Hiburan

Lima kenyataan berinspirasi Angelina Jolie

By  | 

TIDAK ramai selebriti Hollywood yang berjaya membina nama dan jenama seperti Angelina Jolie. Beliau tidak hanya memenangi anugerah Oscar atas kecemerlangan lakonannya, malah turut diberikan anugerah Jean Hersholt Humanitarian sebagai pengiktirafan di atas kerja-kerja kemanusiaannya.

Jolie juga dilantik sebagai Duta Khas untuk Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) serta bergerak aktif dalam menggerakkan kempen kesedaran kanser payudara.

Sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-40 semalam (4 Jun 2015), mari kita senaraikan lima kenyataan penuh inspirasi yang pernah diungkapkan ‘wanita besi’ ini sepanjang penglibatannya dalam kerja-kerja kemanusiaan sejagat.

1) Menggunakan Platformnya bagi meraih sokongan

4-jolieFoto/Mic

Jolie merujuk kepada pengalaman penggambarannya dalam filem Lara Croft: Tomb Raider (2001) di negara bergolak, Kemboja sebagai pembakar semangat terpenting terhadap penyertaannya dalam kerja-kerja kemanusiaan. Sejak itu, beliau menjadi penyokong kuat dalam kempen-kempen kemanusiaan terutama yang melibatkan hak-hak wanita.

“Wanita masih dilayan sebagai isu kelas kedua. Para pemimpin masih mengambil mudah dan memandang ringan penderitaan dan penganiayaan yang dihadapi golongan wanita seperti pemandulan paksaan dan perkahwinan dalam fasa kanak-kanak.

“Pengecualian wanita daripada proses keamanan juga masih menjadi satu norma biasa. Umum mengetahui bahawa wanita merupakan golongan pertama terkesan akibat peperangan dan yang terakhir diberi perhatian apabila ia berakhir,” tegas Jolie pada Women in the World Summit 2015.

Meningkatkan kesedaran sahaja tidak memadai. Beliau menyasarkan untuk menggalakkan tindakan. Tambahnya: “Semua yang berada di dalam dewan ini sedar bahawa kesedaran sahaja tidak mencukupi. Kita mesti mengubah sikap kita tidak kira dari mana kita datang. Kita semua mempunyai tanggungjawab tertentu.”

2) Percaya bahawa wanita wajar mengenali diri sepenuhnya

1-jolieFoto/Mic

Biarpun media Barat mempunyai dokumentasi khusus terhadap kisah perhubungannya dan suami, Brad Pitt, beliau bertegas bahawa kebebasan adalah satu perkara yang amat penting tanpa mengambil peduli status perhubungan seseorang.

“Kenali siapakah diri anda jika anda terpisah daripada keluarga dan lelaki atau wanita yang anda cintai. Anda perlu mencari diri yang sebenar di dalam dunia ini dan apakah yang mampu membuatkan anda bahagia meskipun berseorangan. Bagi saya itu adalah perkara terpenting dalam hidup. Dengan mengenali diri sendiri, anda mampu melakukan perkara lain,” ujar Jolie dalam temu bual bersama majalah Cosmopolitan pada 2003.

3) Menolak standard klise kecantikan

5-jolieFoto/Mic

Nama Jolie tidak pernah tercicir daripada senarai individu paling cantik (Most Beatiful People). Bagaimanapun beliau kurang memberi perhatian terhadap standard kecantikan sebegitu dan lebih mementingkan kualiti-kualiti bermakna.

“Saya tidak memikirkan tentang kecantikan. Apabila bangun daripada tidur, saya mahu menjadi individu lebih bijak dan itu merupakan fokus saya. Saya percaya bahawa jika wanita mampu membebaskan kecantikan dalaman mereka, pasti semua perkara menjadi lebih mudah,” kongsinya dalam temu bual 60 Minutes pada 2012.

4) Menggalakkan wanita agar tegas dalam perihal kesihatan

3-jolieFoto/Mic

Jolie membuat keputusan untuk membuang kedua-dua belah payudaranya pada 2013 selepas disahkan berisiko menghidap kanser payudara.

“Moga pengalaman saya akan memberi faedah kepada wanita lain. Kanser masih menjadi ketakutan dalam minda orang ramai dan membentuk rasa lemah. Namun hari ini anda mampu mengenal pasti risiko anda untuk diserang kanser payudara dan kanser ovari menerusi ujian darah, sekali gus mengambil tindakan sewajarnya.

“Saya tidak sedikitpun berasa kekurangan sebagai seorang wanita. Malah saya rasa hebat kerana telah membuat keputusan tepat tanpa memberi kesan terhadap kewanitaan saya,” luah Jolie menerusi penulisannya dalam New York Times.

Tindakan dan keberanian Jolie sememangnya memberi kesan positif. Sekumpulan penyelidik mendapati bilangan rujukan bagi kaunseling genetik dan ujian DNA terhadap mutasi kanser payudara meningkat dua setengah kali lebih banyak selepas pendedahan Jolie dibuat. Fenomena itu digelar sebagai ‘Efek Angelina Jolie‘.

5) Menanam semangat individualiti

2-jolieFoto/Mic

Ketika Jolie menerima Nickelodeon Kid’s Choice Award tahun ini, beliau mengambil kesempatan itu untuk tidak hanya berkongsi kisah pencapaiannya, malah membakar semangat semua orang.

“Saya pernah diberitahu bahawa saya berbeza. Disebabkan itu saya berasa terbuang, terlalu lantang, terlebih semangat, tidak pandai duduk diam dan tidak tahu untuk menyesuaikan diri. Namun suatu hari saya menyedari sesuatu, sesuatu yang saya harap anda semua sedar. Perbezaan itu indah. Apabila seseorang memberitahu bahawa anda berbeza, senyum dan berjalanlah penuh bangga,” penuh berisi ucapan Jolie ketika menerima anugerah tersebut.

Sumber: Mic

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *