Mafaz suri hati Humood

0
19

PEPATUNG ingin mengubah kompas kisah pelakar fenomena semasa, Humood Alkhudher, 26, yang popular menerusi lagu Kun Anta. Kali ini, perkongsian beralih kepada kisah suri hatinya, Mafaz, 26, yang sebenarnya kini masih menuntut di sebuah universiti di Boston, Amerika Syarikat.

Menghormati pendirian Humood untuk tidak berkongsi nama penuh wanita yang dikahwininya sejak empat tahun lalu, pasangan kelahiran Kuwait itu mendedahkan mereka masih belum merancang untuk mempunyai cahaya mata dalam tempoh terdekat.

“Bukan kerana saya menjadi penyanyi dan dia (Mafaz) masih belajar tetapi ini keputusan bersama untuk kami. Mungkin selepas ini apabila dia sudah menamatkan pengajiannya di Amerika Syarikat dan kami dapat meluangkan lebih masa bersama-sama, barulah mula memikirkan soal keluarga,” ujarnya ketika temu bual eksklusif bersama Pepatung baru-baru ini.

Mafaz kini sedang mengikuti pengajian dalam bidang Sarjana Penulisan Kreatif yang masih berbaki dua tahun.

Buat masa sekarang, baik Humood mahupun Mafaz mereka akan berulang-alik dari tempat tinggal masing-masing untuk bertemu melepaskan rindu. Jika tidak, hubungan jarak jauh mereka didekatkan dengan teknologi telekomunikasi seperti Skype dan panggilan telefon.

“Sukar sebenarnya perhubungan jarak jauh namun mujurlah saya dipertemukan dengan seorang individu yang penyabar dan memahami keadaan kami. Soal cemburu itu sudah pasti ada dalam hati setiap manusia namun selagi perhubungan ini dibaluti rasa percaya, ia tidak menjadi masalah.

“Mafaz mengenali saya sebelum saya dikenali ramai sebagai penyanyi, malahan setiap karya atau lagu-lagu saya akan diperdengarkan terlebih dahulu kepadanya. Pendek kata dialah tukang pilih betul atau salah,” tambah Humood melirik senyum.

Pastinya menjadi individu popular sekelip mata akan mengundang banyak pandangan, begitu juga godaan. Menjawab status dirinya yang sedikit sebanyak meleburkan impian kebanyakan gadis yang mendambakan jejaka seperti Humood, lulusan bidang penyiaran radio dan televisyen Universiti Kuwait itu sekadar membalas dengan ketawa.

IMG_4189 copy
Foto/ Pepatung

Kunjungan sulung Humood ke Malaysia kali ini bertujuan mempromosikan album keduanya, Aseer Ahsan yang memuatkan 10 buah lagu termasuk hit Kun Anta. Tidak tertumpu kepada satu single sahaja, hasrat hati Humood mahu memperkenalkan keseluruhan lagu dalam album tersebut kepada peminatnya seluruh dunia.

Humood kini bernaung di bawah syarikat rakaman Awakening Records sejak awal tahun ini yang turut menaungi penyanyi popular Asia Barat lain seperti Maher Zain dan Sami Yusuf.

“Memandangkan saya dan Maher Zain berada di bawah syarikat rakaman sama, kami pernah digandingkan bersama dalam satu pentas untuk membuat persembahan. Teringin juga untuk kami berkolaborasi dalam projek lain pada masa akan datang,” tambahnya.

IMG_4152 copy
Foto/ Pepatung

Populariti Kun Anta mula mendapat liputan meluas di Malaysia apabila selebriti seperti Neelofa, Nazim Othman dan Yasin Sulaiman memuat naik rakaman parodi berdurasi 15 saat di laman sosial Instagram masing-masing dengan meniru cara asal potongan video yang pernah dimuat naik oleh Humood lebih 15 minggu lalu.

Kini, lagu tersebut berada di tangga teratas carta iTunes Malaysia dan jualan album Aseer Ahsan telah mencecah Anugerah Emas (jualan melebihi 5,000 unit di Malaysia sahaja) dalam tempoh yang singkat.

Dalam perkembangan lain, Humood yang baru selesai mengadakan persembahan sempena Malam Inspirasi Kun Anta di UiTM Shah Alam pada malam tadi bakal kembali semula ke Malaysia pada bulan Oktober nanti untuk menjayakan konsert Konsert Ku Mohon Tuhan Beri Aku Cinta di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor anjuran Islamic Relief pada 31 Oktober ini.

ANEKDOT

Selain muzik, saya juga menggemari sukan bola sepak.

Ketakutan saya ialah tiada yang spesifik. Saya penggemar haiwan malah di rumah pun ada membela seekor kucing yang diberi nama Sultanah. Tetapi sudah pasti saya takutkan haiwan yang berbahaya seperti singa.

Saya cuma berada beberapa hari di Kuala Lumpur, namun saya sempat merasa hidangan popular di sini iaitu nasi lemak dan teh tarik serta melawat ke beberapa tempat menarik. Sekiranya diberikan lebih waktu saya mahu meluangkan masa membeli-belah pula.

Jika saya menjadi seorang bapa saya akan memberikan kehidupan yang lebih baik kepada anak-anak saya berbanding kehidupan saya sekarang.

Setiap hari saya bertanyakan diri saya adakah saya melakukan perkara yang betul dalam kehidupan saya.

Jika tiba bulan Ramadan saya menggemari hidangan tradisi Kuwait yang dipanggil tashriba (daging lembu dimasak bersama roti dan kentang) yang wajib dimakan bersama sup. Ramadan adalah waktu untuk meluangkan masa bersama keluarga terutama ketika berbuka puasa dan waktu untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Di Kuwait sambutan Aidilfitri adalah hampir sama di kebanyakan negara Islam. Selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri kami akan menziarahi sanak-saudara. Malah, kami juga mengamalkan pemberian sedekah berbentuk wang kepada kanak-kanak dan golongan yang memerlukan. Biasanya apabila tibanya Aidilfitri penduduk di sana akan membeli pakaian baharu seperti Dishdasha (jubah).

IMG_4199 copy
Foto/ Pepatung

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini