Hiburan

Nur Adriana peserta OKU pertama program Pendakwah Cilik

By  | 

BIARPUN pandangannya kelam, tetapi hatinya terang-benderang. Indah melagukan bacaan al-Quran, keupayaan Nur Adriana Ab. Murak, 10, bertaranum ayat-ayat suci akan menyentuh hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Anak istimewa dari Kuala Terengganu, Terengganu itu merupakan salah seorang daripada 10 peserta program Pendakwah Cilik yang bakal bersiaran menjelang November depan di saluran 113 Salam HD, HyppTV.

PEndakwah cilikADRIANA (DUDUK PALING KIRI) BERSAMA SEMBILAN PESERTA PROGRAM PENDAKWAH CILIK.

Adriana, pelajar darjah 3 dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kuala Terengganu, sebelum ini pernah menyertai Majlis Tilawah al-Quran Braille peringkat kebangsaan.

Anak kedua daripada tiga adik-beradik itu juga sering mewakili sekolahnya dalam pertandingan bercerita dan nyanyian.

Pada sesi rakaman program yang mencungkil bakat bertaranum dan berpidato itu baru-baru ini, Adriana muncul sebagai satu-satunya peserta OKU dan sememangnya dia memiliki kelunakan suara yang menggetar jiwa.

Bapanya, Ab. Murak, 42, yang berada pada sesi rakaman tersebut tidak dapat menahan sebak sehingga menitiskan air mata apabila melihat anaknya menampilkan persembahan yang memuaskan sehingga mendapat pujian pihak juri.

“Saya sebak kerana apa yang dilakukannya itu benar-benar menyentuh hati. Sebagai orang yang celik penglihatan, saya sendiri tidak mempunyai keupayaan untuk melakukan apa yang anak saya buat.

“Motivasinya untuk belajar sangat tinggi. Dia juga yakin dengan diri dan tidak berasa rendah diri untuk bersaing dengan orang lain. Hal tersebut membuatkan saya berasa bangga dengan pencapaiannya.

“Kalah atau menang tidak mustahak. Penglibatannya dalam program ini sudah memadai untuk dianggap satu kemenangan kepadanya,” kongsi Ab. Murak ketika ditemui Pepatung.

PEndakwah cilikBAKAT TARANUM DAN PIDATO ADRIANA DILATIH SECARA BERSENDIRIAN DENGAN BIMBINGAN GURU DI SEKOLAH

Membesar dalam persekitaran asrama sejak usia 7 tahun, Adriana pada waktu lapangnya akan berlatih mengaji bersendirian tanpa paksaan sesiapa. Dia juga mengisi waktunya dengan membaca buku cerita.

Setiap hujung minggu, dia akan pulang ke rumah dan ibunya akan menyediakan makanan kegemarannya, nasi ayam. Pergerakan yang terbatas bagaimanapun tidak menyekat naluri kanak-kanak Adriana untuk sama-sama bermain dengan rakan-rakannya di kawasan perumahan.

“Dia sama sahaja seperti kanak-kanak lain. Saya tidak bimbang dengan masa depannya sebab Adriana mempunyai potensi yang sama seperti orang lain.

“Cuma keterbukaan masyarakat untuk menerima golongan OKU dalam sektor pekerjaan masih belum begitu meluas. Sedangkan hasil-hasil kerja mereka kebanyakannya jauh lebih baik berbanding orang celik penglihatan,” begitu pandangan Ab. Murak yang pernah melawat komuniti OKU (penglihatan) di Brickfields, Kuala Lumpur.

Bercita-cita menjadi guru mata pelajaran Bahasa Melayu, Adriana sangat meminati Siti Nordiana dengan lagu Pesanan Teragung dendangan penyanyi itu sebagai lagu kegemarannya.

KUALA LUMPUR 25 SEPT 2016 - Sesifoto peserta pertandingan Pendakwah Cilik dan rakaman siri tersebut di studio Finas di Hulu Klang di sini hari ini . Gambar:Zakaria Idris / Pemberita:Syed-Mingguan.PROGRAM PENDAKWAH CILIK BAKAL BERSIARAN PADA 26 NOVEMBER 2016 DI SALURAN 113 SALAM HD HYPPTV.

Mendedahkan bahawa sedikit gementar menyertai program tersebut. Namun, dia tetap berasa seronok kerana dapat menimba pengalaman selain bertemu rakan-rakan baharu.

Saksikan keindahan alunan taranum dan kepetahan berpidato Adriana menerusi program Pendakwah Cilik yang akan ditayangkan bermula 26 November 2016. Rancangan 13 episod itu akan bersiaran di saluran Salam HD (113), HyppTV.

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *