Lima otai rock gegarkan Konsert Lagenda

0
37

SIAPA yang tidak kenal dengan Raja dan Ratu Rock Malaysia, Awie dan Ella? Kedua-dua ikon rock itu bakal disatukan semula sempena Konsert Lagenda yang akan menjelajah Malaysia bermula 31 Mei ini sehingga penghujung 2015.

Lebih menarik, konsert tersebut turut membariskan otai berbisa dalam arena muzik rock iaitu Datuk Ramli Sarip, Mus May dan Man Kidal selaku nakhoda muzik sepanjang jelajah tersebut.

“Pada awalnya memang agak sukar bagi pihak kami merealisasikan konsert ini kerana terpaksa berhadapan dengan kos sara hidup yang lebih tinggi sejak Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan.

“Disebabkan itu kami terpaksa menunda siri persembahan ini daripada Februari lalu kepada bulan Mei. Bagaimanapun ia tetap menelan belanja RM500,000 bagi kos keseluruhan pelaksanaannya. Namun saya yakin dengan penampilan lima legenda hebat, tanah air, konsert ini akan tetap mendapat sambutan ramai.

“Malah lokasi-lokasi yang dipilih mampu memuatkan sehingga 10,000 penonton dalam satu-satu masa,” jelas Mamat selaku Pengarah Urusan Idearts Creativo.

POSTER KONSERT

Konsert berdurasi tiga jam itu akan memulakan siri jelajah di Sarawak pada 31 Mei depan dengan membuka tirai persembahan di Stadium Tertutup Perpaduan Petrajaya Kuching. Jelajah akan diteruskan pada minggu berikutnya iaitu pada 6 Jun di Stadium Miri, Sarawak sebelum direhatkan seketika bagi menghormati sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Jelajah Konsert Lagenda anjuran Idearts Creativo dengan kerjasama Park Lane Group of Company (PLG) itu kemudiannya akan dilangsungkan di Stadium Tertutup MPPG Pasir Gudang, Johor pada 30 Ogos dan di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan, Pahang pada 13 September.

Sebelum mengakhiri sesi jelajah, kelima-lima otai rock Malaysia akan menemui peminat mereka di utara Semenanjung Malaysia pada 10 Oktober bertempat di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar, Perak sebagai lokasi kelima. Penutup konsert pula dijadualkan berlangsung di Stadium Tertutup Malawati Shah Alam, Selangor pada 17 Oktober depan.

“Setiap penyanyi akan menyampaikan lima buah lagu menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 20 buah lagu manakala pada akhir konsert juga keempat-empat penyanyi ini akan digabungkan untuk menyampaikan beberapa buah lagu,” tambahnya.

Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri kehebatan otai rock tanah air dan berhibur bersama untaian indah lagu-lagu malar segar mereka sepanjang siri jelajah berlangsung. Tiket berharga RM55, RM85, RM155, RM255 boleh dibeli di www.ticket2u.biz.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini