Mana hilangnya aura Anugerah Juara Lagu?

0
56

JIKA belasan tahun dulu, selepas berakhirnya Anugerah Juara Lagu (AJL), orang ramai akan bercakap tentang jaw-dropping moment bersifat ikonik yang ditampilkan oleh para pesertanya untuk satu tempoh yang lama. Sebagai contoh:

1) Baju dengan lampu LED bentuk hati yang dipakai oleh Ramlah Ram

2) Rentanan Aishah melemparkan bagasi pakaian

3) Anuar Zain menjadi model yang diikat kedua tangannya bagi lagu Jerat Percintaan nyanyian Datuk Siti Nurhaliza

4) Dan setiap persembahan Noraniza Idris (termasuk momen super-ikonik sembur api dengan gasolin dikumam dalam mulut) untuk lagu-lagu yang lolos ke pentas akhir AJL.

Namun, momen seperti yang disebut di atas tidak lagi wujud dalam edisi terbaharu AJL. Zaman berubah dan hala tuju muzik juga semakin berbeza, ironi, ‘kemunduran’ teknologi pada waktu dahulu sedikit pun tidak menjadi penghalang buat peserta untuk cuba sedaya upaya mencipta kelainan dalam persembahan.

Ramlah Ram sebagai contoh, menggunakan teknologi pada tahun 1988 untuk membikin penonton terpesona dengan persembahannya. Simple, tiada penari atau props berjuntai sarat. Cukup dengan lampu tersebut (biarpun percubaannya gagal atas sebab teknikal), momen tersebut diingat dan masih diparodikan sehingga kini. Sebut sahaja Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatiku, khalayak akan terus teringat akan kemahsyuran momen tersebut. Super-iconic.

Justeru, kalau setakat mencipta sebuah persembahan dengan efek holografik (mungkin terlalu besar cadangan ini untuk direalisasikan) atau membawa masuk props ala pementasan teater di Istana Budaya, pastinya tidak mustahil bagi tahun 2017 bukan?

Tetapi, itu bukanlah persoalan utama. Ke mana hilangnya aura AJL merupakan enigma yang banyak terbit dalam benak kalangan khalayak sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sebagai penonton tegar yang membesar dengan kemegahan prestij AJL, saya sedikit kecewa dengan apa yang dipersembahkan dalam AJL31. Tidak dari segi produksi, tetapi dari segi variasi lagu dan mutu persembahan artis.

Kenapa masih diwujudkan kategori persembahan terbaik jika pesertanya nampak seperti malas-malas?

Dalam 12 lagu yang bertanding, kita sudah tahu siapa yang layak menang kategori tersebut. Pesaingan yang loggar dan ditambah dengan efforts yang nampak tak terlalu mencuba, pemenangnya senang ditebak. Maaf jika ada yang bersungguh-sungguh untuk menampilkan persembahan terbaik, tetapi saya tidak nampak mana-mana penyanyi yang menampilkan sesuatu yang mengejutkan.

Mengambil contoh mudah seperti Ning Baizura mengenakan baju kurung menerusi Awan Yang Terpilu atau gugusan penari lengkap dengan dance-break oleh Stacy setiap kali lagu rancaknya layak ke peringkat akhir (Enam kali layak ke peringkat akhir dengan lima persembahan memerlukan kareografi, Stacy masih kurang diyakini untuk menerima at least sekali anugerah persembahan terbaik).

Bercakap mengenai Stacy yang terkenal dengan kelincahannya menari (dan disifatkan sebagai penyeri acara oleh kebanyakan penonton), rantaian lagu-lagu berentak balada yang mendominasi AJL31 dilihat membunuh program tersebut dalam diam.

Lagu demi lagu dipersembahkan, saya mula berasa bosan. Mungkin penyegar mata boleh diharapkan menerusi lagu Kalah Dalam Menang dan Hang Pi Mana. Selain daripada itu, saya banyak bersembang dengan rakan.

Belum ditambah dengan lagu berentak balada yang diperlahankan lagi temponya sewaktu persembahan secara langsung. Sufian Suhaimi dilihat begitu struggle untuk menyanyi lagu ciptaannya sendiri, Terakhir. Sufian berbakat untuk mencipta lagu tetapi untuk pertandingan, lebih baik diberikan karya tersebut untuk dibawakan oleh penyanyi lain.

Begitu juga dengan Aiman Tino menerusi Ku Rela Dibenci. Ada yang mengatakan faktor usianya yang terlalu muda (19 tahun) menjadi penghalang buatnya untuk beraksi matang. Tetapi, Datuk Siti Nurhaliza yang memenangi AJL11 menerusi lagu Jerat Percintaan ketika itu baru sahaja berusia 17 tahun namun berjaya menyihir khalayak dengan penyertaan debutnya.

Sejujurnya, bukan faktor usia menjadikan persembahan mereka tampil hambar, tetapi pemilihan lagu-lagu ke peringkat akhir sendiri yang pada hakikatnya bersandarkan populariti semata-mata, bukan keupayaan sang penyanyi dan kualiti lagu untuk bersaing sebaiknya di pentas AJL.

Bagaimanapun, tahniah buat Dayang Nurfaizah untuk trofi AJL pertama setelah bertahun-tahun bergelar penyanyi. Tahniah juga buat Misha Omar dan Hafiz untuk percubaan comeback menerusi lagu Terimaku Seadanya.

Diharapkan AJL mampu diteruskan dengan lebih banyak penambah baikan pada masa akan datang. Letak standard yang tinggi pada pemilihan lagu berkualiti supaya khalayak akhirnya dapat bercakap mengenai karya-karya terbaik usai penganjuran acara, bukan gayaan busana paling cantik atau pelik oleh selebriti pada malam anugerah.

NOTA: Selain fakta dan data yang diselitkan, artikel ini adalah berdasarkan pemerhatian dan pandangan peribadi penulis. Ia tidak mewakili pendapat sebenar masyarakat dan berkemungkinan tidak dipersetujui orang ramai.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini