Hiburan

Kaka Azraff tidak takut dicop penyanyi ‘kolaborasi’

By  | 

EMPAT tahun menimba pengalaman dalam industri seni tanah air. Barangkali tempoh singkat itu masih belum cukup untuk masyarakat mengenali identiti Kaka Azraff. Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff, 26, terus berusaha membina tapak pengaruhnya di medan seni suara. Dalam masa yang sama, dia turut memberanikan diri menguji bakat lakonannya.

Apakah yang terbaharu daripada penyanyi yang mula popular dengan lagu Bawaku Pergi ini? Ikuti temu bual Pepatung bersama wanita yang berasal dari Klang Selangor ini.

7-kaka

Pepatung: Apakah yang terbaharu daripada anda?
Kaka: Single baharu berjudul Bukan Hal Aku hasil kolaborasi bersama Sleeq telah pun diputarkan di radio. InsyaAllah pada pertengahan Mac ini, ia akan dilancarkan secara rasmi berserta muzik video.

Pepatung: Sepanjang empat tahun berkecimpung dalam industri seni, berapa banyak lagu telah anda jayakan?
Kaka: Kemunculan sulung saya adalah menerusi lagu Bawaku Pergi diikuti dengan Infiniti Cinta. Kedua-duanya menyaksikan gandingan saya bersama Zizan Razak. Kemudian saya muncul bersama single solo pertama berjudul Terpulanglah pada tahun lalu. Selepas itu lagu Perjalanan, kolaborasi bersama Sleeq dilancarkan dan yang terkini, Bukan Hal Aku menjadi single kelima membabitkan saya.

2-kaka

Pepatung: Sasaran anda dalam karier nyanyian yang masih belum dicapai?
Kaka: Semestinya matlamat saya adalah untuk mempunyai album penuh sendiri. InsyaAllah pembikinan album sedang dalam perancangan. Sekarang saya sibuk mengumpul material dan berharap ia dapat diterbitkan menjelang hujung tahun ini.

Pepatung: Anda lebih dikenali sebagai penyanyi kolaborasi dalam sesebuah lagu dan sehingga kini lagu solo anda kurang meraih sambutan memberangsangkan, tidak timbul ketakutan jika selamanya anda perlu menjadi penyanyi dalam lagu duet?
Kaka: Tidak timbul isu takut kerana saya tetap akan terus muncul dengan lagu solo. Lagipun genre muzik saya lebih kepada R&B dan hip hop dan kebetulan ia sedang meniti populariti dalam masyarakat. Maka saya tidak kisah jika perlu berkolaborasi dengan artis lain dalam sesebuah lagu. Sama ada lagu solo atau duet, saya selesa menjayakan kedua-duanya. Bagi saya tidak perlu terburu-buru untuk mencipta nama. Biarlah saya bermula dengan langkah yang kecil kerana perjalanan saya masih panjang.

3-kaka

Pepatung: Bagaimana pula penglibatan anda dalam bidang lakonan?
Kaka: Saya baru selesai menjalani penggambaran untuk filem 7 Dimensi Aliff yang turut dijayakan Izzue Islam, Juliana Evans dan Alif Satar. Ia merupakan filem pertama saya dan memegang peranan sebagai Izreen (pelakon pembantu) memang mencabar. Babak ketika saya dirasuk adalah antara pengalaman yang tidak akan saya lupakan. Saya belajar untuk melakukan aksi sendiri sehingga lebam tubuh badan tetapi ia amat memuaskan.

Pepatung: Sejauh mana anda berharap untuk terus aktif dalam dunia lakonan?
Kaka: Sudah tentu saya berharap akan datang peluang untuk berlakon selepas ini. Bagaimanapun saya belum mengetahui sejauh mana tahap lakonan saya kerana penonton masih belum dapat menilainya.

6-kaka

Pepatung: Projek lakonan selepas ini?
Kaka: Saya baru selesai sesi pembacaan skrip bagi drama bersiri Dunia Generasi Baru yang akan bersiaran di TV9.

Pepatung: Siapakah penyanyi tempatan yang menjadi idola dan rujukan anda?
Kaka: Sejak kecil saya menghormati dan mengagumi Ella. Saya sering mengikutinya ke persembahan yang melibatkannya. Ella bukan sekadar ibu saudara kepada saya, malah dia tidak jemu memberi motivasi dan pesanan tentang bagaimana cara untuk membawa diri di dalam industri ini. Dia merupakan pengaruh terbesar dalam kerjaya dan hidup saya.

KREDIT: FOTO: ANIS AMANINAR (@anisamaninar)/SOLEKAN: RAZZI MUSA (@razzimusa)/RAMBUT: HAFIEZ MEKDU (Chez Hair Studio)/ARAHAN SENI & TATARIAS: SHAKER HANAFI (@shakerhanafi)/PEMBANTU: RIFAEE ISA & ZARIQ AZRIN

Comments

comments

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyertai Pepatung sepenuh masa. Berpengalaman dalam penulisan rencana terutama berkenaan gaya hidup, profil, minat ramai, isu semasa, fesyen dan hiburan.

Tinggalkan Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *