Joanne tajuk album baharu Lady Gaga

0
7

BINTANG pop antarabangsa, Lady Gaga mengumumkan tajuk album studio kelimanya di Beats Radio semalam. Album baharu itu dinamakan Joanne dan bakal dipasarkan pada 21 Oktober 2016.

lady-gaga-perfect-illusion-video-still-pr-interscope-2016-billboard-1548-jpg-cFOTO: BILLBOARD

Pemilihan tajuk album itu adalah satu bentuk penghormatan (tribute) kepada mendiang ibu saudaranya, Joanne yang meninggal dunia ketika berumur 19 tahun akibat penyakit lupus pada tahun 1974.

Nama tengah Gaga juga ialah Joanne dan bapanya pula, Joe Germanotta turut menamakan restoran miliknya di New York dengan nama Joanne Trattoria.

Menerusi temu bual bersama Beats Radio itu juga, Gaga mendedahkan albumnya bakal disiapkan sepenuhnya dalam tempoh dua hari akan datang. Dia turut menyatakan kolaborasi bersama penulis lirik, Hillary Lindsey (yang menghasilkan lagu Jesus Take the Wheel dendangan Carrie Underwood) untuk projek terkininya itu.

Joanne merupakan album solo pertama Gaga selepas kali terakhir muncul dengan ARTPOP pada tahun 2013. Terdapat 12 buah lagu dalam album baharu itu tetapi ia mungkin dikurangkan kepada 11 buah lagu untuk edisi standard manakala 14 buah lagu akan dimuatkan dalam versi deluxe.

Single pertama Joanne, Perfect Illusion yang dilancarkan minggu lalu setakat ini menerima respons positif dalam kalangan para peminatnya. Muzik video untuk lagu itu pula yang diarahkan oleh pengarah filem dan jurugambar fesyen, Ruth Hogben akan menyusul tidak lama lagi.

Sumber: Billboard

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini