Hiburan

Melankolik Konsert Ku Mohon

By  | 

SEIRING dengan judul yang diberikan untuk Konsert Ku Mohon… Tuhan Berikan Aku Cinta, begitulah rasa yang dikongsikan kepada 5,000 keping hati yang mengisi perut Stadium Tertutup Melawati, Shah Alam pada dua minggu lalu. Kesannya masih berbekas hingga kini!

Larut dalam lantunan irama yang menyentuh kalbu, konsert yang ditunjang oleh deretan nama besar seperti Anuar Zain, Erra Fazira, Remy Ishak dan beberapa karyawan lain dari luar negara termasuk Opick dan Humood Alkhudher berjaya merencanakan matlamat tersendiri iaitu menyuntik kesedaran tentang senario semasa serta kekejaman yang berlaku di dunia.

pepatung 2

Selain berlakon, Erra Fazira turut mengalunkan dua buah lagu iaitu Tuhan Berikan Aku Cinta dan Maha Melihat (duet Opick).

Tanggungjawab yang dimainkan oleh Islamic Relief Malaysia dalam menganjurkan sebuah konsert berskala besar ini bukan mudah, tambah pula pada tarikh yang sama pertembungan dengan beberapa acara besar dan konsert lain merapuhkan semangat yang diperjuangkan.

Tambah pula keadaan cuaca pada hari berlangsungnya konsert itu yang difahamkan telah merencatkan sedikit perjalanan konsert pada permulaannya. Maka tidak hairanlah kerusi yang terisi sebermulanya acara pada pukul 9.30 malam itu tidak cukup memuaskan.

Perlahan-lahan, membawa penonton merasai getir perjuangan dan pahit maung kehidupan berdepan pelbagai ancaman kuasa besar dunia dalam meneruskan survival dipersembahkan dalam bentuk monolog dan pantomim. Erma Fatima selaku pengarah kepada persembahan kali ini bijak menjalinkan muzik dan lakonan setiap saat.

Bagaimanapun pergerakan momentum konsert itu sedikit mendatar sehingga muncul nama-nama besar seperti Anuar Zain yang secara pantasnya meledakkan gelombang panas pada malam yang dibasahi dengan hujan sepanjang-panjang acara. Anuar pada konsert tersebut mengalunkan tiga buah lagu iaitu Ketulusan Hati, Ajari Aku dan Bila Tiba (nyanyian asal kumpulan Ungu).

Selain Anuar, kemunculan Akim & The Majistret berjaya mencuri perhatian penonton yang semakin lesu dibuai melankolik muzik mendayu-dayu dan dingin bayu malam. Sesekali pemain lakon yang sedang beraksi di atas pentas bersama mainan kata-kata yang terlalu puitis dan berselirat gagal menarik penonton yang kian lemas.

Sementara itu, segmen lakonan yang memaparkan pergolakan dunia masa kini telah menampilkan barisan artis hebat seperti Erra Fazira, Datin Paduka Umie Aida, Remy Ishak dan Ungku Ismail Aziz sebagai tunjang utama.

Datin Paduka Umie Aida tidak pernah tidak meragut emosi penonton dengan bakat lakonannya.

pepatung5

Kemunculan pelakon kacak Remy Ishak mencuri perhatian penonton.

Akim & The Majistret mempersembahkan dua buah lagu popular mereka iaitu Mewangi dan Potret dalam rendisi segar secara akustik. Muncul dalam persalinan serba putih, mereka mendefinisikan Konsert Ku Mohon… Tuhan Berikan Aku Cinta secara harafiah.

Humood Alkhudher yang pernah melakar fenomena menerusi single hit Kun Anta beberapa bulan lalu bagaimanapun kurang berjaya menangkap jiwa penonton yang hadir kali ini. Kun Anta dan Lughat Al’Alaam yang dialunkan pada konsert kali ini gagal meraih sorakan sepertimana kehadirannya kali pertama ke Malaysia.

Selain Humood, Zain Bhikha, Opick dan Ebeit G Ade merupakan artis antarabangsa yang diterbangkan khas untuk Konsert Ku Mohon… Tuhan Berikan Aku Cinta pada tahun ini.

pepatung9

Opick mempersembahkan tiga buah lagu iaitu Ya Maulana, Dealova dan Maha Melihat (duet bersama Erra Fazira).

Raihan mengubat kerinduan peminat setia mereka menerusi lagu Sesungguhnya dan Iman Mutiara. Pujian harus diberikan kepada keempat-empat anggota kumpulan nasyid ini yang masih utuh bertahan memperjuangkan irama yang semakin menyepi itu. Berbekalkan imej yang sama dan peranan vokal yang masih ampuh, Raihan layak mendapat pujian pada konsert tersebut.

Secara keseluruhannya, Konsert Ku Mohon… Tuhan Berikan Aku Cinta mencapai objektif yang disasarkan oleh Islamic Relief Malaysia namun ada lompong yang memisahkan rasa antara penonton dan persembahan.

pepatung3

Tidak cukup sebenarnya persembahan Raihan pada malam itu. Dua buah lagu Sesungguhnya dan Iman Mutiara adalah hadiah terindah buat penonton yang membesar dengan irama nasyid.

Comments

comments

Selepas lima tahun bersama akhbar berbahasa Melayu tempatan, penulis memanjangkan langkah dalam bidang rekaan fesyen bersama label peribadi. Kecintaan terhadap dunia penulisan dilanjutkan bersama Pepatung berbekalkan pengalaman skop hiburan, pelancongan dan biografi.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *