Legasi Las Vegas Britney

0
21

UTUH lantunan setiap lagunya mampu membuatkan pendengar ligat mencari maksud yang tersirat. Lincah gerak tarinya pula ternyata membiaskan perasaan kagum oleh para peminat yang sedang menonton.

Menjadi ikon muzik yang digemari oleh semua lapisan masyarakat menuntut terlalu banyak komitmen. Tidak terkecuali, kontroversi serta isu-isu hangat yang melanda sering menghambat kehidupan peribadinya sejak bergelar penyanyi.

Sepanjang tempoh 21 tahun bergelumang dalam gemerlap dunia nyanyian, jatuh dan bangunnya penyanyi pop tersohor dunia, Britney Spears, 32, ditafsirkannya sebagai pembakar semangat dalam usaha mengembangkan karier ke peringkat yang lebih tinggi.

Selepas menjayakan program realiti pencarian bakat The X Factor US tahun lalu, Britney yang menyandang jawatan sebagai salah seorang juri dan mentor untuk rancangan tersebut hadir dengan perancangan baharu untuk menawan bandar Las Vegas selama dua tahun bermula 27 Disember depan.

Desas-desus mengenai tawaran kontrak dan pelantikan Britney sebagai penyanyi residen di Hotel Planet Hollywood, Las Vegas telah tersebar dalam kalangan peminatnya sebelum pengumuman rasmi dibuat beberapa bulan lalu.

Menepati jangkaan, Britney yang mengikut jejak langkah Celine Dion dan Elton John nyata teruja untuk mencuba sesuatu yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini menerusi siri konsert yang diberi nama Piece of Me itu.

“Vegas merupakan satu cabaran baharu buat saya. Bagaimanapun, saya menginginkan satu kelainan dalam memberikan persembahan kepada peminat. Ia bakal menjadi seperti sebuah parti yang sangat besar.

“Melalui platform ini juga, saya mampu untuk memberikan persembahan yang luar biasa berbanding persembahan jelajah biasa yang memerlukan saya bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain,” ujarnya yang menerima bayaran sebanyak RM1 juta (USD 309, 000) bagi setiap persembahan.

Menurut Britney, demi mencapai persembahan yang baik sepanjang tempoh residensi tersebut, dia harus berusaha keras dan sentiasa fokus terhadap sesi latihan yang dijalankan.

“Saya perlu berlatih lebih kerap untuk menjayakan persembahan itu nanti. Sejak kebelakangan ini, saya mementingkan kesempurnaan dalam setiap apa yang saya lakukan.

“Sifat penuh ketelitian menyebabkan saya terpaksa bekerja keras. Orang mengharapkan lebih daripada saya, bukan sahaja apa yang saya lakukan tetapi siapa saya dalam industri hiburan hari ini,” akuinya.

Dalam pada itu, Britney turut memberitahu, dia terpaksa mengikuti sesi latihan tarian dan nyanyian intensif selama lima hingga enam jam sehari sebagai persediaan sebelum memulakan siri konsertnya.

“Setiap kali habis sesi latihan, badan saya pasti akan sengal-sengal. Ia berlanjutan sekurang-kurangnya untuk tiga hari.

“Kadangkala, saya gagal untuk menggerakkan kaki dan tangan akibat terlalu kuat berlatih. Tetapi, saya komited dan terus mencabar diri untuk mencuba sesuatu di luar ruang selesa,” ujarnya lagi.

Kongsi kisah peribadi
Ibu kepada Sean Preston dan Jayden James ini pernah melalui pelbagai episod patah hati dengan beberapa orang lelaki dalam hidupnya. Sejak bercerai dengan Kevin Federline, dia seperti sukar untuk bertemu dengan teman hidup yang baharu.

Awal tahun ini, dia mengambil keputusan untuk berpisah dengan tunangnya, Jason Trawick, setelah tiga tahun menjalinkan hubungan.

Menurut Britney, kisah putus cinta dan patah hati yang dilalui mampu memberikan inspirasi kepada para peminatnya. Justeru itu, dia berhasrat untuk berkongsi sedikit sebanyak tentang kisah peribadi serta cinta yang tidak kesampaian melalui album baharunya, Britney Jean.

“Banyak lagu yang terdapat dalam album ini mempunyai kaitan dengan kisah perpisahan yang telah saya lalui tahun ini.

“Bila kamu melalui proses perpisahan yang menyedihkan, banyak perkara yang ingin kamu lakukan untuk melupakannya. Lambat-laun, kamu sedar bahawa perkara tersebut mampu membuatkan kamu lebih gembira dalam meneruskan kehidupan,” jelasnya yang menyifatkan pembikinan Britney Jean mampu menjadi terapi bagi melupakan kisah sedih tersebut.

Britney turut berharap agar lirik yang terkandung dalam lagu-lagunya mampu memberikan inspirasi kepada para peminat.

“Saya sering mengikuti kata hati dan cuba untuk mengejar cita-cita. Saya yakin ia merupakan sesuatu yang boleh memberikan inspirasi kepada para peminat.

“Sebagai seorang penyanyi yang dikenali ramai, saya juga berharap agar lirik-lirik yang positif dapat sampai terus kepada pendengar,” jelasnya lagi.

Peranan seorang ibu
Bagi Britney, walaupun kerjayanya sebagai seorang penyanyi menuntut lebih masa untuk beraksi di atas pentas, soal kebahagiaan anak-anak dan menjaga keperluan asas mereka tetap menjadi keutamaan baginya.

Bahkan, Britney memilih untuk menjadi artis residen di Planet Hollywood semata-mata kerana enggan berjauhan daripada dua orang anaknya.

“Sejak lima tahun lalu, saya kerap bergerak ke lokasi-lokasi yang berbeza dalam menjayakan empat siri konsert jelajah.

“Idea melakukan persembahan di satu tempat dalam tempoh masa dua tahun dapat mendekatkan saya dengan keluarga dan anak-anak. Para peminat juga berpeluang menonton persembahan tersebut bila-bila masa dengan mudah,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai perancangan masa depan, Britney yang kini menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki yang dikenali sebagai David Lucado berkata, dia teringin untuk menambah bilangan cahaya mata serta mendirikan rumah tangga sekali lagi.

“Saya teringin untuk menimang cahaya mata baharu, mungkin sepasang kembar! Ia bakal menjadi momen yang sangat menggembirakan,” ujarnya positif.

TINGGALKAN RESPONS

Sila masukkan komen!
Masukkan nama anda di sini