Suami dan anak keutamaan Liyana Jasmay

0
16

PELAKON berbakat besar, Liyana Jasmay kembali mewarnai industri seni tanah air dengan filem lakonannya berjudul Isyarat Cinta yang bakal memasuki pawagam pada 19 Mac ini. Pada majlis tayangan amal filem tersebut yang dianjurkan secara bersama oleh RK Screen dan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) di Cathay e-Curve, Damansara, Selangor baru-baru ini, Liyana turut hadir bersama barisan pelakon lain termasuk Adi Putra dan Fizo Omar.

Processed with VSCOcam with a6 preset

Tayangan amal tersebut berjaya mengumpulkan dana mencecah RM100,000 menerusi hasil jualan amal dan jualan tiket VIP. Hasil kutipan tersebut akan disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara khususnya Pantai Timur. Pepatung yang berkesempatan menghadiri tayangan amal itu turut berpeluang menemubual Liyana.

Pepatung: Kongsikan pengalaman anda dalam Isyarat Cinta?
Liyana: Penggambaran filem ini dijalankan kira-kira dua tahun lalu sebelum saya ke New York, Amerika Syarikat. Selepas itu saya tidak lagi menjalani apa-apa penggambaran memandangkan saya baru berkahwin dan memang merancang untuk berehat. Kemudian saya mengandung dan Alhamdulillah selepas melahirkan Sofia Arissa barulah filem ini ditayangkan.

Saya berharap penonton akan menyukai filem ini kerana ia menceritakan kisah cinta lara dan sukar untuk membuat pilihan. Saya mahu penonton membayangkan bagaimana jika mereka berada dalam situasi saya sekiranya diberi dua pilihan?

Pepatung: Agak lama anda menyepi dan berehat daripada berlakon?
Liyana: Memang betul sebab kekangan masa. Sekarang bila anak saya sudah besar sedikit, barulah ada kelapangan untuk kembali aktif. Tamat promosi Isyarat Cinta, saya akan kembali ke lokasi penggambaran pada April depan untuk filem Bella dan Jamie. Selepas itu saya akan berehat lagi sebelum menjalani penggambaran semula pada bulan Ogos.

Pepatung: Adakah lakonan bukan lagi keutamaan buat anda?
Liyana: Lakonan merupakan cinta saya. Namun saya juga sayangkan suami dan anak saya. Sekarang saya perlu bijak membahagikan masa dan sebab itu saya memilih selang masa berehat selepas penggambaran. Tanggungjawab utama saya kini adalah sebagai isteri dan ibu, jadi saya tidak mahu terlalu tersasar daripada fokus sebenar.

Dalam masa yang sama, bisnes pakaian saya juga semakin berkembang. Sejak dulu saya berhasrat untuk mengeluarkan label pakaian sendiri dan apabila ia berjaya direalisasikan, ia turut menyumbang ke arah kematangan hidup saya.

Processed with VSCOcam with a6 preset

Pepatung: Sejauh mana status seorang isteri dan ibu mengubah diri anda sekarang?
Liyana: Banyak yang berubah. Kalau dulu semua benda saya inginkan, kalau boleh semua di depan mata hendak dikaut. Namun sekarang saya kena rancang dan pilih apa yang bersesuaian. Sebagai isteri dan ibu, saya ada tanggungjawab terhadap keluarga. Tiada lagi lakonan melibatkan aksi ranjang atau karakter sebagai pelacur misalnya. Memang ia mencabar lakonan tetapi mungkin saya sudah puas melakonkan watak-watak sedemikian.

Pepatung: Jadi anda akan lebih selektif terhadap watak yang ditawarkan?
Liyana: Sudah tentu! Vanidah Imran dan Sofea Jane misalnya, mereka merupakan aktres berstatus ibu. Mereka juga pernah berpesan kepada saya bahawa kadang-kadang anak-anak menonton lakonan mereka . Sebagai orang dewasa, kita tahu ia hanyalah lakonan tetapi bagaimana untuk menjelaskan kepada budak kecil? Mungkin dulu saya tidak memahami pesanan itu tetapi kini saya mula mengerti apa yang mereka maksudkan.

Pepatung: Bagaimana dengan karier nyanyian anda?
Liyana: Masih diteruskan seperti biasa dan saya akan merakamkan lagu tema /runut bunyi untuk Bella dan Jamie.

Isyarat Cinta arahan Bade Hj. Azmi mengisahkan percintaan dua orang kelainan upaya (OKU), Iskandar (Adi Putra) yang bisu dan pekak serta Dhia (Liyana) yang buta. Hubungan mereka terjalin selepas Iskandar menyelamatkan Dhia daripada satu kemalangan. Bagaimanapun, perjalanan kisah cinta mereka sebenarnya dihubungkan oleh Ariel (Fizo Omar) yang menjadi pemudah komunikasi.

Dalam diam, Ariel mula menyukai Dhia sehingga menimbulkan konflik dalam perhubungan Iskandar dan Dhia. Bagaimanakah kesudahan cita tiga segi ini? Segala-galanya bakal terjawab apabila anda menonton Isyarat Cinta.

Kredit foto: Awanblu Photography

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini