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) ketika sedang berhibur di sebuah kelab malam. Dia berkahwin dengan seorang lelaki dari New Zealand pada tahun 2005 tetapi sah bercerai pada tahun 2013. Perkahwinan itu mengurniakannya dua orang cahaya mata.

Kredit Video: YouTube

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini