Maksud di sebalik muzik video hebat Sampai Bila – Misha Omar

0
511

VISUAL memainkan peranan penting bagi menyampaikan tulisan atau percakapan. Begitu juga lagu, akan lebih bernyawa apabila dipersembahkan dalam bentuk muzik video (MV).

Tahun ini menyaksikan kebangkitan MV dalam kalangan penyanyi di Malaysia. Selepas sekian lama mengharapkan sesuatu yang kreatif dan bermutu tinggi dalam konteks karya video, 2018 mencipta impak progresif terhadap seni tersebut.

Semalam, penyanyi bersuara gemersik, Misha Omar, melancarkan MV single baharunya, Sampai Bila. Setakat tengah malam tadi, ia telah mencatatkan hampir 30,000 tontonan. Lagu yang meletakkan kembali Misha dalam kelompok teratas industri seni suara negara, MV yang menyusul juga luar biasa hebatnya.

Sebagai penyanyi berpengalaman, Misha memiliki imej yang mahal dari segi penyampaian lagu. Misha sentiasa mampu meniupkan roh dalam setiap lagu yang dinyanyikan, sesuatu yang tidak dipunyai ramai penyanyi. Kelebihan itu diperhebatkan dengan kepintaran Misha bermain ekspresi wajah dan bahasa tubuh dalam setiap persembahannya.

Dan segala kualiti itu dipertontonkan Misha kepada semua dalam MV Sampai Bila. Diarahkan oleh Chuan Looi, MV Sampai Bila menterjemahkan isi lagu ciptaan Sharon Paul, lirik oleh Fedtri Yahya dan Shah Shamsiri dengan begitu tepat. Metafora yang digunakan mengajak penonton untuk berfikir mesej yang cuba disampaikan.

Analogi daripada seorang pengguna laman YouTube dengan nama wakdobok di ruangan komen MV Sampai Bila mungkin boleh dipersetujui ramai.

Menerusi pengamatan dan pemahaman beliau, Sampai Bila dikategorikan sebagai lagu yang bercerita tentang kegusaran, gemuruh dan rasa tidak tenteram. Ia berkait rapat dengan masalah jiwa. Sebuah cerita berkisar seorang wanita yang digantung tidak bertali dan cuba untuk meneruskan kehidupan.

Penggredan warna suram bagi menetapkan mood sepi memberikan nyawa terhadap persembahan MV ini secara menyeluruh. Perincian wakdobok juga berkenaan rumah api sebagai latar tempat MV tersebut juga rasional.

Rumah api digambarkan sebagai wanita yang kesepian berseorangan, ditinggalkan dan dibadai ombak. Begitupun rumah api terus menyala di waktu malam, demikianlah hati seorang perempuan.

Gitar yang hanyut terapung di lautan adalah perlambangan perasaan gubra dan gementar menantikan kesudahan yang tidak menentu. Tangga pusar pula mewakili perjalanan menuju ke destinasi. Ia kemudiannya beralih kepada gambaran tinggalan rumah api yang mengertikan suasana berantakan.

Babak Misha berdiri pegun dalam kelompok manusia yang sedang berjalan memegang lampu disifatkan sebagai wanita yang berasa kehilangan biarpun dalam keramaian. Dalamannya masih terasa kosong dan sepi. Misha seterusnya berjalan melawan arus yang memberi makna percubaan untuk lari daripada pertanyaan orang ramai.

Lampu putih yang dipegang kelompok manusia tersebut adalah lambang harapan. Sekitar 1 minit 27 saat, Mata Misha ditutup dengan tangan yang berkemungkinan merujuk pada kebenaran tidak tentu dan dikaburi kata-kata manis serta pujukan bagi menutup kesilapan.

Babak pasangan (lelaki dan perempuan) bersandar membelakangi masing-masing dengan mata terpejam diinterpretasi sebagai percintaan tidak searah tanpa dapat melihat hala tuju sebenar.

Gelas kaca yang dipegang Misha mencerminkan keperibadian wanita yang polos dan mudah berderai. Air yang tumpah dari gelas itu dilambangkan sebagai nilai kepercayaan.

Pada durasi 2:36, Misha berdiri tegak dalam kepulan asap berwarna merah jambu. Ia menggambarkan hati perempuan yang telah hancur menjadi debu, tetapi jasad tetap setia menunggu.

Kelompok manusia yang memegang lampu putih sekali lagi muncul dengan Misha berdiri di tengah-tengah keramaian. Misha kemudiannya dilihat berjalan memegang lampu yang sama. Metafora lampu sebagai harapan bererti wanita tersebut cuba untuk meneruskan hidup seperti orang lain berbekalkan harapan baru.

Bagaimanapun langkah sayu dan ekspresi kosong Misha membayangkan wanita itu masih enggan melepaskan cinta di dalam hatinya. Ketika Misha berlari dalam gelap, ia adalah gambaran terhadap keinginan untuk mencari jalan keluar mencari kebenaran. Ia diakhiri dengan Misha berdiri keseorangan di atas rumah api di tengah lautan, berterusan sepi, seperti rumah api.

Demikianlah analisis logik wakdobok berkenaan MV Sampai Bila. Penjelasannya membuatkan penonton lebih teliti dan menghargai karya MV tempatan yang masih dibayangi imej 90an.

Sampai Bila menjadi isyarat dan cabaran kepada penggiat seni tanah air untuk bersungguh-sungguh dalam berkarya. Bukan bergantung pada nama dan bakat semata-mata, lantas mempersembahkan mutu kerja seperti melepaskan batok di tangga.

Tahniah Misha dan seluruh produksi MV, komposer dan penulis lirik Sampai Bila. Kalian adalah pasukan unggul yang mendukung sebuah karya dengan tanggungjawab dalam menyampaikan sesuatu sepenuh hati. Anda merupakan karyawan sejati.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini