Muzik

Dua single baharu Fazura; Bisa Apa dan Bangun dilancar hari ini

By  | 

SELEPAS mengikat kontrak bersama Universal Music Malaysia yang diberi kepercayaan untuk mengurus karier nyanyiannya beberapa bulan lalu, Fazura tidak menunggu lama untuk muncul dengan buah tangan baharu.

Ketika orang ramai masih menggemari lagu-lagu kolaborasinya bersama Estranged (Hancur Aku), Jason Dy (Nothing Like Pag Ibig / Nothing Like Cinta) dan terbaharu bersama Fattah Amin untuk lagu Cinderella, Fazura kini bersedia untuk melancarkan single solo pula.

Bukan satu, tetapi dia memutuskan untuk untuk melancarkan dua single secara serentak pada hari ini. Dua single tersebut berjudul Bisa Apa dan Bangun. Menariknya, kedua-dua lagu tersebut memiliki keistimewaan dan kisahnya yang tersendiri.

Bisa Apa merupakan ciptaan sepenuhnya komposer terkenal Indonesia, Tantra Numata dan Mhala Numata serta diproduksi sepenuhnya di negara seberang termasuklah proses mastering yang dijalankan di Bandung.

Lagu tersebut turut dijadikan runut bunyi (OST) drama fenomena Hero Seorang Cinderella. Ia dicipta khusus mengikut acuan vokal Fazura.

Bergenre balada, Bisa Apa mempertaruhkan kepelbagaian instrumen termasuk cello dan biola. Fazura sendiri menyatakan bahawa dia jatuh cinta pandang pertama selepas mendengar material raw lagu tersebut.

“Bisa Apa seperti mempunyai satu tarikan yang tersendiri dari segi susunan muzik dan liriknya,” kongsi Fazura.

Berbeza dengan Bangun yang dihasilkan sepenuhnya oleh karyawan Malaysia, single ini berentak catchy dan berbaur inspirasi.

Dihasilkan oleh Ilyahida sebagai komposer, Ruviyamin sebagai arranger dan Ahmad Kemat Khair selaku produser, Bangun begitu mudah dikaitkan dengan kehidupan Fazura yang sentiasa positif.

“Bangun merupakan sebuah lagu yang melambangkan kekuatan. Sebuah kejayaan itu boleh dikecapi jika kita sentiasa pilih untuk bangun dari setiap kejatuhan. Saya percaya di sebalik kejatuhan itu ada hikmah istimewa yang tersembunyi.

“Saya harap, semua yang mendengar lagu ini juga akan terus bangun biarpun berhadapan pelbagai dugaan dalam kehidupan,” tambah Fazura.

Sebagai pelengkap Bangun, sebuah muzik video juga bakal dihasilkan selepas sambutan Aidilfitri nanti. Fazura yang juga duta kepada telefon pintar Neffos, akan bekerjasama bersama Neffos bagi menjayakan muzik video tersebut.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia dan Singapura, Kenny Ong melahirkan keterujaannya dengan perkembangan positif karier nyanyian Fazura yang disifatkan sebagai agak pantas.

“Kita baru menjalinkan kerjasama, namun pihak Universal bersama Fazura tidak hanya mengikat kontrak di atas kertas tanpa memberi sebarang hasil.

“Dalam tempoh tersebut, Fazura telah berkolaborasi bersama Jason dari Filipina dan kini muncul pula dengan dua buah single baharu.

“Saya melihat ia sebagai satu perkembangan positif kerana dia sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama dengan sesiapa sahaja tidak kira dari dalam atau luar negara, orang baharu atau lama, asalkan ia membuahkan hasil,” jelas Kenny.

Bisa Apa dan Bangun kini boleh dibeli di iTunes dan boleh didengar di semua platform muzik digital termasuk Spotify.

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *